Mindef: S’pura lazim beri laluan tentera AS singgah, dapat sokongan logistik
Mindef: S’pura lazim beri laluan tentera AS singgah, dapat sokongan logistik
Selaras dengan Memorandum Persefahaman 1990, perjanjian atur penggunaan kemudahan di S’pura oleh AS
Singapura biasa membenarkan tentera Amerika Syarikat singgah dan mendapatkan sokongan logistik.
Ini selaras dengan Memorandum Persefahaman 1990, jelas Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 19 Mac.
Perjanjian 1990 itu mengatur penggunaan kemudahan di Singapura oleh Amerika.
Singapura juga secara tetap memudahkan persinggahan pesawat serta kapal tentera asing di kemudahannya, tambah kementerian itu.
Mindef menjawab pertanyaan media selepas kapal Tentera Laut Amerika dikesan di Selat Singapura sejak beberapa hari lalu, di tengah konflik Amerika, Israel dengan Iran.
USS Tripoli, membawa ribuan anggota marin dan kelasi, memasuki Selat Singapura pada 17 Mac, lapor CNN.
Pegawai Amerika memberitahu CNN kapal perang itu sedang dikerahkan ke rantau Timur Tengah, namun tidak mendedahkan hala tujunya.
Laporan media Amerika menyatakan kapal itu membawa anggota Unit Ekspedisi Marin ke-31 yang berpangkalan di Okinawa, iaitu pasukan tindak balas segera dengan 2,200 kru.
Kapal itu juga dikesan di laman penjejakan kapal ketika menghampiri Singapura.
Kapal tentera lazimnya mematikan transponder, iaitu alat pengenalan dan penjejakan, atas sebab keselamatan operasi, namun akan menghidupkannya di laluan perairan sibuk bagi mengelakkan perlanggaran.
CNN melaporkan USS Tripoli ialah kapal utama dalam armada tentera laut yang turut merangkumi kapal amfibia USS New Orleans dan USS San Diego.
The Straits Times mendapati pada 18 Mac, USS New Orleans melalui Singapura sebelum meneruskan pelayaran ke Selangor, Malaysia, dan seterusnya ke Timur Tengah.
Sementara itu, kapal tempur pesisir (LCS) Amerika, USS Tulsa, yang sebelum ini berpangkalan di Bahrain, kini berlabuh di pusat wilayah Tentera Laut Amerika di Sembawang.
USS Tulsa, sebuah kapal penyapu ranjau, ialah antara tiga kapal yang ditempatkan di Bahrain pada 2025 bagi menggantikan empat kapal pemburu ranjau Tentera Laut Amerika yang telah ditamatkan perkhidmatan.
Kapal penyapu ranjau menyingkirkan ranjau laut (bom laut) secara meluas, manakala kapal pemburu ranjau mengesan dan memusnahkannya secara khusus.
Sebuah lagi daripada tiga kapal penyapu ranjau itu, USS Santa Barbara, kini berada di Singapura, menurut Komando Pusat Pasukan Tentera Laut Amerika kepada The War Zone pada 19 Mac.
Komando Pusat itu memaklumkan kededua kapal berkenaan sedang menjalani penyelenggaraan berjadual dan membuat persinggahan logistik di Singapura.

