Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Misa di Gereja St Joseph disambung sehari selepas barang mencurigakan ditemui

Pengunjung tenang, cadang langkah keselamatan dipertingkat semasa musim perayaan
Dec 22, 2025 | 7:45 PM
Singapura, St Joseph’s Church, Bukit Timah, suspicious item
Pengunjung gereja beredar selepas misa pertama pada 22 Disember. - Foto ST

Para pengunjung gereja hadir seperti biasa secara berperingkat untuk misa pagi 22 Disember di Gereja St Joseph, sehari selepas satu barang mencurigakan ditemui di kawasan gereja tersebut.

Kira-kira 50 orang menghadiri misa pertama hari itu pada 6.30 pagi, selepas gereja ditutup pada 21 Disember.

Barang berkenaan kemudiannya disahkan tidak berbahaya, lapor The Straits Times (ST).

Pada akhir misa selama setengah jam itu, Reverend Peter Zhang berucap kepada pengunjung dan mengucapkan terima kasih atas kesabaran serta kefahaman mereka.

“Kami berasa lega kerana semua dalam keadaan selamat dan kami dapat menyambung semula perayaan misa. Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan atas rahmat-Nya dan kerana melindungi masyarakat kita,” katanya.

Mewakili para paderi gereja, beliau turut menasihatkan pengunjung gereja agar tidak membuat sebarang andaian atau pendapat tanpa maklumat yang tepat.

Paderi gereja itu, Paderi Christopher Lee, turut hadir pada misa tersebut.

Seorang pesara, Encik Nelson Quah, 74 tahun, antara yang menghadiri misa 6.30 pagi itu.

Beliau menghadiri misa hampir setiap hari, namun tidak berada di gereja pada 21 Disember kerana kurang sihat.

Encik Quah berkata beliau akan terus menghadiri gereja secara tetap seperti yang dilakukannya selama bertahun-tahun, namun mencadangkan agar langkah keselamatan dipertingkatkan terutama semasa musim perayaan.

Beliau turut meluahkan rasa sedih dan bimbang apabila mengetahui tentang peristiwa pada 21 Disember tersebut.

“Ia berlaku terlalu dekat dengan kes paderi itu,” katanya, merujuk kepada kejadian pada 9 November 2024 apabila Paderi Lee ditikam semasa upacara Sabtu malam.

Bagi pengunjung gereja lain seperti Encik Paul Yap pula, keadaan berjalan seperti biasa.

Beliau berkata dirinya tidak terjejas dan akan terus ke gereja setiap hari.

“Pihak berkuasa menjalankan tugas dengan baik dan kami juga mempunyai pasukan keselamatan yang baik di sini,” katanya.

Cik Wee, seorang pesara berusia 79 tahun, turut menyatakan beliau tidak bimbang, sambil berkata: “Tuhan ada bersama kami.”

Cik Cecille Solana, 60 tahun, seorang pemandu penghantaran dari Filipina, berkata beliau mengetahui tentang kejadian itu melalui media sosial dan berita apabila tiba di Singapura pada 21 Disember untuk melawat anak perempuannya.

“Anak saya telah memberi amaran dan meminta saya berhati-hati, tetapi saya tetap datang pagi ini kerana keimanan saya,” katanya.

Beliau berkata akan terus menghadiri misa setiap hari sehingga selesai menunaikan doa Novena, iaitu ibadah selama sembilan hari.

“Saya bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera,” tambahnya.

Seorang sukarelawan gereja berusia 26 tahun ditahan di bawah undang-undang antipengganasan pada 21 Disember selepas satu barang mencurigakan ditemui di gereja itu sekitar 7 pagi.

Lelaki itu didakwa pada 22 Disember kerana membuat ancaman pengganasan palsu.

Polis berkata beliau dipercayai bertindak bersendirian dan setakat ini tiada bukti menunjukkan kejadian tersebut dikaitkan agama atau merupakan satu tindakan pengganasan.

Pada 21 Disember, para pengunjung gereja yang tiba untuk misa pagi Ahad telah dipindahkan keluar, dan Kumpulan Biologi, Radiologi Kimia dan Pertahanan Bahan Letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF CBRE) telah dikerahkan.

Barang berkenaan, yang menyerupai alat letupan buatan sendiri, dinilai tidak mengandungi unsur letupan dan dikeluarkan dari lokasi kejadian.

Operasi polis berakhir sekitar 5 petang dan tiada kecederaan dilaporkan.

Gereja tersebut ditutup pada 21 Disember, dengan misa disambung semula pada 22 Disember.

“Kami berasa lega kerana semua dalam keadaan selamat dan kami dapat menyambung semula perayaan misa. Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan atas rahmat-Nya dan kerana melindungi masyarakat kita.”
Reverend Peter Zhang.

“Pihak berkuasa menjalankan tugas dengan baik dan kami juga mempunyai pasukan keselamatan yang baik di sini.”
Encik Paul Yap, pengunjung gereja.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg