Sektor awam dan pasaran pengguna menawarkan premium gaji tertinggi bagi kepakaran kecerdasan buatan (AI) di Singapura, menurut kajian baru oleh syarikat PwC.

Data ini muncul ketika penggunaan AI meningkat di seluruh ekonomi Singapura, kata firma perkhidmatan profesional itu dalam laporan yang dikeluarkan pada 15 Jun. Premium gaji yang tinggi itu mencerminkan permintaan yang sangat tertumpu terhadap peranan khusus.

Laporan 2026 Global AI Jobs Barometer (‘Barometer Pekerjaan AI Global 2026’) edisi Singapura menunjukkan bahawa pada 2025, jawatan AI dalam perkhidmatan awam menawarkan premium gaji sebanyak 107 peratus berbanding jawatan bukan AI.

Dalam pasaran pengguna pula, premium gaji yang dicatatkan adalah 96 peratus.

Menurut PwC, data ini menandakan permintaan yang lebih tertumpu terhadap bakat pakar khusus, berbanding sektor yang menggunakan AI secara meluas dengan jurang gaji yang lebih kecil.

Peningkatan peluang pekerjaan AI ini kini merangkumi bahagian yang lebih besar dalam pasaran buruh Singapura.

Peratusan iklan pekerjaan berkaitan AI melonjak kepada 5.3 peratus pada 2025 berbanding 3.3 peratus pada 2024. Ini mewakili pertambahan kira-kira 30,000 iklan pekerjaan berkaitan AI yang menjadikan jumlah permintaan kepada 84,000 jawatan.

Meskipun sektor kewangan serta teknologi, media dan telekomunikasi (TMT) mencatat jumlah iklan pekerjaan tertinggi, peningkatan kekosongan jawatan AI sebenarnya berlaku di semua sektor yang dikaji.

PwC mendapati sebahagian besar pengambilan pekerja lebih tertumpu pada peranan pengguna AI berbanding pembangun teknologi itu sendiri.

Iklan bagi jawatan yang memerlukan kemahiran menggunakan alat AI meningkat sebanyak 26,000, membentuk 82 peratus daripada keseluruhan iklan pekerjaan berkaitan AI.

Bilangan jawatan teknikal lanjutan yang melibatkan pembinaan model pembelajaran mesin atau operasi pembelajaran mesin pula mencatatkan peningkatan 4,200 jawatan.

Data PwC menunjukkan syarikat di Singapura kini giat menyusun semula jawatan sedia ada untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, bukannya mengurangkan pekerjaan secara meluas.

Pekerjaan yang mempunyai pendedahan tinggi kepada AI mencatatkan jumlah iklan tertinggi dan menyumbang lebih separuh daripada kegiatan pengambilan pekerja.

Kajian itu turut mendapati pekerjaan yang lebih terdedah kepada AI mengalami evolusi kemahiran yang ketara antara 2019 dengan 2025.

“Peranan pekerjaan sedang disusun semula, bukannya dihapuskan,” kata PwC, sambil menambah bahawa ekonomi yang beralih kepada jawatan pelbagai fungsi (hibrid) dan bukan teknikal memerlukan pengetahuan asas AI.

Penyusunan semula korporat ini juga disokong oleh data daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Pada suku pertama 2026, sebanyak 18.9 peratus syarikat tempatan mula mereka bentuk semula fungsi pekerjaan, manakala 13.9 peratus lagi mewujudkan peranan baharu berkaitan pelaksanaan AI.

Pemerintah Singapura telah memperkukuh sokongan institusi pada 2026 melalui Majlis AI Nasional dan Program Impak AI Nasional (NAIIP).

Langkah ini mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap peningkatan kemahiran tenaga kerja dan reka bentuk semula pekerjaan.

Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada pelancaran versi kedua Strategi AI Nasional (Nais) pada penghujung 2023.