Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan Pendaftar ROMM kini antara barisan penasihat mapan Pergas
Mantan Pendaftar ROMM kini antara barisan penasihat mapan Pergas
Ustaz Nor Razak Bakar berhasrat manfaat peranan di ARB dan Pergas kuatkan aspek pembangunan asatizah
Mantan Pendaftar ROMM kini antara barisan penasihat mapan Pergas
Mantan Pendaftar di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Nor Razak Bakar, telah dilantik sebagai antara barisan penasihat mapan, atau Masyaikh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).
Pengumuman pelantikan beliau dikongsi oleh Pergas menerusi satu hantaran di Facebook pada 18 April, yang mana Ustaz Nor Razak kini dalam kalangan tujuh Masyaikh Pergas.
Catatan itu menyatakan Ustaz Nor Razak telah dilantik sebagai sebahagian daripada barisan Masyaikh Pergas, berkuat kuasa pada 12 Mac lalu.
“Selepas 26 tahun menyumbang kepada perkhidmatan awam, Ustaz (Nor Razak) meneruskan perjalanannya dalam menyumbang kepada masyarakat menerusi kepimpinan agama,” menurut catatan Pergas itu.
Masyaikh Pergas lain terdiri daripada, Pengerusi Masyaikh Pergas, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan; mantan Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Pasuni Maulan; mantan Mufti, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram; mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah, Ustaz Sallim Jasman; Pegawai Kanan Keagamaan Masjid (MRO), Ustaz Abdul Manaf Rahmat; dan mantan Pengetua Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Ustazah Dr Sukarti Asmoin.
Masyaikh Pergas ialah penasihat mapan yang berperanan untuk memberikan panduan kepada kepimpinan Pergas mengenai isu nasional berkaitan Islam, asatizah dan masyarakat.
Pengalaman luas Masyaikh Pergas dalam pelbagai sektor kerjaya dan dakwah menawarkan perspektif serta alternatif bagi menangani isu-isu sosioagama.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Ustaz Nor Razak, 60 tahun, yang juga Pengerusi ARB, berkata usaha Pergas selari dengan matlamat ARB.
“Ia adalah satu tanggungjawab besar dalam memacu kemajuan asatizah melalui pembangunan profesionalisme dan kerohanian.
“Di sebalik semangat untuk berkhidmat, pentingnya untuk saya terlebih dahulu belajar dan menimba pengalaman daripada tokoh-tokoh agama mapan dalam barisan Masyaikh sedia ada,” katanya.
Mengulas mengenai visinya untuk jawatan itu, Ustaz Nor Razak berhasrat memanfaatkan peranannya di ARB dan Pergas untuk menguatkan aspek pembangunan asatizah.
Menurutnya, peranan Masyaikh Pergas lebih tertumpu kepada pemberian panduan, nasihat dan hala tuju.
“Sebagai Pengerusi ARB, saya mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk memacu visi serta misi pemerkasaan asatizah di Singapura, manakala penglibatan dalam Masyaikh Pergas pula dapat bantu melancarkan gerakan ke arah matlamat tersebut.”
Beliau akur dengan beberapa usaha Pergas untuk menjaga kebajikan dan keanggotaan asatizah di bawahnya, termasuk Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan Asatizah (APVN), serta pembangunan ekosistem menyeluruh bagi menjamin kemapanan ekonomi asatizah.
Lantaran itu, beliau mengalu-alukan lebih banyak usaha sedemikian.
Dalam penglibatan Ustaz Nor Razak dengan Pergas sebelum ini, beliau pernah menjadi Majlis Tertinggi Pergas untuk dua penggal – pada 1999 hingga 2001 dan 2001 hingga 2003.
Ini selain menjadi Anggota Pergas sejak awal 90-an sejurus selepas menamatkan pengajian Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Dikelilingi susuk ulama mapan, keputusan menerima tanggungjawab sebagai Masyaikh Pergas bukanlah sesuatu yang mudah bagi Ustaz Nor Razak.
“Saya terfikir dan tertanya juga, wajarkah saya disenaraikan sebaris dengan Masyaikh Pergas yang sedia ada?
“Mereka jauh lebih mapan dan berpengalaman, malah lebih dahulu menabur bakti serta berkecimpung dalam medan dakwah dan pendidikan umat,” ujarnya.
Namun, melihat keperluan untuk menyediakan pelapis asatizah bagi masa hadapan, Ustaz Nor Razak menyahut tanggungjawab itu.
Namun, beliau tetap mengingatkan dirinya untuk belajar daripada Masyaikh sedia ada tentang cara dan adab dalam melaksanakan peranannya di tengah keghairahan serta semangat untuk menyumbang.
Beliau menambah:
“Saya terharu dan amat hargai kepercayaan barisan kepimpinan Pergas dan berterima kasih kepada barisan Masyaikh Pergas atas restu dan sokongan yang diberikan atas pelantikan ini.”
Meskipun menyifatkan dirinya sebagai ‘junior’ dalam kalangan tokoh ulama barisan Masyaikh Pergas, Ustaz Nor Razak percaya gabungan antara tokoh mapan dengan dirinya mampu memperkukuh kedudukan asatizah setempat.
“Kepelbagaian ini diharap dapat memperkayakan perbincangan yang ada dan pada waktu yang sama juga menyegarkan usaha dakwah Pergas dan asatizah di Singapura secara umumnya,” ujarnya.
Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, yang dihubungi BH, menjelaskan bahawa peranan Masyaikh amat penting kerana mereka memberikan Majlis Tertinggi Pergas nasihat dan panduan berdasarkan pengalaman dan hikmah.
Mengulas mengenai pemilihan Ustaz Nor Razak, Ustaz Tarmizi berkata:
“Pengalaman Ustaz Nor Razak dalam memimpin pejabat pernikahan ialah antara sumbangan beliau yang meninggalkan kesan besar dan positif kepada masyarakat Singapura, sekali gus memberi inspirasi dan contoh baik kepada asatizah yang lain.”
Menyingkap pengalaman bekerja dengan Ustaz Nor Razak ketika menjadi Naib Kadi sejak 2011, Ustaz Tarmizi menambah:
“Beliau merupakan seorang pemimpin yang bersifat tenang, berprinsip dan sangat ramah kepada kami yang lebih muda.”
Baru-baru ini, Ustaz Nor Razak telah diberikan amanah untuk menggalas peranan sebagai Pengerusi ARB bagi penggal 2026 hingga 2028.
Terdahulu, beliau telah mengundurkan diri sebagai Pendaftar ROMM pada Januari lalu selepas menjawat jawatan itu sejak 2019 dan digantikan dengan Ustaz Syakir Pasuni.
Beliau membawa bersama pengalaman luas selama hampir tiga dekad dalam perkhidmatan awam, setelah mula berbakti sebagai Kadi dan Timbalan Pendaftar ROMM pada 1999.
“
“Ia adalah satu tanggungjawab besar dalam memacu kemajuan asatizah melalui pembangunan profesionalisme dan kerohanian. Di sebalik semangat untuk berkhidmat, pentingnya untuk saya terlebih dahulu belajar dan menimba pengalaman daripada tokoh-tokoh agama mapan dalam barisan Masyaikh sedia ada.”