Palang Merah Singapura (SRC) telah memperuntukkan bantuan kemanusiaan berjumlah $100,000 bagi menyokong bantuan kecemasan di Venezuela selepas dua gempa bumi dahsyat melanda negara itu pada 24 Jun.

Dana tersebut akan disalurkan bagi menyokong usaha bantuan kecemasan oleh Palang Merah Venezuela serta Pergerakan Palang Merah Bulan Sabit Merah, menurut SRC dalam satu kenyataan pada 29 Jun.

Usaha itu meliputi operasi mencari dan menyelamat, rawatan perubatan kecemasan, serta penilaian segera keperluan kemanusiaan di kawasan yang paling teruk terjejas.

SRC turut melancarkan rayuan kutipan dana awam bagi menyokong usaha bantuan dan pemulihan untuk golongan yang terjejas akibat bencana itu.

Dana yang dikumpulkan akan menyokong operasi Pergerakan Palang Merah Bulan Sabit Merah di lapangan, termasuk penyediaan tempat perlindungan kecemasan bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal, kit kebersihan, set memasak, barangan keperluan isi rumah, serta bekalan perubatan kepada golongan terjejas.

SRC juga menggerakkan perkhidmatan ‘Memulihkan Jalinan Keluarga’ (RFL) sebagai sebahagian daripada usaha menyatukan semula keluarga yang terpisah akibat bencana itu. Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghantar e-mel kepada rfl@redcross.sg.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui kaedah berikut sehingga 30 September 2026:

- Kad kredit: Di pautan www.giving.sg/donate/campaign/VenezuelaEarthquakeResponse

- PayNow: Gunakan UEN: S86CC0370EFR2 dan nyatakan “Venezuela Earthquake (NRIC, FIN atau UEN anda)” di ruangan rujukan bil.

- Cek: Ditujukan kepada ‘Singapore Red Cross Society’, dengan catatan “Venezuela Earthquake” serta nama dan alamat anda di belakang cek, cek, kemudian hantarkan ke Red Cross House.

- Di kaunter: Red Cross House, 15 Penang Lane, pada waktu pejabat.

- Kutipan dana: Daftar sebagai pengumpul dana atau lancarkan kempen di Giving.sg.

Ketua Eksekutif merangkap Setiausaha Agung SRC, Encik Benjamin William, berkata:

“Kesan sebenar bencana ini dan jumlah sebenar korban hanya akan menjadi lebih jelas dalam beberapa minggu akan datang. Keperluan kemanusiaan dijangka meningkat dengan cepat.”

Beliau menyeru masyarakat di Singapura agar berdiri teguh bersama golongan yang terjejas di Venezuela serta menghulurkan bantuan.

Sehingga 28 Jun, hampir 1,500 orang terbunuh selepas dua gempa bumi dahsyat berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud melanda Venezuela pada petang 24 Jun. Kira-kira 50,000 orang masih dilaporkan hilang.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) meramalkan jumlah mangsa berkemungkinan mencecah ribuan orang, dengan kemungkinan besar melebihi 10,000 orang.