Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemboyan Sistem Amaran Awam akan dibunyikan di seluruh S’pura pada 15 Sep
Isyarat ‘Mesej Penting’ yang bertujuan memaklumkan orang ramai mengenai siaran penting di radio, akan dibunyikan menerusi Sistem Amaran Awam (PWS) di seluruh pulau selama seminit pada 15 September, 6.20 petang.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 3 September menyatakan bahawa isyarat itu juga akan disiarkan selama 20 saat pada telefon pintar yang mempunyai aplikasi SGSecure, berserta mesej teks ringkas.
Untuk menerimanya, fungsi pemberitahuan dan amaran aplikasi itu perlu dihidupkan.
Pengguna rangkaian Singtel juga akan menerima amaran kecemasan SG Alert pada telefon bimbit mereka, kata SCDF.
Ketika kecemasan, SG Alert melengkapi fungsi PWS dengan segera memaklumkan orang ramai, serta memberikan maklumat mengenai langkah-langkah yang perlu diambil.
Apabila mendengar isyarat itu, orang ramai hendaklah segera mengikuti saluran radio atau televisyen tempatan untuk menerima mesej Pertahanan Mutlak.
Isyarat tahunan itu adalah sebahagian langkah SCDF bagi membiasakan orang ramai dengan PWS dan untuk meningkatkan kesedaran mengenai cara orang ramai harus bertindak apabila mendengar isyarat tersebut, menurut kenyataan SCDF di laman webnya.
PWS berfungsi sebagai sistem amaran bagi serangan dari udara, darat atau laut, serta bencana alam dan bencana akibat perbuatan manusia.
Setiap tahun, semboyan itu dibunyikan pada 6.20 petang sempena Hari Pertahanan Mutlak pada 15 Februari, serta pada 15 September.
Pada 2026, semboyan itu buat julung-julung kalinya dibunyikan pada 1 Februari untuk mengingatkan rakyat Singapura bahawa gangguan boleh berlaku pada bila-bila masa.
