Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku kanak-kanak bersiri papar kisah hidup juara atlet S’pura

Diharap dapat cetus imaginasi, beri inspirasi kepada generasi akan datang
Aug 5, 2025 | 6:30 PM
Singapore’s Sports Champions, siri buku, SNOC
Buku sukan kanak-kanak bersiri, ‘Singapore’s Sports Champions’, yang memaparkan kisah atlet tempatan, dilancarkan di Scape, Orchard Link, pada 5 Ogos. Antara hadirin ialah (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Golf Singapura, Joshua Ho; ibu juara Olimpik renang, Joseph Schooling, May Schooling; atlet luncur lelayang, Maximilian Maeder; Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (Snoc) yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; ibu dan ayah ratu pecut negara, Shanti Pereira, Bridget Jeet Pereira dan Clarence Pereira; atlet badminton, Loh Kean Yew; serta pasangan keluarga, Fandi Ahmad dan anaknya, Iman Fandi. - Foto SNOC

Pelancaran satu buku sukan kanak-kanak bersiri terkini diharapkan dapat mencetuskan imaginasi generasi akan datang, ujar Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (Snoc), Cik Grace Fu

Berucap dalam majlis pelancaran buku berjudul, Singapore’s Sports Champions, di Scape, Orchard Link, pada 5 Ogos, Cik Fu, yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, berkata tiada cara yang lebih baik untuk memberi inspirasi kepada anak muda selain meneladani kisah-kisah atlet tempatan.

“Buku bersiri ini menghargai lapan atlet pasukan Singapura kita, dan melalui perjalanan mereka, kami berharap dapat mencetuskan imaginasi generasi akan datang.

“Kerana tiada cara yang lebih baik untuk memberi inspirasi kepada golongan muda selain melalui teladan kehidupan sebenar – mereka yang telah mencapai kemuncak dalam bidang sukan masing-masing, dan mereka yang masih dalam perjalanan menuju ke puncak,” katanya.

Lapan atlet yang ditampilkan dalam buku tersebut ialah trio adik-beradik bola sepak, Irfan, Ikhsan dan Ilhan Fandi; atlet badminton, Loh Kean Yew; atlet luncur lelayang, Maximilian Maeder; ratu pecut negara, Shanti Pereira; perenang, Joseph Schooling; dan pemain golf, Shannon Tan.

Buku dengan enam siri itu akan menggabungkan penceritaan dan perjalanan hidup atlet tersebut, menyingkap ketabahan mereka sehingga meraih kejayaan.

Ia ditulis oleh pasukan muda daripada agensi kandungan dan komunikasi, The Nutgraf.

Lapan atlet yang ditampilkan dalam buku berjudul, ‘Singapore’s Sports Champions’, ialah trio adik-beradik bola sepak, Irfan, Ikhsan dan Ilhan Fandi; atlet badminton, Loh Kean Yew; atlet luncur lelayang, Maximilian Maeder; ratu pecut negara, Shanti Pereira; perenang, Joseph Schooling; dan pemain golf, Shannon Tan. 
Lapan atlet yang ditampilkan dalam buku berjudul, ‘Singapore’s Sports Champions’, ialah trio adik-beradik bola sepak, Irfan, Ikhsan dan Ilhan Fandi; atlet badminton, Loh Kean Yew; atlet luncur lelayang, Maximilian Maeder; ratu pecut negara, Shanti Pereira; perenang, Joseph Schooling; dan pemain golf, Shannon Tan.  - Foto SNOC

Mengulas, Cik Fu berkata buku tersebut bukan sahaja meceritakan kisah para atlet itu, bahkan menggalakkan golongan muda membaca.

“Dalam era digital ini, buku menawarkan sesuatu yang lebih kekal – ruang untuk merenung, berimaginasi dan memberi tumpuan.

“Malah, mungkin juga dorongan untuk meninggalkan skrin, dan turun ke padang, gelanggang, trek, mahupun laut,” katanya.

Cik Fu menambah, penerbitan buku tersebut turut diadakan bersempena sambutan detik penting negara, ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), dengan menyorot kisah-kisah sukan di Singapura.

“SG60 merupakan satu detik penting yang mengajak kita merenung sejauh mana kita telah maju sebagai sebuah negara, dan kisah-kisah yang telah membentuk kita,” tambahnya.

Menurutnya, buku itu menampilkan kisah anak muda Singapura yang “berani mempunyai cita-cita tinggi, dan dalam melaksanakannya, memberi inspirasi kepada seluruh negara”.

Antara atlet yang turut hadir di majlis pelancaran itu ialah (dari kiri) Fandi Ahmad, atlet badminton, Loh Kean Yew; serta atlet luncur lelayang, Maximilian Maeder.
Antara atlet yang turut hadir di majlis pelancaran itu ialah (dari kiri) Fandi Ahmad, atlet badminton, Loh Kean Yew; serta atlet luncur lelayang, Maximilian Maeder. - Foto SNOC

Antara atlet yang turut menghadiri majlis pelancaran itu ialah Fandi Ahmad, Maximilian Maeder dan Loh Kean Yew.

Fandi hadir sebagai wakil anak-anaknya yang tiada di Singapura ketika ini.

Beliau ditemani anak perempuannya, Iman Fandi. 

Legenda bola sepak itu melahirkan penghargaannya kepada penulis atas penerbitan mereka, dan berharap ibu bapa dan anak-anak dapat menyokong buku tersebut.

Menurutnya, ketiga-tiga anaknya itu turut berbesar hati dapat memainkan peranan dalam memberi inspirasi kepada generasi muda atlet masa depan Singapura.

“Peluang dapat berkongsi perjalanan kami dengan golongan belia adalah satu penghormatan besar, dan kami berharap buku-buku ini (termasuk kisah atlet lain) akan membawa makna kepada sesiapa sahaja yang membacanya,” ujar mereka.

Maeder turut bersetuju dan berharap ia dapat memberi pembaca dorongan untuk menyertai sukan luncur lelayang pada masa depan.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang tidak membaca buku mengenai atlet ketika kecil, Maeder, sambil menyeloroh, berkata:

“Saya rasa amat terharu sebenarnya, dan bagi saya, ia sesuatu yang sangat istimewa apabila ada buku yang ditulis tentang diri anda dan anda dapat berkongsi kisah seperti itu.

“Ia memberikan inspirasi apabila melihat banyak perkara yang boleh dikongsi dan diteladani.”

Buku Singapore’s Sports Champions akan tersedia di kedai-kedai buku utama dan dalam talian di https://nutgraf.com.sg/books/.

Set kotak berharga $108 (termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan, GST 9 peratus), manakala senaskhah buku berharga $20 (termasuk GST 9 peratus).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg