Pemimpin masyarakat menyambut baik berita pelantikan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menggantikan Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Pelantikan tersebut diumumkan pada 21 Mei oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang menyatakan beliau telah berbincang dengan Encik Masagos dan bersetuju bahawa “sudah tiba masanya bagi generasi baru pemimpin mengambil alih portfolio ini”.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), pemimpin masyarakat serta ahli akademik berkata mereka gembira dengan pelantikan Dr Faishal dan mengalu-alukan kerjasama dengannya dalam menangani isu yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam.
Menurut mereka, Dr Faishal bukanlah orang yang asing dalam masyarakat dan sudah sekian lama mempunyai pengalaman serta pemahaman tentang isu yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam.
Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata berdasarkan pengalaman bekerjasama dengan Dr Faishal saban tahun menerusi Program Pembangunan & Penyepaduan Semula yang menyokong penyalah guna dadah serta keluarga mereka, Dr Faishal menunjukkan “pemahaman yang hebat tentang masyarakat”.
“Memandangkan pengalaman luas beliau berusaha dalam masyarakat, kami yakin beliau berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil alih tampuk kepimpinan sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
“Kami mengalu-alukan Dr Faishal meneruskan penglibatan dengan pelbagai peringkat dalam masyarakat. Selama ini, beliau juga bersikap terbuka kepada pandangan dan cadangan daripada masyarakat, dan ini akan memudahkan aspirasi masyarakat bagi peluang yang lebih besar serta mobiliti sosial,” kata Ustaz Fathurrahman.
Menyifatkan Dr Faishal sebagai seorang yang “sangat mudah didekati”, beliau menambah:
“Kami juga mengalu-alukan perspektif baru beliau untuk menangani beberapa isu masyarakat yang telah lama wujud, seperti jurang pendapatan isi rumah.”
Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Razwana Begum, pula berkata pelantikan Dr Faishal adalah tepat pada masanya.
“Beliau bukan orang asing dalam masyarakat dan membawa bersamanya, bukan sahaja pengalaman dasar, tetapi juga hubungan kemasyarakatan yang kuat dan sifat sedia mendengar.
“Pengetahuannya terhadap usaha berterusan menjadikan beliau berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan kerja penting ini.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Dr Faishal dalam bidang utama seperti perkhidmatan keluarga, sokongan bagi pasangan yang menjalani perceraian dan perkhidmatan rumah pemulihan Rise Above.
“Pengalamannya dalam masyarakat memberi kami keyakinan bahawa beliau akan mendengar dengan teliti keperluan masyarakat yang semakin berkembang,” ujar Profesor Razwana.
Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, pula berkata:
“Saya yakin Dr Faishal dapat memainkan peranan yang baik dan lebih berkesan sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarkat Islam, terutama sekali dalam membawa masyarakat maju ke hadapan, supaya masyarakat Islam Singapura dapat dilihat sebagai satu masyarakat yang progresif, berdaya tahan dan juga yang dapat menyesuaikan pemahaman dan pengamalan Islam dalam konteks negara kita yang sangat unik ini, iaitu konteks sekular, majmuk dan masyarakat Islam sebagai masyarakat minoriti.”
Penolong Profesor di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah, memberitahu BH beliau tidak terkejut dengan pelantikan Dr Faishal.
“Jika anda pernah berjumpa dengan Dr Faishal, anda mesti tahu, tidak ada seorang yang ada perkara buruk untuk dikatakan tentang dirinya sebab beliau seorang yang baik.
“Saya fikir ia langkah yang baik oleh PM,” kata Dr Walid.
Berkongsi pandangan serupa, Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain, berpendapat Dr Faishal merupakan “calon yang tepat bagi jawatan ini”.
“Dr Faishal, sebagai seorang individu, mempunyai perwatakan yang sangat menyenangkan dan saya fikir masyarakat kita tidak ada masalah menerima beliau dengan sepenuh hati,” kata Encik Nassar.
Dalam pada itu, Encik Wong berkata Dr Faishal akan terus bekerjasama dengan pemimpin Melayu/Islam lain termasuk Encik Zaqy Mohamad, yang dilantik sebagai Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan).
Bersama-sama pemimpin Melayu/Islam lain, mereka akan terus mendekati masyarakat, membina pada asas sedia ada dan bekerjasama dengan masyarakat untuk merealisasikan matlamat bersama.
Encik Wong pula memberi jaminan: “Saya juga akan bekerjasama rapat dengan mereka, melibatkan masyarakat Melayu/Islam adalah keutamaan bagi saya pada penggal lalu, dan ia akan terus menjadi keutamaan dalam penggal pemerintah baru ini.” ujar Encik Wong. – Laporan tambahan IRMA KAMARUDIN, SHIQIN RAMADAN


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg