Topik diikuti
Pergi ke BHkuLoh mahu buru pingat pertama Sukan Asia di Jepun di sebalik tahun mencabar
S’pura hanya pernah raih satu pingat iaitu gangsa bagi berpasukan wanita pada 2006
Loh mahu buru pingat pertama Sukan Asia di Jepun di sebalik tahun mencabar
Dalam musim mencabar yang belum membuahkan sebarang gelaran dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain utama Singapura, Loh Kean Yew, berharap pengalamannya dapat membantunya meraih pingat pertamanya dalam Sukan Asia di Jepun.
Singapura hanya pernah meraih satu pingat badminton dalam Sukan Asia, iaitu gangsa bagi perlawanan berpasukan wanita pada 2006, dan Loh mahu menamatkan kemarau itu pada edisi 19 September hingga 4 Oktober di Aichi-Nagoya.
“Setiap atlet mahu berada di podium... Saya akan mencurahkan segala tenaga dan melakukan yang terbaik supaya tidak menyesal nanti,” kata pemain berusia 29 tahun itu pada sidang akhbar yang diadakan di KFF Badminton Arena pada 16 September, mengenai sasaran pingat yang ditetapkan penolong jurulatih perseorangan kebangsaan, Kelvin Ho.
“Sukan Asia sebelum ini tidak memuaskan bagi saya. Kali ini, saya lebih berpengalaman menangani tekanan mental dan berharap dapat bermain sebaik mungkin.”
Pada Sukan Asia 2023, Loh tewas dalam perlawanan pembukaan, manakala rakan sepasukannya, Jason Teh dan Yeo Jia Min, masing-masing tersingkir pada pusingan 16 terakhir perseorangan, dengan Teh dalam perseorangan lelaki manakala Yeo dalam perseorangan wanita.
Pasukan lelaki dan kebanyakan pasangan beregu turut tersingkir awal, sementara Nge Joo Jie dan Johann Prajogo mara paling jauh ke suku akhir acara beregu lelaki.
Menyusuli beberapa keputusan kurang baik menjelang Sukan Asia, hanya Loh, Yeo serta pasangan beregu lelaki, Wesley Koh dan Junsuke Kubo, layak ke acara masing-masing yang bermula pada 25 September di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya.
Pingat di Jepun akan mengubah nasib Loh selepas musim turun naik yang menyaksikannya mara ke dua acara separuh akhir pada Januari, sebelum mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Singapura KFF pada Mei.
Kecederaan perut pada Jun telah menjejaskan rentak permainannya.
Beliau gagal melepasi pusingan 16 terakhir dalam lima kejohanan berikutnya dan ranking dunianya merosot ke tangga ke-13.
Namun, beliau dapat menewaskan pemain utama China, yang menduduki tempat keenam dunia, Shi Yuqi, pada pusingan pertama Kejohanan China Masters pada September.
“Sejak cedera, saya tidak mempunyai banyak masa untuk membuat persiapan dan pulih sepenuhnya ekoran kejohanan dunia dan Jelajah Dunia.
“Jadi, saya cuba meningkatkan kekuatan fizikal, tetapi dengan masa terhad, saya hanya melakukan yang termampu,” katanya.
Yeo pula mengalami kecederaan lutut yang lebih serius ketika Terbuka Australia pada Jun.
Pemain berusia 27 tahun itu belum beraksi dalam sebarang perlawanan sejak itu, manakala ranking bekas pemain nombor 11 dunia itu merosot ke tangga ke-45, terendah sejak Januari 2019.
Beliau menyasarkan satu lagi Sukan Olimpik tetapi bimbang tidak dapat kembali ke prestasi sebelum mengalami kecederaan itu, lalu memilih untuk pulih secara beransur-ansur agar lebih kuat sebelum kembali beraksi.
Pasangan beregu lelaki, Koh dan Kubo, kedua-duanya 24 tahun, pula mahu mencipta kejutan pada penampilan sulung Sukan Asia selepas bergandingan dengan pasangan berbeza baru-baru ini.
Jurulatih beregu kebangsaan, Paulus Firman, telah menukar gandingan itu pada Julai bagi mencari pasangan terbaik untuk kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028, yang bermula Mei 2027.
Koh dan Kubo, pasangan ranking ke-42 dunia yang bergandingan sejak berusia 16 tahun dan memenangi dua kejohanan antarabangsa peringkat lebih rendah pada 2024 dan 2025, masing-masing digandingkan dengan Donovan Wee dan Prajogo dalam kejohanan baru-baru ini.
Koh berkata pertukaran pasangan adalah perkara biasa dan mereka perlu menyesuaikan diri sambil mencari strategi terbaik bersama jurulatih.
Kubo dilahirkan di Singapura, ibunya warga Singapura dan ayahnya dari Jepun.
Beliau berkata gandingan dengan pemain lain membantunya berkembang sebagai pemain beregu.
“Ini temasya sukan utama ketiga kami bersama. Ranking kami agak rendah, tetapi kami ingin beraksi sebaik mungkin dan menewaskan pasangan yang berada di kedudukan lebih tinggi,” katanya.
