Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yuran lebih rendah di lebih banyak pusat prasekolah mulai Jan 2026

Oct 31, 2025 | 7:06 PM
Ketua Operasi dan Jaminan Mutu Kidz Meadow, Cik Norliza Amin (kiri) dan Pemimpin Pusat Kidz Meadow (Yew Tee), Cik Siti Shahidah Samat, mengalu-alukan langkah mengurangkan yuran prasekolah mulai Januari 2026.
Ketua Operasi dan Jaminan Mutu Kidz Meadow, Cik Norliza Amin (kiri) dan Pemimpin Pusat Kidz Meadow (Yew Tee), Cik Siti Shahidah Samat, mengalu-alukan langkah mengurangkan yuran prasekolah mulai Januari 2026. - Foto KIDZ MEADOW

Mulai Januari 2026, lebih ramai ibu bapa dijangka membayar yuran prasekolah lebih rendah apabila lebih banyak pusat prasekolah menyertai skim pengendali rakan kongsi yang dibiayai pemerintah, dalam memastikan kos pendidikan awal kanak-kanak kekal dimampui.

Di bawah skim ini, prasekolah menerima pembiayaan pemerintah untuk mengekalkan yuran rendah dan perlu mematuhi had yuran yang ditetapkan.

Lebih 34,000 kanak-kanak warga Singapura dijangka memanfaatkan skim ini tahun depan (2026), berbanding 27,000 kanak-kanak dalam penggal semasa.

Bagi penggal baru, had maksimum yuran penjagaan sepenuh hari akan ditetapkan pada $650 sebulan, berbanding $680 kini.

Sejumlah 380 pusat prasekolah yang dikendalikan 33 operator telah dilantik di bawah penggal baru selama lima tahun, dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2030.

Lima pengendali baru terdiri daripada Yayasan Buddhist Compassion Relief Tzu-Chi (Singapura), Eshkol Valley Global EduHub Singapore, Little Dolphins & Greenery, dan Little Kinder Montessori.

Menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA), peningkatan sebanyak 49 pusat ini menunjukkan lebih banyak prasekolah memenuhi piawaian mutu yang ditetapkan.

Akhbar The Straits Times (ST) pula melaporkan ECDA berkata skim ini akan memperluas peluang untuk mendapatkan pendidikan prasekolah yang bermutu dan berpatutan di seluruh Singapura, merangkumi pengendali komersial serta bukan berasaskan keuntungan.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah mengumumkan pengurangan yuran penjagaan sepenuh hari sebanyak $30, kepada $610 untuk pusat pengendali utama dan $650 untuk pengendali rakan kongsi.

Keluarga juga boleh memohon subsidi asas dan subsidi mengikut pendapatan.

Pengendali utama menerima lebih banyak pembiayaan, membolehkan had yuran lebih rendah ditetapkan.

Kedua-dua skim ini perlu mematuhi had yuran dan piawaian mutu seperti pensijilan Rangka Kerja Pentauliahan Prasekolah Singapura (Spark), yang menilai kurikulum, pedagogi dan kepimpinan. Antara pengendali sedia ada ialah Busy Bees, Star Learners dan Carpe Diem.

Bagi seorang ayah, Encik Chee Shi Jing, 33 tahun, penjimatan ini amat bermakna. 

Dua anaknya berumur satu dan empat tahun bersekolah di Artemis Preskool @ Tampines, yang akan menyertai skim ini pada 2026.

Beliau dan isterinya kini membayar $2,700 sebulan, tetapi jumlah itu akan berkurang kepada $1,900. 

Encik Chee menyambut baik langkah menurunkan kos yuran sambil menambah ia boleh digunakan untuk perbelanjaan harian, kelas renang dan simpanan masa depan anak-anak.

Bagi guru dan kakitangan prasekolah, berita ini turut membawa manfaat.

Pemimpin pusat di Kidz Meadow (Yew Tee), Cik Siti Shahidah Samat, 37 tahun, gembira pusatnya akan menyertai skim tersebut tahun depan (2026).

Ketua Operasi dan Jaminan Mutu Kidz Meadow, Cik Norliza Amin, 52 tahun, berkata pembiayaan baru itu membolehkan gaji dan faedah guru ditingkatkan serta lebih banyak latihan profesional diadakan.

“Kami menantikan peluang menyertai lebih banyak kursus dan menggajikan lebih ramai kakitangan di pusat prasekolah kami, serta memperbaiki kadar pengekalan tenaga kerja di sini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg