Satu undang-undang yang menyatukan statut sedia ada bagi memelihara keharmonian kaum serta menyediakan perlindungan tambahan akan berkuat kuasa pada 15 September.

Pada masa sama, Majlis Presiden bagi Keharmonian Kaum dan Agama (PCRRH) yang baharu akan memulakan penggal sulung tiga tahun, menggantikan Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama (PCRH).

Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum (MRHA) diluluskan Parlimen pada 4 Februari 2025 dan memberi pemerintah kuasa mengeluarkan arahan sekatan (RO) terhadap individu yang menghasilkan kandungan yang menjejaskan keharmonian kaum.

Akta itu turut memperkenalkan langkah pemulihan masyarakat, yang memberi individu yang terbabit dalam kesalahan berkaitan kaum yang lebih ringan peluang memulihkan hubungan dalam masyarakat sebagai ganti pendakwaan.

Pada 14 September, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata undang-undang itu memperkukuh keupayaan Singapura untuk memelihara keharmonian kaum, menangani ancaman baharu dan melindungi masyarakat berbilang budaya daripada pengaruh asing yang berniat jahat.

Akta itu banyak merujuk kepada MRHA, yang turut memperuntukkan RO, mengenakan sekatan kepimpinan dan keperluan mengisytiharkan pembiayaan serta hubungan asing.

Kira-kira 300 persatuan suku kaum dan perniagaan yang ditetapkan sebagai “entiti berasaskan kaum” akan tertakluk kepada keperluan pendedahan serupa. MHA akan memberi panduan sebelum pelaporan pertama pada April 2028.

Semasa perbahasan pada Februari 2025, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, yang pada ketika itu juga menggalas peranan sebagai Menteri Undang-Undang, berkata penggunaan MRHA sejak digubal pada 1990 menunjukkan bagaimana kuasa baharu itu mungkin digunakan.

Beliau berkata tiada perintah pernah dikeluarkan di bawah MRHA, namun rangka kerja itu memastikan semua pihak memahami perkara yang dilarangkan.

“Yang penting ialah mempunyai kuasa tersebut, tetapi perlu sangat berhati-hati dan bijaksana dalam menggunakannya,” katanya.

Di bawah undang-undang baharu, MHA boleh mengeluarkan RO terhadap individu yang menghasilkan, mengedarkan atau menyampaikan kandungan yang menjejaskan keharmonian kaum.

Individu terbabit boleh dilarang menyampaikan atau mengedarkan bahan tertentu serta diwajibkan mengambil langkah munasabah untuk memastikan bahan itu tidak lagi tersedia kepada orang awam di Singapura.

Selepas RO dikeluarkan, ia mesti dikemukakan kepada PCRRH untuk semakan, dan individu yang dikenakan RO boleh mengemukakan hujah kepada majlis tersebut.

Cadangan bebas PCRRH dan nasihat Kabinet kemudian dikemukakan kepada Presiden, yang memutuskan sama ada membatalkan, mengesahkan atau mengubah RO.

Presiden mesti mempertimbangkan cadangan PCRRH dan nasihat Kabinet sebelum membatalkan, mengesahkan atau mengubah RO. Beliau mesti bertindak mengikut nasihat Kabinet, tetapi mempunyai budi bicara jika Kabinet tidak bersetuju dengan PCRRH.

Pada 14 September, Pejabat Presiden turut mengumumkan bahawa Presiden Tharman Shanmugaratnam telah melantik 12 wakil PCRRH.

Majlis itu dipengerusikan mantan Hakim Mahkamah Agung, Encik Choo Han Teck.

Anggotanya termasuk Presiden Persekutuan Buddha Singapura (SBF), Venerable Seck Kwang Phing; Pengerusi Lembaga Penasihat Hindu (HAB) merangkap Presiden Pertubuhan Antara Agama (IRO), Encik K. Sengkuttuvan; Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir; Presiden Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS), Encik Philip Lim Kian Leong; Uskup Agung Roman Katolik, Kardinal William Goh; Presiden Defence Aerospace, ST Engineering, Encik Sarbjit Singh; Penasihat Akademik Persekutuan Tao dan Taoist Mission, Profesor Madya Lee Cheuk Yin; Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Suku Kaum Cina Singapura (SFCCA), Encik Thomas Chua Kee Seng; Pesuruhjaya Tinggi Bukan Pemastautin Singapura ke Pakistan, Encik Ishak Ismail; mantan Timbalan Pengerusi Lembaga Endowmen Hindu (HEB), Encik Bala Reddy; dan mantan Presiden Persatuan Serani (EA), Cik Sandra Theseira.