Dalam musim mencabar tanpa kejuaraan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain utama Singapura, Loh Kean Yew, berharap pengalamannya dapat membantunya meraih pingat pertamanya di Sukan Asia di Jepun.

Singapura hanya pernah meraih satu pingat badminton Sukan Asia, iaitu gangsa berpasukan wanita pada 2006, dan Loh mahu menamatkan kemarau itu pada edisi 19 September hingga 4 Oktober di Aichi-Nagoya.

“Setiap atlet mahu berada di podium... Saya akan memberikan segala-galanya supaya tidak menyesal,” kata pemain berusia 29 tahun itu pada 16 September, mengenai sasaran pingat yang ditetapkan penolong jurulatih perseorangan kebangsaan, Kelvin Ho.

“Sukan Asia sebelum ini tidak memuaskan bagi saya. Kali ini, saya lebih berpengalaman menangani tekanan mental dan berharap dapat bermain sebaik mungkin.”

Pada Sukan Asia 2023, Loh tewas dalam perlawanan pembukaan, manakala Jason Teh dan Yeo Jia Min masing-masing tersingkir pada pusingan 16 terakhir perseorangan lelaki dan wanita.

Pasukan lelaki dan kebanyakan beregu turut tersingkir awal, sementara Nge Joo Jie dan Johann Prajogo mara paling jauh ke suku akhir beregu lelaki.

Susulan beberapa keputusan kurang baik menjelang Sukan Asia, hanya Loh, Yeo serta beregu lelaki Wesley Koh dan Junsuke Kubo layak ke acara masing-masing yang bermula pada 25 September di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya.

Pingat di Jepun akan mengubah nasib Loh selepas musim turun naik yang menyaksikannya mara ke dua separuh akhir pada Januari dan final Kejohanan Badminton Terbuka Singapura Karim Family Foundation (KFF) pada Mei.

Kecederaan perut pada Jun menjejaskan rentak permainannya. Beliau gagal melepasi pusingan 16 terakhir dalam lima kejohanan berikutnya dan ranking dunianya merosot ke tangga ke-13.

Namun, beliau menewaskan pemain utama China, yang menduduki tempat keenam dunia, Shi Yuqi, pada pusingan pertama Kejohanan China Masters pada September.

“Sejak cedera, saya tidak mempunyai banyak masa untuk membuat persiapan dan pulih sepenuhnya kerana kejohanan dunia dan Jelajah Dunia. Jadi, saya cuba meningkatkan kekuatan fizikal, tetapi dengan masa terhad, saya hanya melakukan yang termampu,” katanya.

Yeo pula mengalami kecederaan lutut yang lebih serius ketika Terbuka Australia pada Jun.

Pemain berusia 27 tahun itu belum beraksi dalam sebarang perlawanan sejak itu, manakala ranking bekas pemain nombor 11 dunia itu merosot ke tangga ke-45, terendah sejak Januari 2019.

Beliau menyasarkan satu lagi Sukan Olimpik tetapi bimbang tidak dapat kembali ke prestasi sebelum mengalami kecederaan, lalu memilih untuk pulih secara beransur-ansur agar lebih kuat sebelum kembali beraksi.

Beregu lelaki Koh dan Kubo, kedua-duanya 24 tahun, pula mahu mencipta kejutan pada penampilan sulung Sukan Asia selepas bergandingan dengan pasangan berbeza baru-baru ini.

Jurulatih beregu kebangsaan Paulus Firman menukar gandingan pada Julai bagi mencari pasangan terbaik untuk kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028, bermula Mei 2027.

Koh dan Kubo, pasangan ranking ke-42 dunia yang bergandingan sejak berusia 16 tahun dan memenangi dua kejohanan antarabangsa peringkat lebih rendah pada 2024 dan 2025, masing-masing digandingkan dengan Donovan Wee dan Prajogo dalam kejohanan baru-baru ini.

Koh berkata pertukaran pasangan adalah perkara biasa dan mereka perlu menyesuaikan diri sambil mencari strategi terbaik bersama jurulatih.

Kubo dilahirkan di Singapura, ibunya warga Singapura dan ayahnya warga Jepun. Beliau berkata gandingan dengan pemain lain membantunya berkembang sebagai pemain beregu.

“Ini temasya sukan utama ketiga kami bersama. Ranking kami agak rendah, tetapi kami ingin beraksi sebaik mungkin dan menewaskan pasangan yang berada di kedudukan lebih tinggi.”