Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Video ringkas antara inisiatif baru IRO tangkis fahaman ekstremis

‘We The People of Singapore’ perluas sokongan keharmonian agama ke ruang digital
Aug 20, 2025 | 5:46 PM
majlis memperingati Hari Kebangsaan, David Neo, Dinesh Vasu Dash, Denise Phua, Habib Hassan Al-Attas
Antara yang hadir pada majlis memperingati Hari Kebangsaan pada 19 Ogos di Hotel Fullerton, termasuk Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo (empat dari kiri); Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash (dua dari kiri); Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua (dua dari kanan); dan Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas (kanan). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi memperkukuh pesanan mengenai kepentingan saling menghormati antara agama, khususnya bagi golongan muda, Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura bakal menghasilkan lebih banyak kandungan dalam talian mengenai kepelbagaian agama di negara ini.

Inisiatif itu, yang merangkumi video ringkas, penerangan tentang pelbagai agama di Singapura serta pengalaman peribadi persahabatan antara penganut agama berbeza, turut bertujuan menangkis fahaman ekstremis dalam talian, menurut IRO pada 19 Ogos.

Dinamakan We The People of Singapore, ia akan membina kesinambungan daripada program terdahulu dengan nama sama yang dilancarkan IRO pada 2019, untuk memperluas sokongannya mengenai keharmonian beragama kepada ruang digital.

Dalam majlis memperingati Hari Kebangsaan anjuran IRO di Hotel Fullerton, Presiden IRO, Encik K. Elango, menegaskan pertubuhan itu akan terus menjalin hubungan sambil menggalakkan dialog yang boleh menyalakan cahaya keharmonian.

“Tatkala kita melangkah berani ke 60 tahun seterusnya, matlamat kami jelas – membimbing merentas generasi, membina persahabatan baru dan berkongsi kebijaksanaan setiap agama,” katanya.

IRO ditubuhkan pada 1949 bagi memupuk keamanan dan keharmonian antara penganut agama berbeza.

Ia mewakili 10 agama, iaitu Bahai, Buddha, Kristian, Hindu, Islam, Jain, Yahudi, Sikh, Tao dan Zoroaster.

Pada 19 Ogos, pertubuhan itu memaklumkan bahawa inisiatif terbarunya, dengan kerjasama Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, bertujuan melindungi keharmonian beragama yang tidak mudah dicapai di Singapura serta menyokong gerakan nasional, SGSecure.

Dilancarkan pada 2016, SGSecure tertumpu pada usaha mempersiapkan rakyat Singapura menghadapi serangan pengganas serta melengkapkan mereka dengan kemahiran menangani krisis.

IRO menambah, inisiatif itu juga melengkapi usaha lebih meluas dalam membimbing rakyat Singapura meneliti kandungan agama dalam talian dengan sikap bertanggungjawab, sejajar dengan penilaian terkini Laporan Ancaman Keganasan Singapura, yang mengenal pasti radikalisasi belia sebagai kebimbangan yang semakin meningkat.

“Program digital ini direka untuk membawa sokongan IRO sejak dahulu lagi terhadap sikap saling menghormati antara agama ke ruang maya, iaitu tempat golongan muda semakin banyak berhubung, belajar dan membangun pandangan,” kata pertubuhan itu, sambil menambah bahawa butiran lanjut program baru itu akan diumumkan kelak.

Antara yang hadir pada majlis 19 Ogos itu ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, serta Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, yang juga Mayor South East.

Mayor Daerah Central, Cik Denise Phua, yang turut hadir, berkata CDC Central berbangga bekerjasama dengan IRO dalam memperbaharui usaha mendekati ramai menerusi wadah digital sebagai sebahagian misi CDC dalam menghubungkan dan memperkukuh masyarakat berbilang lapisan.

“Dengan memanfaatkan teknologi, kita dapat menyebarkan mesej IRO yang tidak terjejas oleh masa tentang sikap saling menghormati antara agama kepada lebih ramai penduduk,” katanya.

“Dalam berbuat demikian, CDC Central berharap dapat memperdalam pemahaman dan penghargaan terhadap perbezaan agama serta budaya – yang menjadi tonggak keharmonian dan kekuatan Singapura sebagai sebuah negara majmuk dan berbilang agama,” tambahnya.

Majlis itu turut diserikan dengan doa bacaan pemimpin agama daripada 10 kepercayaan yang diwakili IRO.

Dalam ucapannya, Encik Elango menyifatkan Singapura sebagai cerminan dunia, di mana kuil, masjid, gereja dan sinagog mampu berdiri bersebelahan.

“Keharmonian kita bukanlah berlaku secara kebetulan, malah terbina melalui usaha, rasa hormat, serta komitmen bersama untuk hidup dalam aman. Di situlah terletaknya matlamat IRO,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg