Ketua Rabai S’pura: Penderitaan rakyat Palestin tidak boleh diabaikan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua Rabai S’pura: Penderitaan rakyat Palestin tidak boleh diabaikan

Ikatan yang jadi asas perpaduan S’pura mesti dipelihara, perlukan usaha berterusan semua pihak
Feb 23, 2026 | 9:16 PM

Ketua Rabai S’pura: Penderitaan rakyat Palestin tidak boleh diabaikan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Mordechai Abergel, Ketua Rabai Singapura
Ketua Rabai Singapura, Rabai Mordechai Abergel semasa berucap menerusi rakaman video pada majlis berbuka puasa tahunan yang dianjurkan oleh Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dengan kerjasama Masjid Khadijah. - Foto BH oleh KHALID BABA

Masyarakat Yahudi di Singapura mengakui kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh ramai warga Palestin susulan konflik tragis antara negara itu dengan Israel, kata Ketua Rabai Singapura, Rabai Mordechai Abergel, pada 23 Februari.

Berucap menerusi rakaman video pada majlis berbuka puasa tahunan yang dianjurkan oleh Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dengan kerjasama Masjid Khadijah, Rabai Abergel turut menegaskan ikatan persahabatan yang menjadi asas perpaduan Singapura mesti terus dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

Tiada jalan pintas untuk memelihara keharmonian ini, tambahnya, sambil menekankan bahawa ia memerlukan usaha berterusan, kewaspadaan, dan penglibatan aktif di kalangan rakyat Singapura daripada pelbagai bangsa, agama, dan budaya.

Rabai Abergel, yang menyampaikan ucapannya menerusi rakaman video kerana berada di luar negara, berkata beliau bertuah dapat menetap di Singapura, negara yang memupuk nilai moral, kebaikan, dan kesantunan dengan teliti.

Menurutnya, keistimewaan itu datang bersama tanggungjawab. Setiap individu, katanya, perlu memainkan peranan melindungi masyarakat daripada ucapan kebencian, prasangka, dan sikap tidak bertoleransi.

“Tiada jalan pintas untuk mencapai perpaduan; ia memerlukan usaha berterusan, berinteraksi dengan jiran-jiran daripada pelbagai bangsa, agama, dan budaya, serta mengukuhkan ikatan yang menyatukan kita.

“Singapura adalah sebahagian daripada masyarakat global.

“Maka, kita mesti sentiasa berwaspada agar tidak membiarkan emosi yang dibangkitkan oleh konflik di luar negara menghakis perpaduan sosial yang telah kita bina di tanah air,” katanya.

Beliau merujuk konflik Israel-Palestin yang mencetuskan reaksi mendalam dalam kalangan rakyat Singapura daripada setiap bangsa dan agama.

Rabai Abergel turut menambah bahawa rakyat Singapura harus “mengiktiraf kesakitan dan penderitaan kedua-dua pihak”.

Antaranya, rakyat Israel di mana mereka perlu melalui kehidupan mencabar selepas serangan 7 Oktober.

Walau demikian, beliau turut akur akan penderitaan yang dialami rakyat Palestin dan berkata:

“Kita tidak boleh terus bersikap tidak peduli terhadap nasib dan penderitaan ramai rakyat Palestin biasa yang terkesan akibat konflik panjang dan tragis ini.

“Sebagai anggota masyarakat Yahudi, kami amat sedar betapa besarnya kerugian yang bakal kita tanggung sekiranya gagal memupuk ikatan persahabatan dan saling menghormati yang menjadi teras masyarakat ini,” katanya.

Sekitar 80 tetamu hadir di majlis berbuka puasa di Auditorium ‘Ustaz Ali Haji Mohamed’ di Masjid Khadijah.

Antara tetamu yang hadir termasuk Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam; dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Ini di samping Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash; mantan Timbalan Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean; serta Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Beberapa pemimpin Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), RRG, serta pemimpin masyarakat dan agama juga hadir.

Ketika memberi ucapannya, Encik Shanmugam berkata, walaupun Singapura amat prihatin terhadap konflik global dan krisis kemanusiaan, ia tidak membenarkan ketegangan luar negara memberi kesan kepada kestabilan domestik.

“Mana-mana yang mampu dan sesuai untuk kita bantu, kita akan berikan bantuan kemanusiaan.

“Pada masa yang sama, rangka kerja serta undang-undang kita tidak membenarkan rakyat kita terlibat dalam keganasan di luar negara.

“Mereka tidak dibenarkan pergi berjuang di luar negara bagi tujuan atau perjuangan asing, sama ada untuk sesebuah negara atau organisasi seperti ISIS, sama ada mereka bertempur di Ukraine, Russia atau Gaza,” katanya.

Encik Shanmugam menambah, jika tindakan itu bertentangan dengan undang-undang Singapura, tindakan tegas akan diambil.

Sementara itu, Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, berkongsi bahawa walau terdapat agama-agama yang berbeza, terdapat persamaan pada nilai yang diterapkan.

Ini termasuk belas ihsan, keadilan, rahmah, kerendahan hati dan khidmat kepada sesama insan, dengan setiap daripada manusia bertanggungjawab atas cara menyantuni antara satu sama lain.

“Dalam dunia hari ini, agama kadangkala disalah faham, disalah guna atau dimanipulasi. Daripada menjadi sumber penyembuhan, ia ada kalanya digambarkan sebagai punca perpecahan.

“Daripada mengangkat martabat kemanusiaan, ia kadangkala dieksploitasi untuk membenarkan pengecualian.

“Inilah sebabnya pertemuan seperti ini amat penting,” kata Dr Mohamed.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg