Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dan Hospital Universiti Nasional (NUH) melancarkan usaha untuk menggabungkan penjagaan paliatif dalam Unit Jagaan Rapi (ICU), dengan sokongan Yayasan Lien.

Langkah itu membolehkan pasukan ICU menawarkan penjagaan paliatif asas bagi memastikan pesakit yang tenat menerima kelegaan bagi gejala awal seiring sokongan psikologi untuk mengurangkan penderitaan semasa rawatan sokongan hayat di ICU.

Penjagaan paliatif bertujuan meningkatkan mutu hidup pesakit dan keluarga yang berdepan penyakit mengancam nyawa.

Singapura hanya mempunyai 96 pakar paliatif, tidak mencukupi untuk keperluan ICU.

Terdapat hanya empat di NUH dan 14 di TTSH.

Yayasan Lien, yang melabur dalam gabungan penjagaan paliatif merentas kepakaran dan persekitaran perubatan, menyumbang $3.93 juta kepada program, A Kinder ICU (ICU Lebih Peka).

Di bawah usaha itu, pihak hospital akan melatih kira-kira 800 kakitangan ICU – terutama jururawat, doktor, ahli terapi dan pekerja sosial – dalam penjagaan paliatif dalam tempoh empat tahun.

Jururawat akan dilatih mengenal pasti tanda bukan lisan dan mengurus ketidakselesaan pesakit dengan cepat.

Usaha itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 7,600 pesakit ICU di kedua-dua hospital.

Penjagaan paliatif biasanya diberi pada peringkat akhir, tetapi program ini membawanya ke fasa lebih awal.

Kakitangan ICU akan menilai gejala fizikal, menyediakan sokongan psikososial dan menjaga kesejahteraan penjaga.

Semua pesakit akan diperiksa untuk mengesan kesakitan, sesak nafas dan kekeliruan, dengan tindakan campur tangan segera.

Penilaian psikososial dilakukan dalam 48 jam selepas dimasukkan ke ICU, dengan rujukan yang sesuai kepada pekerja sosial perubatan.

Selain itu, rujukan awal dipermudahkan melalui senarai semak dalam sistem rekod perubatan elektronik yang secara automatik mengingatkan doktor ICU agar mempertimbangkan rujukan kepada pakar penjagaan paliatif dalam 72 jam selepas kemasukan ke wad ICU.

A Kinder ICU turut meningkatkan rujukan terapi seni dan muzik di ICU TTSH serta memperkenalkannya di ICU NUH, membolehkan ahli terapi menyediakan perkhidmatan di sisi katil pesakit.

TTSH telah menyokong lebih 2,500 pesakit ICU sejak penubuhan program penjagaan paliatif ICU pertama di Singapura 12 tahun lalu.

Hari ini, seorang daripada empat pesakit yang meninggal dunia di ICU menerima penjagaan paliatif, kata Perunding Kanan dan Ketua Jabatan Perubatan Paliatif TTSH, Profesor Madya Neo Han Yee.

ICU NUH berminat untuk menawarkan sokongan lebih baik kepada pesakitnya.

Pada 2023, NUH telah menghantar beberapa jururawat ke TTSH untuk mempelajari amalan terbaik dalam bidang ini.

Pakar paliatif membantu keluarga membuat keputusan sukar berkaitan sokongan hayat.

Cik Seng Swee Keow, 54 tahun, berkata beliau amat menghargai perkara itu apabila bapanya dimasukkan ke ICU di TTSH selepas mengalami angin ahmar serius pada Ogos 2025.

Bapanya, Encik Seng Boon Kee, 82 tahun, masih cergas, telah pengsan di kedai kopi kejiranan yang sering dikunjunginya dengan berbasikal setiap pagi.

Program itu bertujuan memastikan semua pesakit yang meninggal di ICU menerima penjagaan paliatif, selaras dengan trend sedunia.

Ia juga mengurangkan keletihan kakitangan dan meningkatkan keupayaan mengurus kes rumit dengan lebih prihatin.