Topik diikuti
Pergi ke BHkuMula-mula ikut nenek, kini aktivis belia perjuang keselamatan, program masjid
Aktivis belia, asatizah beri jaminan masjid kekal ruang selamat bagi anak muda; sistem penyeliaan, perlindungan perlu diperkukuh secara bersama.
Mula-mula ikut nenek, kini aktivis belia perjuang keselamatan, program masjid
Kenangan sembilan tahun lalu pada 2017 masih segar di ingatan Cik Amirah Adawiyah Mohammad Fauzy, 21 tahun, apabila beliau mula mengikut neneknya ke Masjid Al-Mawaddah di Sengkang.
Pada ketika itu, beliau hanya berusia 12 tahun dan sekadar bergaul rapat dengan rakan-rakan seangkatan neneknya di samping berjinak-jinak sebagai seorang sukarelawan.
Namun, perjalanannya sebagai seorang sukarelawan mula mekar tatkala disambut mesra oleh golongan belia yang menjemputnya menyertai sayap belia masjid itu, Fitwah Al-Mawaddah, pada 2019.
Mula membantu dalam jawatankuasa kecil, benih cintanya kepada rumah ibadah itu terus berkembang sehingga Cik Adawiyah dilantik memikul tanggungjawab besar sebagai Naib Presiden sayap belia itu.
Baginya, masjid bukan sekadar tempat menunaikan ibadah semata-mata, malah juga merupakan platform memperkasa rakan sebaya yang memerlukan bimbingan agama dan ruang sokongan positif.
Kepuasan baginya adalah apabila beliau dan pasukannya dapat membantu anak-anak muda lain yang datang ke masjid untuk membina keseimbangan antara tuntutan agama dengan kehidupan duniawi.
Keresahan susulan kes ‘pempengaruh agama’
Namun, ketenangan yang sekian lama terbina di rumah ibadah itu tiba-tiba tersentak gara-gara berita tentang kes penderaan seksual membabitkan dua beradik oleh seorang ‘pempengaruh agama’ baru-baru ini.
“Bila berita itu keluar, saya berasa amat terkejut dan ia sebenarnya agak menakutkan, tetapi sebagai belia kita juga perlu pandai menjaga diri kita sendiri,” luah Cik Adawiyah.
Bagaimanapun, kekecewaan dan kepiluan terhadap berita itu tidak sesekali memadamkan semangatnya.
Sebaliknya, ia menyalakan azam yang lebih kuat buat pasukannya untuk memastikan aktiviti belia di masjid kekal telus, teratur, dan selamat, kata beliau.
Sebagai contoh, sedang beliau dan rakan-rakannya membuat persiapan untuk menganjurkan sebuah kem untuk peserta wanita, mereka menyedari akan kebimbangan yang timbul dalam kalangan ibu bapa.
Justeru, sayap belia masjid itu mengambil langkah proaktif untuk mententeramkan fikiran ibu bapa menerusi penjelasan di media sosial serta khabar dari mulut ke mulut.
Beliau menegaskan bahawa semua kegiatan dipantau rapat oleh anggota belia, pegawai masjid, serta orang dewasa yang dipercayai bagi menjaga batasan jantina dan keselamatan fizikal mahupun emosi para peserta.
Sejak kes ‘pempengaruh agama’ didedahkan, beberapa langkah telah diumumkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan pemerintah untuk melindungi anak muda di persekitaran institusi agama.
Antara lain, MUIS telah mengarahkan supaya langkah keselamatan sedia ada dipertingkat, termasuk rondaan dan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) di masjid.
Pada 8 September, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, turut mengumumkan satu jawatankuasa semakan akan dibentuk untuk meneliti dan memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan belia dalam institusi agama.
Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum, dan Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed,
Antara lain, jawatankuasa itu akan menyemak langkah perlindungan dan pemantauan bagi pengajaran agama secara formal dan tidak formal.
Jawatankuasa itu akan menjalankan semakan penuh, yang mana dapatan dan cadangan mereka akan dikemukakan kepada Encik Zaqy menjelang akhir 2026, sebelum didedahkan kepada orang awam.
Masjid sebagai ruang pembangunan diri, bina ukhuwah
Bagi aktivis belia Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris, Cik Mira Sorfina Noor Asrin, 23 tahun, kebimbangan yang timbul dalam kalangan ibu bapa selepas insiden berkenaan sememangnya amat difahami dan perlu dipandang serius.
Namun begitu, beliau yang aktif dalam kumpulan belia Wildan di masjid tersebut amat berharap agar peristiwa terpencil itu tidak mematahkan semangat anak-anak muda untuk terus berteduh di masjid.
“Secara peribadi, Masjid Al-Istighfar sentiasa menjadi tempat di mana saya berasa selesa dan disokong oleh masyarakat belia yang saling menjaga antara satu sama lain,” kata Cik Mira.
Selain menjadi tempat ibadah, beliau menambah bahawa masjid juga memberi peluang kepada belia untuk mengasah kemahiran praktikal di samping berbakti kepada masjid menerusi penerbitan video, reka bentuk grafik, dan pengurusan media sosial..
Pengalaman manis itu turut dikongsi oleh Naib Pengerusi Fityan Assyakirin, Cik Syafiah Nur Hanisah Norhisham, 21 tahun, yang mula berjinak-jinak dengan kegiatan masjid menerusi penglibatannya dalam projek kepimpinan belia tempatan.
Cik Syafiah menjelaskan penglibatannya di masjid bukan sahaja membentuk kemahiran kepimpinan dan sifat rendah diri, malah membuka matanya kepada keprihatinan sosial yang ditawarkan oleh institusi keagamaan tersebut.
“Bagi saya, masjid adalah tempat untuk masyarakat, oleh masyarakat, dan ia sentiasa menjadi ruang di mana saya berasa selamat serta selesa untuk berbakti,” tegas Cik Syafiah.
Pandangan senada turut disuarakan oleh Encik Firhan Hairul Isham, 18 tahun, sukarelawan kumpulan Fitwah di Masjid Al-Mawaddah.
Beliau berkongsi pengalaman menyentuh jiwa sewaktu program ‘Nur Night’ apabila kegiatan penulisan surat berhasil mengeratkan kembali ikatan kasih sayang antara peserta dengan ibu bapa mereka.
Encik Firhan berkata kehadiran Pegawai Pembangunan Belia (YDO) dan staf masjid yang sentiasa bersedia mendengar permasalahan anak muda menjadikan masjid sebuah ruang yang sangat selamat dan menyokong.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Masjid Sultan, Encik Naufal Haziq Abdul Hamid, 25 tahun, berkata beliau sentiasa berasa selesa dan selamat berada di masjid, sama ada untuk tujuan keagamaan, program, mahupun kegiatan sukarela.
Namun, pada masa yang sama, beliau berkata adalah penting juga bagi belia untuk menyedari dan memainkan peranan untuk menjaga batasan diri sendiri semasa berinteraksi dengan belia lain.
“Jika ada sesuatu yang dirasakan tidak kena atau membuatkan kita berasa tidak selesa, kita perlu tahu bahawa tidak mengapa untuk bersuara dan mendapatkan bantuan daripada seseorang yang kita percayai,” katanya.
Harapan aktivis belia
Ketika ditanya tentang apa lagi yang harus pihak masjid lakukan untuk terus menarik belia datang ke masjid, aktivis belia berkata pihak masjid perlu terus memberi ruang dan peluang bermakna kepada golongan muda untuk menerajui serta merancang program mereka sendiri.
Encik Naufal Haziq mengusulkan agar pihak masjid sentiasa mendengarkan isu yang dekat di hati belia serta menyediakan ruang khas di masjid untuk mereka berkumpul dan bertukar-tukar fikiran.
“Saya fikir apabila belia rasa didengari, dipercayai dan diberi tanggungjawab yang bermakna, mereka lebih cenderung untuk terus terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Encik Firhan menggesa agar institusi masjid kekal bersikap terbuka tanpa menghakimi latar belakang belia, di samping memperbanyakkan perbincangan mengenai cabaran harian seperti kesihatan mental dan hubungan sosial.
Cik Mira dan Cik Syafiah pula menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran yang selamat dengan amalan perlindungan yang jelas, selain memberi peluang kerjasama antara masjid bagi meluaskan pengalaman serta kepimpinan golongan muda.
Tumpu kepada kawalan, penyeliaan orang dewasa
Mengulas tentang kes ‘pempengaruh agama’ itu, Mantan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, menegaskan kes itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menutup masjid atau merenggangkan hubungan belia dengan masjid.
Malah, tindakan menutup atau mengetatkan akses masjid secara berlebihan hanya akan mendatangkan lebih banyak kemudaratan kepada masyarakat sekitar, tambahnya.
“Di dunia yang terbuka ini, kita tidak boleh menutup masjid hanya kerana bimbang akan risiko tertentu,” kata Ustaz Dr Hannan.
“Tindakan menutup masjid hanya akan menyebabkan lebih banyak perkara tidak diingini berlaku di kejiranan dan masyarakat kita.”
Ustaz Dr Mohammad Hannan berkata beliau pernah melihat situasi masjid di luar negara yang terpaksa dikunci rapat.
Pendekatan sedemikian, jika dilakukan di Singapura, hanya akan menjauhkan anak-anak muda daripada agama, tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa benteng keselamatan sebenar terletak pada keutuhan hubungan antara kakitangan, sukarelawan, jemaah, dan jiran tetangga yang bersama-sama menjadi ‘hati dan mata’ bagi menjaga rumah Allah.
“Masjid yang kuat bukan masjid yang paling tertutup, tetapi masjid yang masyarakatnya paling kuat bersatu, saling percaya dan saling menjaga,” tegasnya, yang kini Zamil Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) .
Turut menyokong ialah Naib Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Kalthom Isa, yang mengalihkan tumpuan utama kepada amalan penyeliaan golongan dewasa.
Beliau menekankan ibu bapa tidak boleh menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab menjaga anak-anak mereka kepada pihak guru atau asatizah tanpa pemantauan sendiri.
“Isu utamanya bukanlah mengenai masjid sebagai satu tempat fizikal, sebaliknya berkaitan dengan amalan penyeliaan dan kawalan keselamatan oleh orang dewasa yang berinteraksi dengan anak-anak muda,” jelas Ustazah Kalthom.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan keperluan mewujudkan batasan interaksi yang sangat jelas antara tenaga pengajar dengan pelajar di luar waktu kelas.
Beliau mencadangkan agar sebarang kegiatan luar seperti perkhemahan disertai oleh lebih daripada seorang dewasa dengan susunan penyeliaan yang telus.
“Segala batasan dan panduan ini perlu dianggap sebagai sebahagian daripada etika pengajaran Islam dan amalan perlindungan yang wajib disampaikan secara jelas kepada pengurusan masjid, guru, sukarelawan serta ibu bapa,” kata Ustazah Kalthom.
Pendekatan inklusif, langkah perlindungan menyeluruh pegawai belia masjid
Beberapa Pegawai Pembangunan Belia (YDO) yang bercakap dengan Berita Minggu (BM) berkata masjid-masjid tempatan terus menggiatkan pelbagai program menarik dan berstruktur untuk menarik belia selain memastikan kebajikan serta keselamatan mereka sentiasa terjamin.
YDO Masjid Al-Mawaddah, Ustaz Ali Mohammad Bahrul Ulum, berkongsi program seperti ‘SilatSolat’ dan sesi santai ‘Friday Barakah’ berjaya menyemai disiplin ibadah serta membina watak belia dalam suasana yang menyeronokkan.
“Saya melihat diri saya sebagai sebuah kompas buat mereka, iaitu seseorang yang boleh menunjukkan arah yang betul terutamanya apabila mereka sedang berdepan dengan cabaran atau keputusan sukar,” kata Ustaz Ali.
Katanya, sebagai langkah keselamatan tambahan, sukarelawan tempatan kini juga tampil membantu membuat rondaan mesra di sekitar kawasan masjid sebelum waktu solat Maghrib dan Isyak.
YDO Masjid Assyakirin, Ustazah Nur Hidayati Aznim, pula menjelaskan strategi penglibatan belia masjid tersebut mengimbangi pendidikan agama yang berstruktur dengan kepimpinan masyarakat secara praktikal.
Dari segi pendidikan, masjid itu mengendalikan program berbentuk modul bagi subjek asas seperti Fardu Ain, serta siri Fiqh kontemporari yang membincangkan isu-isu yang relevan dengan belia seperti etika digital, hubungan, dan daya tahan mental.
Bagi penglibatan belia pula, ia mengutamakan inisiatif diterajui oleh belia untuk memberi mereka peluang menonjolkan bakat.
“Kami memperkasakan belia untuk mengendalikan kem semasa cuti sekolah dan menganjurkan program khidmat masyarakat, seperti kegiatan kesukarelawanan di pusat kebajikan dan rumah perlindungan,” kata Ustazah Nur Hidayati.
Masjid tersebut turut memastikan adanya penyeliaan yang sewajarnya oleh pegawai masjid dan fasilitator, serta kegiatan dijalankan di ruang yang sesuai di mana para peserta boleh mendapat sokongan yang secukupnya.
Liputan CCTV di masjid juga merupakan sebahagian daripada langkah keselamatan sedia adanya, selain memaklumkan ibu bapa mengenai aturan program yang berkaitan dan mendapatkan kebenaran mereka apabila diperlukan.
Usaha proaktif ini turut diselaraskan di masjid lain seperti di Masjid Darul Makmur dan Masjid Al-Istighfar, yang turut menekankan penyeliaan rapi semasa kegiatan fizikal serta memastikan tiada peserta ditinggalkan tanpa kawalan dewasa.
Harapan dan seruan buat generasi muda
Mengimbas kembali perjalanannya mula melangkah masuk dan berbakti di masjid, Cik Adawiyah menegaskan bahawa kepimpinan belia di masjid telah membina keyakinan dirinya untuk berkhidmat kepada masyarakat luas dengan penuh jati diri.
Beliau menyeru rakan-rakan sebaya dan ibu bapa agar tidak membiarkan kebimbangan mengatasi kebaikan, sebaliknya terus mempercayai peranan masjid sebagai ruang rohani yang sentiasa melindungi serta memperkasa anak muda.
“Masjid adalah rumah Allah dan tempat beribadah yang sepatutnya memberikan ketenangan. Dan saya yakin masjid masih antara tempat paling selamat untuk belia melupakan sejenak urusan dunia serta membina diri menjadi Muslim yang lebih baik,” ujar Cik Amirah Adawiyah.