Lelaki didakwa atas video TikTok cetuskan permusuhan kaum, kenyataan palsu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didakwa atas video TikTok cetuskan permusuhan kaum, kenyataan palsu

Mar 10, 2026 | 5:19 PM

Lelaki didakwa atas video TikTok cetuskan permusuhan kaum, kenyataan palsu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
TikTok, video, permusuhan kaum, Pofma, CPF
Video-video tersebut dimuat naik di TikTok pada 2023 dan 2025. - Foto AFP

Seorang lelaki berusia 59 tahun dijadualkan didakwa pada 11 Mac berhubung empat video TikTok yang didakwa menggalakkan perasaan permusuhan antara kaum serta mengandungi kenyataan fakta palsu.

Video tersebut dimuat naik di TikTok pada 2023 dan 2025, menurut polis dan Pejabat Pofma, yang mentadbir Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), dalam satu kenyataan bersama pada 10 Mac.

Dalam satu video TikTok yang dimuat naik di akaunnya pada 26 Ogos 2025, lelaki itu membuat kenyataan yang menggalakkan perasaan permusuhan antara masyarakat Cina dengan kaum lain di Singapura, menurut kenyataan tersebut.

“Video itu juga menyatakan bahawa pemerintah menggunakan wang dan sumbernya untuk membangunkan pemimpin hanya daripada kaum Cina, yang tidak benar,” tambah kenyataan itu.

Lelaki tersebut turut membuat kenyataan yang memfitnah secara jenayah terhadap pegawai awam dalam satu video berasingan pada 2023.

Pada tahun sama, beliau juga memuat naik dua video di akaun TikToknya yang mengandungi kenyataan fakta palsu.

Dalam video bertarikh 12 Ogos 2023, lelaki itu mendakwa tiada ahli Tabung Simpanan Pekerja (CPF) berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan wang CPF untuk membayar pinjaman flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), mencapai sama ada Jumlah Persaraan Asas (BRS) atau Jumlah Persaraan Penuh (FRS) dalam akaun CPF mereka.

Dalam satu lagi video pada 17 Julai 2023, beliau berkata pemerintah boleh menjejaki undi untuk mengenakan tindakan terhadap pengundi.

“Kenyataan-kenyataan ini adalah tidak benar,” kata polis dan Pejabat Pofma.

Lelaki itu telah diberi amaran bersyarat selama 24 bulan pada 2024 oleh polis dan Pejabat Pofma masing-masing berhubung video yang dimuat naik pada 2023.

Amaran bersyarat tersebut mewajibkannya supaya tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah dalam tempoh yang ditetapkan, menurut kenyataan itu.

“Oleh kerana beliau didakwa melanggar amaran bersyarat itu melalui kesalahan berkaitan video yang dimuat naik pada 26 Ogos 2025, beliau kini turut didakwa atas kesalahan berkaitan video pada 2023,” tambah kenyataan itu.

Lelaki itu dijangka didakwa atas dua tuduhan memfitnah, satu tuduhan cuba menggalakkan permusuhan antara kaum, serta tiga tuduhan menyampaikan kenyataan fakta palsu di bawah Pofma.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg