Dalam satu tinjauan melibatkan peguam baru pada 2024 dan 2025, kira-kira 60 peratus yang ditinjau menyatakan mereka berkemungkinan meninggalkan bidang guaman dalam tempoh lima tahun akan datang.
Antara sebab utama yang sering dikemukakan ialah beban kerja berlebihan atau isu keseimbangan kerja dengan kehidupan; tawaran gaji atau pakej pampasan lebih menarik di tempat lain; kesan kerja terhadap kesejahteraan mental; kekurangan fleksibiliti atau kelonggaran dalam pengaturan kerja; serta budaya tempat kerja yang tidak sihat.
Bagi menangani isu itu, Ketua Hakim (CJ), Encik Sundaresh Menon, berkata pada 12 Januari, beliau dan Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, bertekad untuk bersama-sama menerajui hala tuju sebuah jawatankuasa bagi membantu perkhidmatan guaman dalam menghadapi cabaran seperti kekurangan kadar tenaga kerja dan kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap bidang perundangan.
Berucap semasa majlis pembukaan tahun perundangan tahunan di auditorium Mahkamah Agung, Encik Menon berkata beliau dan Encik Tong bersependapat bahawa bidang guaman perlu menyesuaikan diri dengan cabaran semasa.
Menurut Encik Menon, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh wakil badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara (AGC), Kementerian Undang-Undang (MinLaw), Akademi Undang-Undang Singapura (SAL), Persatuan Guaman Singapura (LSS), Persatuan Peguam Korporat Singapura (SCCA) serta ahli akademik.
Dalam ucapannya, Encik Menon turut menyatakan, 2026 menandakan ulang tahun ke-200 sistem perundangan Singapura, yang bermula pada 1826 dengan penggubalan Piagam Keadilan Kedua.
Beliau mengumumkan beberapa langkah baru bagi memperingati ulang tahun ke-200 itu, termasuk pelancaran pingat peringatan dan pameran selama setahun di bangunan Mahkamah Agung.
Sebuah kawasan kehakiman baru juga akan dibentuk, merangkumi Octagon, Menara Mahkamah Negara dan bangunan bekas Mahkamah Keadilan Keluarga (FJC), yang akan digunakan semula untuk menempatkan Mahkamah Syariah dan institusi kehakiman berkaitan.
Beliau menambah, ulang tahun ke-200 itu juga merupakan peluang merenung cabaran masa hadapan, dengan penyusutan tenaga kerja sebagai antara isu utama, didorong oleh perubahan dalam amalan guaman.
Menurutnya, era digital telah mempercepat interaksi rentas sempadan, menghapuskan had pengendalian dokumen dan meningkatkan tuntutan anak guam terhadap mutu kerja serta kepantasan tindakan peguam.
AI yang menjana kandungan pula mencabar kefahaman tentang peranan peguam dan sifat kerja perundangan, tambah beliau.
Walaupun alat AI boleh membantu para peguam, beliau memberi amaran ia berisiko menjejas pembangunan kemahiran asas seperti penyelidikan, analisis, penggubalan dan pertimbangan undang-undang, serta keupayaan menyemak ketepatan hasil kerja yang dijana oleh AI.
Isu AI turut disentuh Peguam Negara, Encik Lucien Wong, dan Presiden LSS, Encik Tan Cheng Han.
Encik Wong berkata pegawai AGC boleh menggunakan pelbagai alat AI, namun keperluan mereka tidak dapat dipenuhi sepenuhnya oleh produk pasaran atas faktor keselamatan negara dan sifat unik kerja mereka.
Beliau berkata pasukan dalaman telah membangunkan alat khusus, termasuk peringkas penghakiman, chatbot bagi undang-undang jenayah dan penganalisis perjanjian antarabangsa.
Namun, beliau menegaskan, nilai teras dan kemahiran kemanusiaan seperti temu bual saksi, soal balas dan rundingan tidak boleh digantikan oleh AI.
“AI mampu menjawab soalan, tetapi tidak menilai ketepatan soalan,” katanya.
Profesor Tan menyuarakan kebimbangan bahawa penggunaan AI boleh mengurangkan peluang latihan bagi peguam muda dengan mengambil alih tugas rutin yang membina kemahiran asas.
Beliau menambah, jika peguam tidak memahami atau tidak dapat menggunakan teknologi dengan berkesan, perkhidmatan guaman boleh menjadi kurang mudah diperoleh, sekali gus menjejas peluang anak guam mendapatkan keadilan.
Ucapan-ucapan tersebut tidak menyentuh isu melibatkan LSS yang menjadi tumpuan berita pada Disember 2025.
Profesor Tan, bagaimanapun, memberi penghormatan kepada bekas Presiden Persatuan Guaman, Cik Lisa Sam, serta usaha berterusan ProBono SG di bawah kepimpinan, Encik Dinesh Singh Dhillon.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg