Ketua keselamatan siber pertama Singapura akan bersara pada 1 Julai 2026 selepas 11 tahun menerajui Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), dan 42 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Encik David Koh, 61 tahun, telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pengasas CSA sejak April 2015. Beliau juga menyandang jawatan Pesuruhjaya Keselamatan Siber sejak 2018.

Menggantikan Encik Koh ialah penjawat awam kanan Cik Gwenda Fong, 48 tahun, yang merupakan Timbalan Setiausaha bagi Masyarakat Digital dan Pembangunan di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dari Januari 2023 hingga Mac 2026.

Beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam sektor awam merangkumi bidang teknologi, keselamatan dan dasar sosial.

Mengucapkan penghargaan kepada Encik Koh, Setiausaha Tetap (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Chng Kai Fong, berkata:

“David (Koh) telah membangunkan CSA dari mula dan meletakkan Singapura pada kedudukan kukuh dalam keselamatan siber, daripada mewujudkan rangka kerja nasional dan asas perundangan hingga menjadikan Singapura suara yang dipercayai dalam hubungan siber antarabangsa.”

Beliau menambah bahawa iltizam dan kepimpinan berwawasan Encik Koh telah menyediakan asas kukuh untuk kejayaan berterusan CSA.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Encik Koh menerajui pelbagai usaha baru yang mengukuhkan keselamatan siber negara, termasuk pembangunan Strategi Keselamatan Siber Singapura 2016, pelan induk bagi perlindungan prasarana genting, pertahanan siber dan pembangunan tenaga kerja.

Strategi itu disemak semula pada 2021 bagi memperluas kerjasama dengan sektor swasta serta mengukuhkan kerjasama antarabangsa.

Encik Koh juga menyelia penggubalan Akta Keselamatan Siber pada 2018 yang mewajibkan pengendali prasarana maklumat genting untuk mematuhi piawaian keselamatan siber dan melaporkan kejadian serius. Akta itu dipinda pada 2024 untuk turut meliputi perkhidmatan digital utama dan penyedia pihak ketiga.

Sebagai pengurus krisis berpengalaman, beliau memimpin langkah tindak balas terhadap kebocoran data SingHealth pada 2018 yang menjejas data 1.5 juta pesakit, serta serangan 2025 oleh kumpulan pengintipan siber canggih UNC3886 terhadap prasarana genting negara.

Di peringkat dunia, Singapura menjadi suara utama dalam dasar dan tadbir urus keselamatan siber semasa diterajui Encik Koh.

Beliau turut melancarkan Minggu Siber Antarabangsa Singapura pada 2016, yang berkembang menjadi antara persidangan keselamatan siber utama di rantau ini, menarik penyertaan penggubal dasar kanan, pemimpin industri dan pakar keselamatan siber dari seluruh dunia.

Atas sumbangannya, Encik Koh menerima Pingat Pentadbiran Awam (Emas) pada 2017 dan Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Bar) pada 2025. Anugerah itu antara penghormatan awam tertinggi di Singapura.

Cik Fong, yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif yang ditetapkan pada 1 April, akan secara rasmi menjadi CEO CSA dan Pesuruhjaya Keselamatan Siber mulai 1 Julai.