S’pura, PM Wong jadi sasaran kempen maklumat palsu AI di YouTube
S’pura, PM Wong jadi sasaran kempen maklumat palsu AI di YouTube
Ratusan video YouTube berbahasa Cina yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) didapati menyasarkan Singapura dan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong dalam kempen maklumat palsu yang masih berterusan, menurut penemuan Channel News Asia (CNA).
Tujuh daripada setiap 10 video secara khusus menyerang Encik Wong, mereka-reka naratif bahawa kedudukan kepimpinannya terancam dan menyebarkan maklumat tidak benar mengenai perpecahan politik di Singapura.
Sejak muncul lewat 2025, video ini meraih jutaan tontonan, walaupun pakar percaya trafik bot atau automasi mungkin menyumbang kepada jumlah itu.
Secara keseluruhan, ini antara kempen awam terbesar dan berpanjangan terhadap Singapura dalam beberapa tahun kebelakangan ini. CNA menilai hampir 300 video dalam tempoh tiga minggu.
Kesemuanya dimuat naik oleh lebih 30 saluran YouTube, bersama kandungan yang turut menyasarkan pemimpin dunia lain.
Video tersebut menggunakan alih suara komputer dalam Bahasa Mandarin serta sari kata tulisan Cina tradisional.
Satu lagi ciri ketara ialah penggunaan meluas tanda pagar merujuk kepada Singapura atau Encik Wong.
Taktik ini, dikenali sebagai ‘pencemaran’ SEO (pengoptimuman enjin carian), bertujuan membanjiri hasil carian YouTube dalam bahasa Cina dan menarik penonton yang mungkin tidak akan menonton video tersebut.
Sebahagian klip dan salurannya telah dipadam, namun video baru muncul dengan pantas, menyukarkan penilaian sejauh mana operasi ini sebenarnya tersebar.
Antara dakwaan palsu yang disebarkan ialah kononnya Encik Wong bakal dipecat oleh pendahulunya, Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong, yang dituduh mahu merampas semula kepimpinan Singapura.
Tajuk sensasi turut mendakwa beliau telah “jatuh daripada kuasa” dan menggelarnya sebagai “PM paling singkat berkhidmat”.
Tema lain yang kerap diulang dalam video yang puratanya sekitar 30 minit ialah dakwaan bahawa Singapura bakal menghadapi ‘kemusnahan’ ekonomi.
Video itu mendakwa hab perdagangan Singapura terancam oleh pelabuhan Hainan yang kononnya akan mengambil alih peranannya, sambil memetik statistik tidak disahkan mengenai jumlah penghantaran yang ‘merudum’ serta penghijrahan besar-besaran syarikat Fortune 500.
Hakikatnya, pelabuhan Singapura mengendalikan rekod 44.66 juta kontena pada 2025 dan kekal sebagai pelabuhan kontena kedua paling sibuk di dunia selama 15 tahun berturut-turut.
Operasi video itu turut menyentuh hubungan luar Singapura.
Sesetengah video mempersendakan Singapura sebagai boneka Amerika Syarikat, manakala yang lain mereka dakwaan bahawa Singapura ‘mengkhianati’ Amerika atas alasan ekonomi.
CNA mengemukakan soalan mengenai kempen ini kepada Google, pemilik YouTube, termasuk contoh dua akaun yang menyebarkan naratif palsu. Dalam tempoh 12 jam, kedua-dua akaun tersebut telah ditamatkan.
Jurucakap YouTube berkata platform itu tidak membenarkan spam, penipuan atau amalan mengelirukan, dan saluran yang dilaporkan telah ditamatkan selaras dengan dasar tersebut.
Namun, kebanyakan daripada hampir 300 video yang dinilai masih dalam talian, dan carian di YouTube beberapa minggu kemudian terus memaparkan video serupa yang menyerang Singapura.
Kewujudan kempen ini mula dilaporkan oleh akhbar Lianhe Zaobao.
CNA turut mendapati melalui penelitian manual dan bantuan AI bahawa sekurang-kurangnya 10 saluran berkemungkinan bertindak secara terselaras, satu ciri biasa operasi untuk mempengaruhi pendapat awam.
Bukti menunjukkan akaun ini mungkin dikendalikan pihak sama, termasuk video yang dimuat naik pada saat yang sama atau menggunakan skrip dan alih suara serupa.
Empat saluran yang berkongsi awalan nama Southern Master diwujudkan dalam tempoh 20 minit pada 18 Januari.
Setiap satu memuat naik sembilan video, dijadualkan sekitar 10 pagi pada selang masa tetap. Tajuknya hampir sama dan menerima tindak balas amat rendah.
Kesemuanya menggunakan format visual serupa, berpusat pada imej ‘deepfake’ (pemalsuan mendalam) mendiang pelabur Amerika Charlie Munger.
Tidak jelas mengapa beliau dipilih, namun versi AI beliau muncul dalam lebih separuh saluran kempen ini.
Teknik lain termasuk penggunaan meluas alih suara teks-ke-pertuturan dan imej kecil dijana AI yang hampir sama di pelbagai saluran.
Hampir semua video menggunakan tanda pagar dalam tulisan Cina tradisional dan ringkas berkaitan Singapura atau Encik Wong untuk membanjiri hasil carian.
Ahli sains politik Profesor Madya Chong Ja Ian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata penggunaan tulisan tradisional, yang jarang digunakan di Singapura, mungkin bertujuan menyembunyikan asal-usul saluran tersebut.
Beliau berkata kempen itu mungkin bertujuan menimbulkan ketidaktentuan dalam negara dan menggugat keyakinan terhadap sistem Singapura, termasuk dalam kalangan masyarakat berketurunan Cina di luar negara.
Besarnya kempen ini menunjukkan kemungkinan sokongan negara, walaupun entiti swasta yang mempunyai dana besar juga tidak boleh diketepikan.
Ciri-ciri kempen ini selaras dengan operasi untuk mempengaruhi pendapat awam yang pernah dirakam sebelum ini.
Singapura sendiri telah memperkenalkan undang-undang campur tangan asing pada 2021 untuk menangani risiko sedemikian.
Namun kempen video itu bukan hanya menyasarkan Singapura.
Presiden Amerika Encik Donald Trump, beberapa pemimpin Barat dan Perdana Menteri Jepun Cik Sanae Takaichi turut menjadi sasaran saluran sama.
Akhbar Jepun Yomiuri Shimbun turut melaporkan kempen serupa melibatkan ribuan akaun media sosial yang menyebarkan dakwaan palsu menggunakan imej AI.
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) menyatakan pihaknya sedar akan video yang membuat “dakwaan sepenuhnya direka-reka dan tidak masuk akal” mengenai Singapura.
Menurutnya, rakyat Singapura akan jelas melihat kandungan tersebut adalah rekaan.
MDDI menegaskan Singapura tidak terkecuali daripada usaha menyemai ketidakpercayaan atau campur tangan asing.
Selain langkah pengawalseliaan, masyarakat yang berpengetahuan dan berfikiran kritikal merupakan benteng utama terhadap maklumat palsu.
Orang ramai digesa merujuk sumber rasmi dan tidak menyebarkan kandungan tidak disahkan.
Felo kanan RSIS Encik Benjamin Ang berkata maklumat palsu dalam bahasa ibunda boleh menyentuh identiti seseorang.
Jika usaha menangkisnya dibuat dalam bahasa lain, jurang komunikasi boleh berlaku. Oleh itu, pembinaan keupayaan dalam bahasa ibunda amat penting.
Selain YouTube, kandungan serupa turut dikesan di TikTok dan Facebook.
Namun beliau mengingatkan agar tidak tergesa-gesa mengaitkan semua kandungan mengelirukan dengan campur tangan asing kerana sebahagiannya mungkin bermotifkan keuntungan seperti meraih klik dan pendapatan iklan.
Menurut Profesor Chong, apabila usaha maklumat palsu semakin canggih, rangkaian dan naratifnya juga semakin pelbagai dan berkualiti tinggi.
Keupayaan memahami media dan tanggungjawab sivik semakin penting dalam mempertahankan perpaduan serta daya tahan sosial.
“Perkara seperti ini akan menjadi semakin meluas. Pada masa depan, ia mungkin jauh lebih canggih,” tambahnya.

