Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura lancar inisiatif peringkat Asia-Pasifik kesan ancaman penyakit berjangkit
Usaha penting ramal risiko penularan; himpun pakar, institusi dalam bidang kesihatan, hidupan liar dan alam sekitar
S’pura lancar inisiatif peringkat Asia-Pasifik kesan ancaman penyakit berjangkit
Satu usaha Asia-Pasifik dilancarkan di Singapura pada 3 November bagi mengesan ancaman penyakit berjangkit baharu melalui penilaian data untuk meramalkan risiko dan membolehkan tindakan lebih awal.
Asia Pacific One Health Initiative (Apohi), yang berpangkalan di Singapura, menghimpunkan pakar dan institusi serantau dalam bidang kesihatan manusia, hidupan liar dan alam sekitar bagi memperkukuh pengesanan awal penyakit.
Usaha ini penting di Asia-Pasifik kerana kepadatan penduduk dan kepelbagaian biologi meningkatkan risiko penularan penyakit daripada haiwan kepada manusia.
Pakar penyakit berjangkit dan Ketua Bersama Apohi, Dr Leo Yee-Sin, berkata Singapura perlu memanfaatkan pengalaman lalu dan memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi ancaman penyakit berjangkit.
Dr Leo, Penasihat Kanan dan Perunding Kanan Temasek Life Sciences Laboratory (TLL), pernah mengetuai usaha menangani wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) pada 2003 dan pandemik Covid-19 dari 2020 hingga 2022.
Beliau berkata perhubungan antara negara dengan pakar ketika Sars terbatas, namun ia berjaya menjalin hubungan dengan Dr Joseph Sung daripada Hospital Prince of Wales, Hong Kong.
“Ketika pandemik Covid-19, hubungan antara negara lebih erat dengan rangkaian kerjasama sudah pun terjalin.
“Keadaan ini membuka lebih banyak peluang untuk berkongsi perkembangan di Singapura, rantau ini dan seluruh dunia, memudahkan kami memperoleh maklumat dan menumpukan usaha pada bidang seperti penyelidikan kerana patogen itu benar-benar baharu,” kata Dr Leo.
Namun, sistem pemantauan manusia, haiwan dan alam sekitar masih beroperasi secara berasingan, menyukarkan pengesanan risiko awal.
Apohi, disokong Yayasan Temasek, Gates Foundation dan Health for Human Potential Community di bawah Philanthropy Asia Alliance (PAA), bagi tujuan merapatkan jurang ini melalui pendekatan kesihatan bersepadu.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Temasek, Encik Ng Boon Heong, berkata penyakit baharu lazimnya hanya dikesan selepas menjangkiti manusia kerana tanda amaran pada haiwan dan alam sekitar jarang digabungkan dan diteliti bersama.
Penyelidik Utama Kanan TLL dan Ketua Bersama Apohi, Dr Ian Cheong, berkata penyelarasan data serta kerjasama merentas negara dan disiplin amat penting.
Dalam 10 tahun, Apohi berhasrat memperkukuh pemantauan bersepadu, ramalan risiko dan penyelidikan rentas sempadan.
Pakar epidemiologi spatial, Dr Kimberly Fornace, mengetuai penyelidikan bagi mengenal pasti kawasan yang dihuni monyet makaka, yang berisiko menyebarkan parasit malaria kepada manusia melalui gigitan nyamuk.
Projek yang menghimpunkan penyelidik dan institusi dari Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei itu menggabungkan pemantauan, pemodelan ramalan, perkongsian data dan tindakan bersama untuk memahami risiko penularan serta menangani ancaman penyakit lain.
Projek itu turut membolehkan perkongsian data rentas sempadan, penelitian bersama dan tindakan bersepadu dibangunkan serta diuji.
Pengajaran daripadanya akan menjadi panduan menangani ancaman penyakit berjangkit baharu yang lain, selaras dengan keutamaan negara yang terlibat.
Menurut Dr Fornace, perubahan hutan dan penggunaan tanah di Borneo mempengaruhi pergaulan manusia, hidupan liar dan nyamuk, serta berkemungkinan mengubah risiko penularan penyakit zoonotik atau malaria monyet.
Walaupun kes malaria berkurangan ketika jerebu teruk akibat fenomena El Nino, kawasan terbakar boleh menjadi habitat baharu bagi nyamuk apabila hujan kembali setahun kemudian, menyebabkan kes malaria meningkat. Gabungan faktor ini meningkatkan risiko penularan.
Menurutnya, pinggir hutan berhampiran penempatan manusia menjadi kawasan pembiakan nyamuk dan habitat makaka, meningkatkan risiko penularan.
Pembinaan jalan raya dan peluasan kawasan kediaman menambah kawasan pertembungan antara manusia dengan kehidupan liar ini.
Pasukannya bekerjasama dengan Indonesia untuk memperkukuh pemantauan dan memahami risiko tersebut.