Sebuah tapak di Forest Drive di estet perumahan Tengah telah dikenal pasti sebagai lokasi masjid baru di situ.
Perkembangan terkini itu dikongsi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Menurutnya, lakaran reka bentuk masjid itu dijangka bermula pada 2027.
“Susuli pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Mac lalu, ramai jemaah berkongsi bahawa mereka teruja tentang masjid baru yang bakal dibina Muis (Majlis Ugama Islam Singapura).
“Setelah bekerja rapat dengan agensi berkaitan dan berkat kerjasama erat ini, saya gembira memaklumkan bahawa rancangan pembinaan masjid baru di kawasan Tengah kini sedang berjalan,” ujarnya.
Pengumuman pembinaan masjid itu kali pertama diumumkan Encik Wong pada Mac lalu dan beliau turut berkongsi mengenai pembinaan masjid baru di Tampines North.
Bercakap kepada wartawan di Masjid Darussalam selepas solat Jumaat pada 11 Julai, Dr Faishal menambah bahawa masjid di Tengah itu dibina bukan sahaja untuk memenuhi keperluan penduduk, bahkan sebagai sebuah institusi bagi merapatkan hubungan sesama masyarakat di kawasan Tengah dan Choa Chu Kang.
“Ia dilaksanakan bersama rakan masyarakat serta agensi pemerintah, untuk melihat bagaimana mereka dapat membina sebuah masjid baru agar menjadi satu perjalanan yang dikongsi bersama dan satu visi untuk menggerakkan semangat masyarakat,” katanya.
“Di Singapura, ini merupakan satu perkembangan unik kerana kita bukan sahaja bekerjasama dengan masyarakat Islam, bahkan saya juga amat gembira apabila masyarakat bukan Islam turut bersama melihat bagaimana kita boleh membina sebuah masyarakat harmoni.
“Begitu juga di Tengah – kita akan melaksanakan pendekatan sama dengan bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk memastikan masjid (di estet) Tengah bukan sahaja dibina bagi memenuhi keperluan keagamaan, bahkan berperanan sebagai institusi yang merapatkan hubungan dan membina masyarakat yang padu di Tengah dan Choa Chu Kang.”
Menurut Muis dan Pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dilihat Berita Harian (BH), masjid itu berdekatan dengan kawasan perumahan Brickland Weave dan Parc Meadow @ Tengah.
Stesen MRT Tengah dan Pusat Pertukaran Bas Tengah di Tengah Boulevard juga dijangka berhampiran.
Masjid tersebut merupakan penambahan kepada masjid yang terdapat di kawasan barat Singapura, sekali gus memperkukuhkan lagi keperluan penduduk di kawasan situ.
“Semua masjid ini merupakan institusi yang memenuhi keperluan penduduk setempat,” tambah Dr Faishal.
Menurutnya, pembinaan masjid di Singapura dijayakan melalui sumbangan masyarakat Islam Singapura menerusi Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), dan beliau mengalu-alukan sokongan masyarakat dalam pembinaan masjid tersebut.
“Kita perlu merancang projek-projek ini di bawah MBMF dengan teliti untuk memastikan kemampanan, kewangan kita dijaga rapi, terutama sekali dengan kos yang semakin meningkat,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg