Isu teknikal lewatkan pemulihan khidmat mudah alih Singtel selepas gangguan lebih 6 jam
Isu teknikal lewatkan pemulihan khidmat mudah alih Singtel selepas gangguan lebih 6 jam
Pemulihan pada gangguan perkhidmatan mudah alih Singtel, yang berlarutan lebih enam jam pada 16 Mac, dihambat oleh isu teknikal, kata syarikat telekomunikasi itu.
Singtel turut menegaskan kejadian itu tiada kaitan dengan serangan siber.
Ribuan pelanggan Singtel, termasuk pengguna anak syarikat dan pelan GOMO turut terjejas.
Laporan mula membanjiri Downdetector sekitar 10.30 pagi (827 laporan) dan meningkat pada 11.04 pagi dengan 5,330 laporan.
Pada 1.08 petang, ia berkurang kepada 1,276, dan sekitar 3.20 petang, tinggal hampir 450 laporan.
Downdetector ialah laman web yang menjejaki gangguan perkhidmatan dalam talian secara masa nyata.
Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dalam maklum balas kepada media berkata pihaknya menyedari gangguan terhadap perkhidmatan rangkaian mudah alih Singtel yang bermula pada 10.30 pagi.
Pada 12.01 tengah hari, Singtel mengumumkan di Facebook punca masalah telah dikenal pasti dan “langkah pembetulan” sedang diambil, namun ia tidak mendedahkan puncanya.
“Semasa proses pemulihan, kami menghadapi beberapa isu teknikal yang menyebabkan kelewatan,” jelas Singtel pada 3.28 petang.
Pada 11.12 pagi, Singtel mengakui masalah dan meminta pelanggan mematikan dan menghidupkan semula peranti.
Syarikat itu memohon maaf atas gangguan tersebut.
Kesan gangguan turut dirasai pada 12.35 tengah hari apabila NETS memaklumkan di Facebook bahawa transaksi terminal dan kod QR mungkin terjejas, dan mereka bekerjasama dengan Singtel.
Awal sebelum ini, gangguan melibatkan Singtel pernah berlaku beberapa kali.
Pada November 2025, ia memakan masa enam jam; dan pada Oktober 2024, gangguan seluruh negara memutuskan talian kecemasan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan polis, serta hospital dan bank.
Singtel pernah didenda $1 juta kerana gangguan talian tetap yang menjejas 500,000 pengguna selama lebih empat jam.

