Warong Nasi Pariaman ditutup: Pemerintah teroka pelbagai pilihan salur bantuan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warong Nasi Pariaman ditutup: Pemerintah teroka pelbagai pilihan salur bantuan

Jan 31, 2026 | 2:18 PM

Warong Nasi Pariaman ditutup: Pemerintah teroka pelbagai pilihan salur bantuan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Warong Nasi Pariaman, URA, perniagaan warisan, NHB
Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menjelaskan pihaknya telah bertemu dengan pemilik Warong Nasi Pariaman untuk meneroka pelbagai pilihan yang boleh diambil selepas ini. - Foto BM oleh KHALID BABA

Pemerintah telah mengadakan pertemuan dengan keluarga yang mengendalikan restoran nasi padang terkenal, Warong Nasi Pariaman, bagi meneroka pelbagai pilihan dalam menyalurkan bantuan lebih meluas.

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) memaklumkan perkara ini pada 31 Januari, iaitu hari terakhir restoran tersebut beroperasi selepas 78 tahun mengendalikan perniagaan keluarga itu di rumah kedai di 738 North Bridge Road, berhampiran Masjid Sultan.

Pemilik Warong Nasi Pariaman, Encik Abdul Munaf Isrin, mengumumkan pada 20 Januari lalu di media sosial dan mengesahkannya ketika dihubungi Berita Minggu (BM) tentang hasrat pihaknya menutup restoran berkenaan buat selama-lamanya tanpa mengulas lanjut sebab restoran ikonik lagi bersejarah itu tutup.

Penutupannya mendapat liputan meluas di pelbagai media setempat dan di seberang Tambak, dengan netizen mengandaikan wujud tekanan kos sewa premis di kawasan Kampong Gelam dan North Bridge Road, seiringan dengan kos operasi yang kian meningkat, yang kemungkinan menjadi sebab perniagaan tradisional juga sulit meneruskan perniagaan di kawasan itu.

Menurut URA, pihaknya mengeluarkan kenyataan ini bagi menjawab pertanyaan media mengenai cabaran yang dihadapi perniagaan warisan.

Menurut URA, kadar sewa median bagi rumah kedai di daerah bersejarah seperti Kampong Gelam, Little India, dan Chinatown, secara umumnya, meningkat pada kadar yang sederhana dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Ia meningkat sekitar 2 peratus setahun di Kampong Gelam, kira-kira 2.5 peratus setahun di Little India, dan sekitar 1 peratus setahun di Chinatown.

Peningkatan ini adalah setara dengan kenaikan sewa ruang runcit di Kawasan Pusat Bandar – iaitu sekitar 2 peratus setahun – dan jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) nominal, yang mencatatkan kadar sekitar 6.7 peratus setahun bagi tempoh yang sama, jelas URA.

URA menambah: “Pemerintah akur perniagaan warisan, sama seperti perniagaan lain, menghadapi pelbagai cabaran komersial seperti kenaikan kos buruh dan bahan mentah, kekangan tenaga kerja, serta peralihan dalam permintaan dan pilihan pengguna – sambil cuba mengekalkan keunikan produk yang mereka tawarkan.”

Pemerintah, jelasnya, juga mengiktiraf kepentingan perniagaan warisan dalam menyumbang kepada identiti dan perwatakan daerah bersejarah Singapura, serta menyedari persekitaran operasi bagi perniagaan ini menjadi semakin mencabar dari semasa ke semasa.

Pelbagai langkah telah disediakan bagi menyokong perniagaan warisan ini, termasuk penubuhan pasukan petugas antara agensi bagi perniagaan warisan, kegiatan tradisional, dan kehidupan berbudaya yang dibentuk pada 2025.

Pasukan ini dipengerusikan bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Professor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling.

Pasukan petugas tersebut menggabungkan agensi-agensi utama untuk mengkaji cara-cara menyokong perniagaan warisan.

Ia juga bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan di Singapura dalam menyemak dan mengemas kini dasar penggunaan tanah bagi memudahkan campuran penggunaan lebih baik dalam mengekalkan ciri kawasan bersejarah di samping menyajikan pelbagai tawaran bagi memenuhi pilihan pengunjung yang kian berubah, tambah URA.

Garis panduan juga telah dikemas kini pada Jun 2025 untuk tidak membenarkan kedai cendera hati baru di dalam daerah bersejarah Kampong Gelam.

Langkah ini diambil sebagai respons kepada maklum balas pihak berkepentingan tentang bagaimana tambahan kedai sedemikian boleh memberi kesan negatif kepada perwatakan dan kepelbagaian penggunaan ruang di daerah tersebut.

Kata URA: “Ini adalah tambahan kepada peraturan sedia ada, yang tidak membenarkan bar, pub, kelab malam dan ruang istirahat karaoke baru, serta restoran makanan segera Barat di kesemua kawasan teras ketiga-tiga daerah bersejarah tersebut.”

URA menambah bahawa Lembaga Warisan Negara (NHB) juga telah melancarkan skim untuk memberi sokongan pemasaran dan khidmat nasihat kepada perniagaan tersebut, selain geran transformasi perniagaan bagi tujuan peningkatan kemahiran dan pendigitalan.

Perikatan Kampong Gelam (KGA), dengan kerjasama pemerintah, ujar URA, turut menggerakkan projek perintis dalam usaha menyokong pengekalan restoran warisan terpilih dengan memudahkan pemindahan mereka ke lokasi lain di dalam daerah yang sama.

KGA merupakan sebuah kumpulan sukarela yang terdiri daripada penduduk, institusi budaya, badan perniagaan, pemilik hartanah dan hotel di kawasan itu – juga telah membangunkan satu rancangan bersama URA dalam usaha meningkatkan tawaran warisan dan pengalaman pengunjung di kawasan itu.

URA menegaskan pemerintah komited dalam mengekalkan dan mempromosikan perniagaan warisan, kegiatan tradisional, dan kehidupan berbudaya di daerah bersejarah Singapura.

“Kami menggalakkan perniagaan warisan untuk mendekati agensi-agensi berkaitan sekiranya mereka memerlukan bantuan, dan kami akan terus mendampingi pihak berkepentingan bagi memastikan langkah-langkah sokongan kekal responsif terhadap keperluan mereka,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sokongan berterusan pelanggan setia, serta perkongsian tentang keunikan hidangan atau sajian mereka, dapat membantu mengekalkan perniagaan warisan ini sekali gus mencerminkan kekayaan masyarakat berbilang budaya di Singapura.

Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di restoran tersebut pada 31 Januari, Encik Abdul Munaf enggan mengulas lanjut mengenai kerjasama yang terjalin.

Di sebalik kesedihan yang dirasakan kerana hari terakhir restoran itu beroperasi, beliau turut melahirkan rasa terima kasih dan kesyukuran atas sambutan luar biasa pelanggan yang datang menyokong seawal 6.30 pagi lagi.

“Buat masa ini, kami hanya ingin berehat buat sementara waktu. Melihat pada sambutan luar biasa hari ini, kami kemungkinan mempertimbangkan rancangan untuk buka perniagaan kecil-kecilan selepas ini,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg