Masih tidak jelas sama ada pemberhentian pekerja yang dilaporkan baru-baru ini didorong oleh penggunaan kecerdasan buatan (AI) atau tidak, kata Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau.

Beliau berkata bahawa impak penggunaan AI sukar diasingkan daripada transformasi dan penstrukturan semula perniagaan yang lebih luas.

Cik Lau menambah bahawa tinjauan kementerian mendapati hanya sebilangan kecil syarikat yang menggunakan AI telah mengurangkan jumlah pekerja, manakala lebih banyak syarikat yang mewujudkan peranan baharu atau mereka semula bidang tugas.

Perkembangan itu disampaikan Cik Lau di Parlimen pada 6 Oktober.

Menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) mengenai peningkatan pemberhentian kerja di Singapura selepas angka tersebut melonjak ke tahap tertinggi sejak pandemik pada suku kedua 2026, Cik Lau berkata bahawa Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang memantau situasi pasaran pekerjaan secara teliti.

“Kami akan terus menambah baik tinjauan dan mekanisme pemantauan pasaran kami untuk lebih memahami impak AI terhadap pekerjaan,” kata Cik Lau.

Pada 21 September, MOM mengeluarkan data yang menunjukkan bilangan pekerja yang dibuang kerja mencapai 4,620 pada suku kedua 2026 – tahap tertinggi sejak suku keempat 2020 sewaktu pandemik Covid-19.

Ini bermakna, sekitar dua pekerja dibuang kerja bagi setiap 1,000 pekerja.

Jumlah itu meningkat daripada 3,830 pemberhentian pekerja – atau sekitar 1.6 pekerja yang dibuang kerja bagi setiap 1,000 pekerja – pada suku pertama.

Cik Lau menambah bahawa pasaran pekerjaan kekal berdaya tahan, namun terdapat tanda penurunan.

Kementeriannya justeru sedang "mengkaji semula secara menyeluruh" langkahnya untuk melihat bagaimana ia dapat memperkukuh sokongan bagi pekerja.

Beliau berkata bahawa rakan kerjasama tiga pihak sedang mengkaji langkah untuk memastikan pekerja diberikan layanan secara adil apabila pemberhentian kerja berlaku.

Ini termasuk dalam pembayaran faedah pemberhentian kerja dan akses lebih awal kepada perkhidmatan kemudahan pekerjaan.

MOM juga sedang melihat cara untuk menyokong pekerja yang menghadapi tempoh peralihan yang lebih lama untuk kembali bekerja, termasuk pekerja lebih matang dan mereka dalam sektor yang sedang menjalani penstrukturan semula yang ketara.

“Ini diusahakan melalui pelbagai semakan, termasuk semakan Akta Pekerjaan yang sedang berjalan dan kumpulan kerja tiga pihak mengenai pengambilan pekerja warga emas.

“Kami akan memberikan maklumat terkini apabila semakan ini selesai,” katanya.

Dalam soalan susulan, AP gerakan pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), bertanya mengenai sokongan bagi karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) matang.

Ini kerana, dalam kalangan mereka yang dibuang kerja, PMET matang sering menghadapi tempoh pengangguran dan proses kembali bekerja yang lebih lama, kata Dr Wan Rizal.

Anggota Parlimen (AP) gerakan pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar).
Anggota Parlimen (AP) gerakan pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar). - Foto MDDI

Cik Lau berkata MOM memantau kumpulan itu secara khusus, termasuk kadar mereka kembali bekerja pada tempoh enam, 12, dan 24 bulan.

Beliau menambah bahawa MOM sedang dalam proses menyemak skim mereka untuk melihat bagaimana dapat menyokong pekerja dengan lebih baik dalam peralihan ekonomi hari ini.

“Kami juga mengambil maklum mengenai model pekerjaan yang kian pesat berubah... Ini adalah sesuatu yang perlu kami pantau kerana jenis sokongan yang mereka terima melalui kontrak perkhidmatan mungkin berbeza,” kata Cik Lau.

Sementara itu, Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) turut menyuarakan kebimbangan mengenai cabaran khusus yang dihadapi oleh pekerja berusia 50 tahun dan ke atas, terutamanya mereka yang telah berkhidmat puluhan tahun dalam sektor yang sedang menjalani penstrukturan semula global.

Beliau bertanya sama ada MOM boleh memperluaskan sokongan serta mengambil langkah proaktif mendampingi pekerja yang melalui sektor pekerjaan yang boleh menjangkakan ketidakpastian sebelum pemberhentian kerja berlaku.

Anggota Parlimen (AP), Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh).
Anggota Parlimen (AP), Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh). - Foto MDDI

Mengulas mengenai perkara itu, Cik Lau mengakui bahawa pekerja berusia 50 tahun ke atas yang telah lama berkhidmat sememangnya menghadapi kesukaran yang lebih besar untuk beralih ke peranan baharu.

Walaupun tekanan pemberhentian kerja setakat ini tertumpu dalam tiga sektor utama – pembuatan, maklumat dan komunikasi, serta perkhidmatan kewangan – ia masih terlalu awal untuk dipastikan sama ada gelombang pemberhentian kerja itu akan berterusan atau berapa lama ia akan berpanjangan, dan pemerintah akan terus memantau keadaan, tambah beliau.

Sesuai dengan itu, beliau menekankan bahawa MOM sedang mendampingi pekerja dan majikan dalam sektor tersebut secara proaktif bagi membantu memindahkan pekerja ke peranan dan pekerjaan yang mempunyai peluang pertumbuhan lebih cerah.

Dalam pada itu, Encik Patrick Tay (Pioneer) menyarankan agar MOM memberi perhatian lebih dekat terhadap isu di mana pekerja melakukan pekerjaan di bawah tahap kemahiran atau kelayakan sebenar mereka.

Encik Tay turut mencadangkan agar skop Program Penukaran Kerjaya (CCP) diperluaskan serta sokongan bimbingan dan kebajikan ditingkatkan bagi pekerja yang beralih ke syarikat atau sektor baharu.

Cik Lau memberi jaminan bahawa MOM mengambil maklum perkara itu.

Anggota Parlimen (AP), Encik Patrick Tay (Pioneer).
Anggota Parlimen (AP), Encik Patrick Tay (Pioneer). - Foto MDDI