Usia tidak pernah dijadikan alasan bagi Cik Rosemina Hamzah, yang pada umur 73 tahun kini, sedang membuat persiapan untuk menyertai peraduan kecergasan, Hyrox, bersama anak perempuannya, Cik Siti Maryam Abdul Rahman.

Walaupun pertandingan tersebut menggabungkan larian dengan pelbagai cabaran fizikal yang menguji kekuatan dan daya tahan, Cik Rosemina tidak menolak kemungkinan untuk menamatkannya dalam masa kurang dua jam.

Namun, beliau menegaskan bahawa matlamat utamanya adalah untuk berjaya sampai ke garisan penamat.

“Bagi saya, janji selesai,” katanya apabila ditanya mengenai sasaran masa yang ingin dicapai.

“Kalau boleh saya cuba untuk tidak sampai dua jam,” tambahnya sambil ketawa.

Cik Rosemina berkongsi beliau mempunyai sasaran untuk menamatkan pertandingan kecergasan, Hyrox, dalam masa kurang dua jam.
Cik Rosemina berkongsi beliau mempunyai sasaran untuk menamatkan pertandingan kecergasan, Hyrox, dalam masa kurang dua jam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Cik Rosemina berkata demikian semasa berkongsi persiapannya bagi pertandingan, Hyrox, dalam podcast NoTapis, terbitan Berita Harian (BH), baru-baru ini.

Hyrox merupakan peraduan kecergasan peringkat sejagat yang menggabungkan cabaran daya tahan dan kekuatan fungsi harian.

Peserta harus menghabiskan lapan larian sejauh satu kilometer, setiap satu diikuti dengan lapan stesen kecergasan iaitu SkiErg, Sled Push, Sled Pull, Burpee Broad Jumps, RowErg, Farmer’s Carry, Sandbag Lunges dan Wall Balls.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Cik Rosemina menyertai pertandingan tersebut bersama anak perempuannya, Cik Maryam, 33 tahun.

.Cik Rosemina Hamzah, bersama anak perempuannya, Cik Siti Maryam Abdul Rahman.
.Cik Rosemina Hamzah, bersama anak perempuannya, Cik Siti Maryam Abdul Rahman. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menurut Cik Maryam, ibunya pernah mencuba menolak Sled Push seberat 156 kilogram semasa sesi latihan. Berat sebenar semasa peraduan ialah 102 kilogram.

Pada mulanya, Cik Rosemina menghadapi kesukaran untuk menggerakkan peluncur tersebut, namun akhirnya berjaya menolaknya sedikit demi sedikit.

“Bila saya cuba tolak, peluncur itu tak bergerak langsung.

“Kasut saya sampai terlepas kerana tidak ada cukup tenaga untuk tolak peluncur tersebut,” selorohnya.

Beliau mengakui turut berlatih sendiri di rumah, termasuk melakukan gerakan mencangkung (squat) menggunakan bola permainan cucu-cucunya.

Cik Maryam, yang turut membimbing ibunya menjalani latihan, berkata beliau mengambil pendekatan secara berperingkat mengikut kemampuan fizikal ibunya itu.

Sebagai contoh, bagi latihan lunges, ibunya pada mulanya perlu memegang tiang sebelum beransur-ansur mampu melakukan pergerakan tersebut tanpa sokongan.

Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, mereka mengambil masa kira-kira satu setengah bulan untuk mencapai kemajuan itu melalui latihan secara tekal.

Cik Maryam turut menjelaskan bahawa semasa pertandingan kelak, beliau akan melakukan sebahagian besar cabaran fizikal, sambil memberi peluang kepada ibunya mencuba pelbagai stesen senaman yang disediakan.

“Selama ini, ibu saya telah cuba untuk mengubah kehidupannya ke arah gaya hidup yang sihat dan telah mencapainya.

“Hyrox ini adalah untuk memberi peluang baginya terus mencabar tahap kecergasan diri,” kata jurulatih kecergasan itu.

Cik Maryam menjelaskan bahawa semasa pertandingan kelak, beliau akan melakukan sebahagian besar cabaran fizikal, sambil memberi peluang kepada ibunya mencuba pelbagai stesen senaman yang disediakan.
Cik Maryam menjelaskan bahawa semasa pertandingan kelak, beliau akan melakukan sebahagian besar cabaran fizikal, sambil memberi peluang kepada ibunya mencuba pelbagai stesen senaman yang disediakan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sebelum ini, Cik Rosemina mengalami sakit lutut dan mempunyai kesukaran untuk berjalan dan menaiki tangga.

Namun, baru-baru ini, beliau telah dinobatkan juara wanita bagi Cabaran ‘Deadlift Hex Bar’ dalam kategori 70+ tahun.

Menurut Cik Maryam, penyertaan mereka dalam pertandingan Hyrox bukan semata-mata untuk menguji tahap kecergasan ibunya, malah menggalakkan lebih ramai warga emas agar melakukan kegiatan kecergasan.

“Ramai yang rasa bila sudah lanjut usia, mereka tidak perlu bersenam kerana tidak ada harapan untuk menjadi cergas.

“Tetapi, dengan penyertaan saya dan ibu saya dalam Hyrox, saya ingin menunjukkan apabila mereka sudah lanjut usia tiada penghalang bagi mereka untuk mencuba sesuatu yang baru,” kata ibu kepada empat anak itu.

Menurut Cik Maryam (kanan), penyertaan beliau dan ibunya, Cik Rosemina, dalam pertandingan Hyrox bukan semata-mata untuk menguji tahap kecergasan ibunya, malah menggalakkan lebih ramai warga emas agar melakukan kegiatan bagi meningkatkan kecergasan.
Menurut Cik Maryam (kanan), penyertaan beliau dan ibunya, Cik Rosemina, dalam pertandingan Hyrox bukan semata-mata untuk menguji tahap kecergasan ibunya, malah menggalakkan lebih ramai warga emas agar melakukan kegiatan bagi meningkatkan kecergasan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi Cik Rosemina pula, perkara paling penting bukanlah mencatat masa terpantas, sebaliknya keberanian untuk menyahut cabaran mengikut kemampuan sendiri.

“Bagi saya, jangan rasa takut untuk cuba perkara yang baru.

“Mungkin pada awalnya, senaman yang kita lakukan ini mencabar dan mengelirukan, tetapi kita tetap harus cuba.

“Belum cuba, belum tahu,” katanya.