Topik diikuti
Pergi ke BHkuPendapatan, untung bersih SGX catat rekod tertinggi
Keuntungan bersih naik 7.8% kepada $698.4j, pendapatan naik 13.9% kepada $1.5b
Bursa Saham SGX mencatatkan keuntungan bersih $698.4 juta bagi tahun kewangan 2026, meningkat 7.8 peratus berikutan pertumbuhan dalam semua segmen operasinya.
Hasil pendapatan bersih meningkat 13.9 peratus kepada $1.5 bilion, manakala pendapatan sesaham (EPS) naik kepada $0.653, menjadikan tahun kewangan 2026 tahun tertinggi bagi hasil dan keuntungan bersih.
Setelah disesuaikan, keuntungan bersih meningkat 24.6 peratus kepada $759.5 juta, manakala keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) terlaras naik 17.9 peratus kepada $980.6 juta dan EPS terlaras naik kepada $0.71.
Bagi separuh kedua yang berakhir pada Jun 2026, keuntungan bersih meningkat 15.5 peratus kepada $355.7 juta, manakala hasil operasi naik 19.6 peratus kepada $823.3 juta.
“Pertumbuhan meluas merentasi semua segmen, dengan perniagaan ekuiti tunai kami memacu ke hadapan manakala tonggak perniagaan pertukaran asing dan komoditi kami mencapai jumlah dagangan tertinggi baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SGX, Encik Loh Boon Chye, sambil menyifatkan tahun kewangan 2026 sebagai “satu lagi tahun yang cemerlang”.
Lembaga pengarah SGX mencadangkan dividen suku tahunan akhir sebanyak $0.115 sesaham, meningkat daripada $0.105 tahun sebelumnya, selain dividen khas sekali sahaja sebanyak $0.125 sesaham. Kedua-duanya akan dibayar pada 10 November.
Tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, jumlah dividen tahun kewangan 2026 akan mencecah $0.57 sesaham berbanding $0.375 pada tahun sebelumnya.
“Keuntungan daripada kitar semula modal membolehkan kami memberi ganjaran kepada pemegang saham melalui cadangan dividen tambahan sekali sahaja, mencerminkan pendekatan berdisiplin kami terhadap pengurusan modal,” kata Encik Loh.
Jumlah perbelanjaan meningkat 6.4 peratus kepada $591.1 juta pada tahun kewangan 2026 berbanding $555.3 juta pada tahun sebelumnya.
Kos kakitangan yang lebih tinggi dan perbelanjaan operasi lain sebahagiannya diimbangi oleh susut nilai dan pelunasan yang lebih rendah.
Kos tetap kakitangan meningkat 9.3 peratus kepada $210.8 juta daripada $192.9 juta, dengan purata bilangan kakitangan meningkat kepada 1,182 orang daripada 1,138 orang.
Kos kakitangan yang berubah pula naik 13.4 peratus kepada $122.5 juta daripada $108 juta, mencerminkan keuntungan yang lebih tinggi.
Perbelanjaan lain meningkat 3.6 peratus kepada $175.7 juta daripada $169.5 juta, didorong oleh kos teknologi dan yuran profesional yang lebih tinggi, namun sebahagiannya diimbangi oleh pengurangan perbelanjaan pelbagai.
SGX berkata ia kekal berada pada kedudukan yang kukuh untuk mencapai sasaran pertumbuhan hasil kumpulan 6 hingga 8 peratus dalam jangka sederhana, tidak termasuk pendapatan perbendaharaan, dengan peningkatan perbelanjaan pada kadar satu digit rendah hingga pertengahan.
Bagi tahun kewangan 2027, SGX menjangkakan pertumbuhan berterusan merentasi semua segmen operasi, peningkatan perbelanjaan 6 hingga 8 peratus serta perbelanjaan modal sekitar $100 juta.
Keputusan tahun kewangan 2026 secara keseluruhannya selaras dengan jangkaan penganalisis, disokong oleh peningkatan aktiviti pasaran termasuk jumlah dagangan pelabur runcit yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun serta pertambahan penyenaraian baharu dan pengumpulan modal lanjutan.
RHB Group Research menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 selepas mengambil kira data pasaran Jun yang lebih kukuh, dengan unjuran hasil $1.474 bilion dan keuntungan bersih berulang $744 juta.
Penganalisisnya, ncik Shekhar Jaiswal, berkata pelupusan Scientific Beta ialah perkembangan positif kerana menyingkirkan anak syarikat yang mengalami kerugian.
SGX, yang memperoleh pegangan 93 peratus dalam Scientific Beta pada 2020, akan menjual penyedia indeks itu kepada Stoxx pada harga 23 juta euro ($34.03 juta) selepas syarikat itu mengalami kerugian bersih sekitar $15 juta pada separuh pertama FY 2026.
Sementara itu, DBS mengunjurkan hasil $1.55 bilion dan keuntungan bersih $736 juta bagi tahun kewangan 2026, namun memberi amaran bahawa pertumbuhan lebih perlahan merentasi pelbagai kelas aset boleh menjejaskan unjurannya.
Pada penutupan dagangan pada 6 Ogos, saham SGX meningkat sebanyak 1.3 peratus atau $0.31 kepada $24.32, dengan hampir 3.3 juta saham bertukar tangan.
