Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemangat gotong-royong kembali lagi di Masjid Al-Istighfar, Jamae Chulia, dengan korban dikendali
Semangat gotong-royong kembali lagi di Masjid Al-Istighfar, Jamae Chulia, dengan korban dikendali
Kakitangan dan sukarelawan masjid serta penyedia khidmat teruja salur bantuan demi pengalaman Aidiladha lebih bermakna
Semangat gotong-royong kembali lagi di Masjid Al-Istighfar, Jamae Chulia, dengan korban dikendali
Kesibukan mengendalikan operasi ibadah korban secara fizikal sudah sebati dalam kehidupan Encik Mohamed Roslan Abdul Rahman.
Pengalaman warga emas berusia 71 tahun ini dalam mengendalikan ibadah korban, malahan, sudah menjangkau puluhan tahun lamanya.
Bermula daripada berjinak-jinak membantu memegang haiwan korban ketika usia remaja di Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, beliau kemudian diberi kepercayaan menerajui operasi sepenuhnya di Masjid Al-Istighfar dari 2005 hingga 2019.
Sebelum pandemik Covid-19 menghentikan ibadah korban secara fizikal pada 2019, pihak masjid lazimnya menguruskan seluruh operasi korban itu secara sendirian.
Mengimbau detik-detik tersebut, Encik Roslan mengakui operasi itu memerlukan komitmen yang amat tinggi.
“Tidur di masjid itu perkara biasa bagi kami. Haiwan ternakan selalunya sampai pagi-pagi buta. Kami perlu hadir untuk menyambutnya dan memastikan kebajikan haiwan ini terjaga,” ujar bapa lima anak itu.
Selepas menyepi selama tujuh tahun, suasana meriah dan semangat gotong-royong itu bakal kembali di pekarangan Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris.
Masjid Jamae Chulia di South Bridge Road juga akan menyambut kepulangan tradisi masyarakat Islam yang amat dirindui di tapak masjid selepas tempoh sepi selama enam tahun.
Walaupun peranan pihak masjid kini telah berubah kepada menyediakan ruang dan menyokong syarikat pengendali korban masing-masing, Encik Mohamed Roslan, kakitangan serta sukarelawan masjid yang ditemui Berita Harian (BH) tetap tidak sabar untuk menyemarakkan semula semangat korban secara langsung ini.
Ibadah korban akan dijalankan di empat masjid tahun ini.
Dua lagi masjid yang akan terus menyediakan ruang dan sokongan bagi operasi korban ialah Masjid Tentera Diraja di Clementi dan Masjid Omar Salmah di Thomson.
Dalam pada itu, tiga masjid tidak akan mengadakan ibadah korban sebagaimana yang diumumkan selepas pembekal haiwan korban mereka gagal mendapatkan kebenaran untuk mengeksport haiwan korban dari Australia sebelum Hari Raya Haji pada 27 Mei.
Menurut tinjauan BH, terdapat sekurang-kurangnya 800 sukarelawan dan kakitangan masjid serta pengendali perkhidmatan korban yang terlibat dalam operasi korban secara keseluruhannya bagi 2026.
Encik Roslan antara sekitar 350 sukarelawan dan kakitangan Masjid Al-Istighfar yang berganding bahu dengan pengendali perkhidmatan korban, Aliyah Rizq Holdings, untuk menjalankan operasi pada 27 Mei.
“Kebanyakan sukarelwan ini dilibatkan oleh Masjid Al-Istighfar, selain yang berdaftar dengan vendor dan juga masjid lain,” kata Encik Roslan, yang kini merupakan Ketua Urusan Sukarelawan di Masjid Al-Istighfar.
Pengurus di Masjid Al-Istighfar, Ustazah Latifah Yusoff, 44 tahun, pula mengukir senyuman lebar saat menceritakan sokongan padu daripada pelbagai masjid di kawasan timur yang tampil membantu.
“Kali ini, hanya Masjid Al-Istighfar yang berpeluang mengadakan operasi korban di kawasan timur. Kami sangat bersyukur kerana masjid-masjid daerah timur sudi tampil menghulurkan sokongan yang diperlukan, sekali gus menghidupkan semula semangat gotong-royong seperti dahulu.
“Semangat itu tetap kekal selepas beberapa tahun menyepi,” kata Ustazah Latifah, yang mempunyai 15 tahun pengalaman mengendali operasi korban.
“Ramai yang tampil mahu berbakti kerana teruja menghidupkan suasana korban macam dulu, biarpun tugas mereka sekadar menyediakan hidangan makanan,” tambah ibu dua anak lelaki itu.
Berkongsi kegembiraan itu, Encik Roslan menambah: “Walaupun pendaftaran sudah ditutup, masih ada yang tampil menjadi sukarelawan, terutamanya golongan muda. Kami tidak sampai hati untuk menolak keikhlasan dan semangat berkobar-kobar mereka.”
Kegembiraan itu turut dirasai Cik Kamariah Kamarudin, 58 tahun, salah seorang sukarelawan di Masjid Jamae Chulia yang sedang rancak bersiap-sedia menyantuni seramai 150 sohibul korban pada Aidiladha ini.
Beliau telah berkhidmat sebagai sukarelawan di bawah pengendali perkhidmatan korban di masjid itu, AgroMaster Pte Ltd, sejak 2019.
Dalam temu bual bersama BH, suri rumah ini menganggap peluang kembali berbakti di Masjid Jamae Chulia pada 2026 sebagai satu detik yang amat dinanti-nantikan.
“Sudah agak lama tiada korban secara langsung di sini, jadi sekaranglah masanya untuk bergotong-royong. Ini merupakan satu penghargaan sebagai seorang Muslim.
“Ramai ahli masyarakat berminat menyertai proses ini demi menikmati pengalaman sebenar terlibat dalam menguruskan ibadah korban.
”Suasana ceria itu juga dapat menghimpunkan ahli keluarga dan rakan-rakan yang turun padang bersama,” kata Cik Kamariah, yang akan membantu dalam tugas selain penyembelihan.
Selain peranan tukang sembelih, terdapat pelbagai aspek pentadbiran selain penyembelihan yang juga memerlukan tenaga manusia yang luas.
Peranan tukang sembelih lazimnya digalas sukarelawan yang dilatih penyedia perkhidmatan korban atau golongan yang memang mahir.
Tugas lain termasuk pengendali haiwan ternakan, tukang memotong daging, aspek pendaftaran, mengiringi sohibul, mengawal pergerakan orang ramai, jabatan pemantauan dan lain-lain.
Menurut Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rashad, mereka telah beralih kepada khidmat penyembelih profesional yang disediakan oleh AgroMaster.
Sementara itu, lebih 30 sukarelawan masjid itu akan terus membantu dalam pelaksanaan korban secara langsung.
Encik Rasheed menekankan peranan yang lain ini juga penting untuk segala operasi korban berjalan lancar.
“Jabatan pemantauan merupakan komponen penting bagi memastikan para penyembelih mengasingkan daging dengan betul ke dalam bekas yang ditetapkan, sekali gus mengelakkan kekeliruan semasa proses penyembelihan dijalankan,” katanya.
Di Masjid Al-Istighfar pula, ramai sukarelawan diperlukan untuk menjalankan sistem pengesan dalam talian yang diperkenalkan oleh Aliyah Rizq, bagi sohibul mengikuti proses korban dengan lebih mudah.
“Kami melantik sukarelawan untuk tugas pangkalan data di setiap peringkat proses korban, untuk memastikan sohibul dapat memantau perkembangan ibadah korban mereka,” jelas Encik Roslan.
Di sebalik keghairahan itu, pihak Masjid Al-Istighfar dan Masjid Jamae Chulia akur adanya beberapa cabaran setelah beberapa tahun tidak menjalankan ibadah korban secara langsung.
Ia termasuk kebimbangan mengendalikan bilangan sohibul yang ramai, selain menyelaraskan harapan mereka.
Namun, pihak masjid dan pengendali operasi korban telah bekerjasama sejak awal lagi bagi membuat persiapan rapi untuk mengemudi cabaran sedemikian.
Menurut Ketua Operasi Korban Aliyah Rizq, Cik Zahrah Bagarib, antara cabaran utama di Masjid Al-Istighfar adalah dalam membina semula kebiasaan menjalankan operasi setelah sekian lama ia tidak dijalankan.
“Ramai sukarelawan yang menyertai korban tahun ini juga baharu menawarkan khidmat. Lantas, kami memberi lebih penekanan terhadap aspek latihan, penyelarasan, serta usaha memastikan setiap individu memahami aliran kerja operasi, langkah keselamatan dan prosedur kebersihan.
“Masjid Al-Istighfar telah memainkan peranan penting dalam menyokong persiapan ini dengan memastikan penyertaan padu para sukarelawan semasa sesi latihan dijalankan, di samping menyediakan ruang serta sokongan yang diperlukan agar sesi tersebut dapat berjalan dengan berkesan,” jelas Cik Zahrah, 27 tahun.
Bagi Masjid Jamae Chulia pula, mereka melantik AgroMaster sebagai syarikat profesional bagi mengendalikan operasi penyembelihan.
Beberapa sukarelawan masjid itu juga telah dihantar untuk menyertai operasi korban bersama syarikat itu sejak 2023 sebagai persiapan awal. Ia termasuk latihan untuk penyembelih serta semua pengendali haiwan.
Rakan perniagaan AgroMaster, yang juga menerajui operasi korban di masjid itu, Encik Nizari Eunos, 60 tahun, berkata pendekatan itu penting bagi memastikan setiap prosedur dipatuhi dengan teliti, selain menjamin kawalan mutu, saiz dan pengagihan daging korban.
“Berdasarkan pengalaman lalu, terdapat sukarelawan yang terpaksa menarik diri pada saat akhir akibat keletihan.
“Oleh itu, penglibatan tenaga profesional bagi urusan sembelih dan pemotongan daging dapat memastikan kelancaran keseluruhan proses tanpa sebarang gangguan atau ketidakselarasan,” tambahnya.
Operasi mereka juga akan diteruskan, meskipun sebahagian bekalan domba korban mereka terjajas, menyusuli kegenjotan, di mana sekitar 400 haiwan korban dari Australia tidak akan sempat dihantar ke Singapura menjelang Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei.
Encik Nizari memberitahu BH pada 25 Mei ramai sohibul korban Masjid Jamae Chulia memilih untuk menukarkan ibadah korban mereka kepada kambing, manakala segelintir lagi memilih untuk melaksanakannya di Indonesia atau meminta bayaran balik.
Di tengah-tengah proses menyempurnakan ibadah korban, operasi itu juga dianggap sebagai peluang terbaik mendidik dan melatih barisan pelapis yang bakal meneruskan operasi korban.
“Kami cuba gandingkan sukarelawan berpengalaman dan yang muda bersama-sama. Misalnya di stesen memotong kulit haiwan, sukarelawan yang muda dilatih secara langsung, dengan harapan mereka menjadi lebih mahir secara perlahan-lahan,” kongsi Encik Roslan.
Ustazah Latifah pula teruja kededua anak-anak lelakinya, yang berusia 14 dan 15 tahun, akan menemaninya semasa operasi korban nanti.
Pengalaman kali ini bagai mengembalikan nostalgia lalu buat dirinya, yang sebelum ini membesar dengan meluangkan banyak masa sebagai sukarelawan di masjid tersebut bersama ibunya.
Setelah bertungkus-lumus melakukan persiapan sejak beberapa bulan lalu, kedua-dua pihak Masjid Al-Istighfar dan Masjid Jamae Chulia kini bertekad serta teruja menghidupkan semula syiar ibadah korban di pekarangan mereka.
