Perubahan iklim buka peluang sektor kewangan, perkhidmatan S’pura
Perubahan iklim buka peluang sektor kewangan, perkhidmatan S’pura
Ancaman ekonomi akibat perubahan iklim semakin genting bagi Singapura, bukan sekadar kerugian kewangan dan harta benda akibat cuaca buruk.
Malah, ia turut mengganggu rantaian bekalan, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.
Namun, usaha menangani ancaman itu dan memajukan pembangunan mampan, membuka peluang baru dalam sektor kewangan dan perkhidmatan Singapura, kata Cik Indranee yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara).
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kemampanan 2026 anjuran Institut Kewangan Mampan dan Hijau (SGFIN), pada 12 Mac.
“Firma guaman, akauntan dan perunding semakin diperlukan untuk mengemudi peraturan kemampanan, memastikan pelaporan data iklim yang kukuh serta menjadi penasihat mengenai pembiayaan hijau,” katanya.
Menurut Cik Indranee, ini memberi ruang kepada firma untuk meluaskan kepakaran dalam pembangunan mampan dan penilaian risiko iklim.
“Tenaga kerja mahir yang mampu menilai dan membiayai pelaburan modal semula jadi penting bagi Singapura mencapai sasaran iklimnya,” ujar Cik Indranee.
Modal semula jadi merujuk kepada sumber alam yang menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan menjana pekerjaan.
Pada 2025 sahaja, bencana cuaca seperti banjir dan taufan, yang berpunca daripada perubahan iklim, telah mengakibatkan kerugian ekonomi melebihi AS$70 bilion ($89.3 bilion) di Asia Pasifik.
“Memandangkan Singapura mengimport lebih 90 peratus bekalan makanannya, kita terdedah kepada gangguan luar serta gangguan rantaian bekalan,” kata beliau.
Cuaca buruk berisiko merosakkan kemudahan utama dan melumpuhkan kegiatan pelabuhan.
Menjelang hujung abad ke-21, paras air laut di Singapura dijangka melonjak sehingga 5 meter pada hari tertentu, manakala suhu harian tertinggi boleh meningkat 5.3 darjah Celsius.
Di arena kewangan sedunia, kesedaran kian memuncak tentang ancaman perubahan iklim dan kehilangan alam semula jadi terhadap keuntungan syarikat.
Pada Jun 2025, bank Singapura DBS, OCBC dan UOB menerbitkan laporan mengenai kesan kehilangan alam semula jadi di Asia Tenggara terhadap operasi bank, terutama dalam sektor makanan dan pertanian yang menyumbang sekitar 11 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) rantau ini.
Awal Mac lalu, Singapura mengumumkan 2026 sebagai Tahun Penyesuaian Iklim, termasuk penubuhan pejabat baru bagi menguruskan haba serta dana $5 juta untuk menyokong projek daya tahan haba, perlindungan banjir, pemuliharaan air dan pemasaran hasil tempatan.
Dalam bidang kewangan mampan, Kementerian Undang-Undang (MinLaw) turut melancarkan program perintis alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk meningkatkan kepakaran kemapanan dalam bidang guaman.
Usaha itu turut disokong oleh Rangka Transformasi Pekerjaan Kewangan Yang Mampan, yang dilancarkan pada 2024 bagi mengenal pasti kemahiran baru diperlukan sektor kewangan bagi memenuhi permintaan pembiayaan mampan di rantau ini.
Antara pekerjaan yang memerlukan kemahiran tersebut adalah pengurus aset dan syarikat insurans.
Setakat ini, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah memperuntuk $35 juta bagi menyokong usaha peningkatan dan penyesuaian kemahiran, termasuk kursus kewangan mampan yang diiktiraf Institut Perbankan dan Kewangan (IBF).
Sidang puncak tersebut, anjuran SGFIN Universiti Nasional Singapura (NUS), menghimpunkan sekitar 220 peserta termasuk ahli akademik, penggubal dasar dan pengamal kewangan mampan dari seluruh rantau.

