Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Encik Pang Kin Keong, bakal bersara pada 1 Jun selepas 35 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam.

Beliau telah memegang jawatan ini sejak September 2017.

Encik Pang bakal digantikan oleh Encik Tan Chye Hee, yang kini merupakan Setiausaha Tetap bagi Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Di MHA, Encik Pang menerajui usaha kementerian dalam menangani ancaman keselamatan seperti campur tangan asing dan penipuan, serta tindak balas terhadap operasi yang genting dan sensitif.

Beliau turut menyelia penubuhan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), serta pelaksanaan sistem pelepasan imigresen automatik, iaitu Konsep Pelepasan Baru (NCC).

Encik Pang menyertai perkhidmatan awam pada 1993 dan memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai Setiausaha Sulit Utama kepada Perdana Menteri ketika itu, Encik Goh Chok Tong.

Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) serta Pengarah di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Pada 2010, Encik Pang bertugas sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Undang-Undang (MinLaw), dan beliau menerajui pembangunan pelan induk untuk menjadikan Singapura sebagai hab antarabangsa bagi timbang tara, perkhidmatan perundangan dan harta intelek.

Beliau kemudian menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan (MOT) dari 2012 hingga 2017, dan terlibat dalam perancangan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dan Pelabuhan Tuas, selain menerajui usaha membangunkan sistem pengangkutan awam yang lebih mampan.