Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga emas terima susu selain telur menerusi peluasan inisiatif protein segar FairPrice
Warga emas terima susu selain telur menerusi peluasan inisiatif protein segar FairPrice
Warga emas terima susu selain telur menerusi peluasan inisiatif protein segar FairPrice
Golongan warga emas yang memerlukan akan dapat menambah lebih banyak protein segar dalam pemakanan mereka menerusi program yang diperluaskan oleh cabang amal Kumpulan FairPrice.
Usaha Ikrar Protein (Protein Pledge) oleh Yayasan FairPrice untuk golongan memerlukan kini turut merangkumi pengagihan susu sebagai barangan kedua, menurut Kumpulan FairPrice pada 25 Jun.
Ikrar Protein dilancarkan pada 2025 bagi mengagihkan protein segar bernilai $1 juta kepada golongan memerlukan di Singapura menjelang 2030, bermula dengan bekalan telur kepada kira-kira 46,000 penerima pada 2025.
Pengagihan susu akan dimulakan secara perintis kepada warga emas yang merupakan penerima amal Yayasan FairPrice dan rakan masyarakatnya.
Seiring peluasan ini, Kumpulan FairPrice turut menawarkan promosi khas bagi warga emas membeli barangan keperluan utama pada harga diskaun sepanjang minggu terakhir setiap bulan di semua cawangan FairPrice Xtra.
Dikenali sebagai ‘Xtra Senior Week’ (Minggu Warga Emas Xtra), skim ini bermula pada 25 Jun dan berlangsung dari Khamis terakhir setiap bulan hingga Rabu pertama bulan berikutnya.
Antara barangan yang ditawarkan ialah susu tepung, makanan tambahan kesihatan, produk penjagaan mulut dan lampin orang dewasa.
FairPrice Xtra juga akan memperkenalkan ‘Active Living Zones’ (Zon Gaya Hidup Aktif), iaitu pusat sehenti bagi keperluan warga emas serta peralatan mobiliti seperti kerusi roda dan alat bantuan pergerakan.
Menurut Kumpulan FairPrice, usaha ini bertujuan memudahkan pengalaman membeli-belah serta penjimatan kepada warga emas dan penjaga mereka.
Peluasan Ikrar Protein menyusuli kajian Yayasan FairPrice pada 2025 mengenai cabaran warga emas mendapatkan pemakanan berkhasiat.
Menurut Kumpulan FairPrice, kajian itu mendapati 67 peratus warga emas yang ditinjau bersetuju mereka memerlukan lebih banyak protein berbanding golongan dewasa lebih muda.
Perangkaan dari Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) pada 2022 pula menunjukkan separuh warga emas Singapura berumur dari 50 hingga 69 tahun, tidak mencapai pengambilan protein yang disarankan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FairPrice, Encik Vipul Chawla, berkata peningkatan kos sara hidup menyukarkan ramai warga emas mendapatkan pemakanan yang baik, dan pihaknya mahu memastikan semua warga emas memperoleh keperluan asas untuk kekal sihat dan aktif pada usia emas.
