LONDON, 30 Ogos: Musim masih di peringkat awal, tetapi keghairahan bola sepak nampaknya kembali menyelubungi Stamford Bridge, laman Chelsea.

Selepas dua kemenangan Liga Perdana England (EPL) dan satu dalam Piala Liga seminggu lalu, pemain Chelsea sekali lagi menikmati permainan mereka, meskipun ada detik pertahanan masih mencemaskan.

Tonggak Chelsea, pemain tengah Cole Palmer, yang bergelut dengan prestasi dan kecederaan musim lalu, menjaringkan gol keempat menarik dalam kemenangan mendebarkan 4-3 ke atas Brighton and Hove Albion pada 30 Ogos, dengan senyuman lebarnya mencerminkan suasana pasukan dan stadium.

Chelsea mempamerkan serangan lancar untuk mendahului 3-0 dalam 32 minit menerusi pemain tengah Roméo Lavia, dengan gol pertamanya bagi kelab, pemain sayap Pedro Neto dan penyerang João Pedro.

Ini berbeza dengan musim bunga lalu apabila pemain dan penyokong kelihatan suram. Palmer dan João Pedro, yang dianggap hampir pasti beraksi di Piala Dunia, masing-masing gagal terpilih dalam skuad England dan Brazil.

Pada 30 Ogos, jurulatih Brazil Carlo Ancelotti dan jurulatih England Thomas Tuchel, kedua-duanya bekas pengendali Chelsea, menyaksikan perubahan ketara sikap pemain antarabangsa mereka.

Chelsea menamatkan musim lalu di tangga ke-10 selepas ketua jurulatih Enzo Maresca meninggalkan kelab pada Hari Tahun Baharu dan penggantinya, Liam Rosenior bertahan kurang empat bulan, sebelum tewas dalam final Piala FA di bawah jurulatih sementara Calum McFarlane.

Namun, pelantikan bekas pemain tengah Liverpool Xabi Alonso, yang pernah mengendalikan Leverkusen dan Real Madrid, telah menyuntik nafas baharu, dibantu pembelian seperti pemain tengah Morgan Elliot Rogers, dari Aston Villa, yang menjaringkan gol Chelsea 3-2 menentang Fulham pada aksi pembukaan musim Isnin lalu dan membantu jaringan Neto pada Ahad.

Penyokong bersemangat menyanyikan nama Alonso pada 30 Ogos selepas membentangkan sepanduk bertulis “Not Too Xabi”.

Masih banyak perlu diperbaiki, terutama dalam pertahanan. Chelsea gagal mengekalkan gawang tanpa jaringan dalam 18 perlawanan liga dan selepas permulaan cemerlang, mereka melepaskan gol menerusi pemain tengah Brighton berusia 20 tahun Malick Yalcouyé, bola yang terkena João Pedro lalu masuk ke gawang sendiri, serta tandukan pemain tengah Brighton Pascal Groß pada minit ke-96.

Alonso berkata pasukannya perlu belajar mengurus rentak permainan dengan lebih baik, dengan kehadiran penjaga gol Argentina Emi Martínez memberi kekuatan. Martínez lebih kerap diuji berbanding penjaga gol Brighton, Bart Verbruggen, serta melakukan beberapa penyelamatan penting ketika Brighton semakin yakin pada separuh masa kedua.

“Dia pemenang Piala Dunia dan berpengalaman,” kata Alonso mengenai Martínez, sambil menambah Martínez bersedia beraksi walaupun perpindahannya dari Aston Villa diselesaikan dengan pantas.

“Dia baru 48 jam di sini. Hari demi hari, kami akan merasai kehadirannya kerana dia mempunyai wibawa dan aura untuk mempengaruhi serta membina hubungan yang baik.”

Martínez berkata ia bukan perlawanan sempurna, tetapi “kami perlu menang dan terus mara.”

“Barisan tiga pemain di depan sangat hebat. Kami mampu menyukarkan lawan ketika menyerang dan mempunyai banyak peluang menamatkan perlawanan. Palmer dan João Pedro berpeluang memastikan kemenangan. Di pertahanan, kami perlu mengurangkan jumlah jaringan yang dilepaskan.”

Robert Sánchez, penjaga gol pilihan utama musim lalu yang beraksi menentang Fulham, berkemungkinan mencari kelab baharu sebelum jendela perpindahan ditutup Selasa depan susulan beberapa persembahan yang dicemari kesilapan.

Sánchez tidak disenaraikan dalam skuad pada Ahad, begitu juga pemain tengah Argentina Enzo Fernández, yang mungkin berpindah ke Manchester City sebelum tarikh akhir perpindahan jika kedua-dua kelab mencapai persetujuan. – Agensi berita