Pihak berkuasa kini membuka ruang bagi usulan merangka konsep Daerah Bandar Changi East yang bakal dibangunkan bersebelahan Terminal 5 (T5).
Ia merupakan langkah awal dalam usaha mewujudkan hab perniagaan dan gaya hidup masa hadapan.
Sebagai sebahagian daripada pembangunan Changi East, daerah itu akan merangkumi kawasan seluas 40 hektar, kira-kira sebesar 56 padang bola sepak – terletak di antara T5 yang sedang dibangunkan dengan Terminal Feri Tanah Merah lapor The Straits Times (ST).
Menurut dokumen tender Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) yang dimuat naik ke portal GeBiz pada 13 Ogos, daerah itu dijangka menjadi tarikan bukan sahaja kepada pengunjung antarabangsa, malahan penduduk tempatan juga.
Daerah itu akan memperkukuh kedudukan Changi sebagai hab penerbangan serantau serta melengkapi pembangunan lain di lapangan terbang dan kawasan sekitarnya, jelas pihak berkuasa.
Apabila siap sekitar pertengahan 2030-an, T5 dijangka dapat memberi khidmat kepada 140 juta penumpang setahun, lebih 55 peratus daripada kapasiti semasa, iaitu sebanyak 90 juta orang.
Pihak berkuasa turut menjelaskan bahawa lokasi Daerah Bandar Changi East yang berhampiran kawasan tepi laut di selatan Changi, dijangka dapat memanfaatkan sinergi dengan kawasan sekitarnya, sambil mengekalkan identiti tersendiri berbanding kawasan lain di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg