Selama hampir setahun, seorang pekerja Persatuan Rakyat (PA) menyalahgunakan wang yang diperuntukkan untuk Rangkaian Penduduk.
Pada 17 Jun, Maslina Mohd Yusof, 30 tahun, yang tidak lagi bekerja dengan PA, mengaku salah atas dakwaan pecah amanah dan dijatuhi hukuman penjara dua bulan, lapor The Straits Times (ST).
Mahkamah diberitahu Maslina mula bekerja dengan PA pada Ogos 2021 dan menjadi Pengurus Jawatankuasa Penduduk (RC) di Rangkaian Penduduk pada November 2022.
Sebagai pengurus RC, tugasnya termasuk memastikan sebarang yuran atau bayaran yang dilunaskan kepada Rangkaian Penduduk dikumpulkan dengan betul daripada peserta kursus, acara atau kumpulan minat khusus, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Benjamin Low.
Apabila bayaran dibuat secara tunai, Maslina bertanggungjawab mengumpulkan wang tersebut dan memastikan ia dimasukkan ke dalam akaun bank Rangkaian Penduduk dalam tempoh tujuh hari.
Dia juga dikehendaki menyiapkan penyata akaun untuk projek di Rangkaian Penduduk.
Pada Mac 2023, Maslina mula menyalahgunakan sebahagian daripada wang yang dikumpulkan.
Sebagai contoh, dia akan mengetepikan sebahagian daripada wang yang dikumpulkan dan bukannya memasukkan jumlah penuh ke dalam akaun bank.
Bagi mengelakkan perbuatannya dikesan, dia menangguhkan proses memasukkan baki wang ke dalam bank setiap kali dia perlu berbuat demikian.
Ini untuk memberi masa kepada dirinya memulangkan jumlah yang telah diambil.
Wang cengkeram penuh kemudian akan dibuat selepas tarikh akhir tujuh hari berlalu, menyebabkan ia dicatat sebagai pembayaran lewat.
Tetapi untuk beberapa kali, Maslina tidak dapat memulangkan semula wang tunai yang telah diambilnya, kata DPP Low.
DPP Low menambah bahawa Maslina telah menggunakan wang yang diselewengkan untuk perbelanjaan peribadinya, kerana mengalami masalah kewangan.
Antara Mac 2023 dengan Februari 2024, dia telah menyalahgunakan sejumlah $8,375.
Dia telah membayar semula sepenuhnya wang tersebut kepada Rangkaian Penduduk.
Perbuatannya terbongkar apabila pemeriksaan dibuat dan wang yang dimaksudkan untuk bayaran kepada Rangkaian Penduduk tidak ditemui.
Meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan, DPP Low berkata:
“Sebagai pengurus RC, dia adalah kakitangan awam dan bertanggungjawab secara langsung untuk memastikan yuran dan bayaran yang dikumpulkan dimasukkan ke bank tepat pada masanya sebab ia hasil sumbangan daripada penduduk untuk Rangkaian Penduduk.”
Beliau menambah: “Tindakannya berpotensi menimbulkan keresahan orang ramai dan merendahkan kedudukan PA dan pekerjanya di mata orang ramai.”
Peguam bela Maslina, Encik Jared Lee, memohon penjara dua bulan, dengan menyatakan bahawa ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dalam undang-undang.
Beliau berkata Maslina sedang menghadapi tekanan jiwa sepanjang tempoh kesalahan dan sejak itu, telah mengambil langkah aktif membaiki keadaan.
Sebagai memberi respons kepada pertanyaan ST, PA berkata ia memandang pandangan serius terhadap kesalahan yang dilakukan oleh Maslina.
“Apabila PA mengetahui tindakannya, kami membuat laporan polis dan mengambil tindakan segera bagi menghalangnya daripada terus mengendalikan dana.
Dia bukan lagi kakitangan (anggota) PA,” kata jurucakap itu.
Mereka yang melakukan jenayah pecah amanah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg