NEW YORK: Kekalahan Naomi Osaka pada pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat pada 7 September melanjutkan penantiannya untuk satu lagi gelaran Grand Slam, namun beliau berkata pengalaman menjadi seorang ibu dan kehidupan di luar gelanggang telah mengubah pandangannya terhadap kejayaan.

Srilandi tenis Jepun itu memenangi gelaran terakhir daripada empat gelaran Major pada Terbuka Australia 2021, sebelum berehat daripada tenis dan melahirkan anak perempuannya, Shai, tiga tahun lalu.

Walaupun mencatat keputusan memberangsangkan sejak kembali beraksi, termasuk mara ke separuh akhir Terbuka Amerika dan suku akhir Wimbledon, Osaka berkata pelbagai perkara yang berlaku dalam hidupnya membuatkan tempoh tanpa gelaran itu terasa panjang dan singkat pada masa yang sama.

“Saya sudah mempunyai anak, anda pasti tahu... banyak yang berlaku sepanjang tempoh itu,” katanya selepas tewas 1-6, 4-6 kepada pemain nombor dua dunia dari Kazakhstan, Elena Rybakina.

“Jika saya mengimbas kembali kerjaya dan pencapaian saya, tiada apa yang saya kesali atau sedihkan.

“Jika saya memenangi satu lagi Grand Slam, ia tidak akan mengubah hidup saya. Saya sendiri tidak sangka boleh berkata begitu kerana saya masih ingat ketika memenangi Grand Slam pertama, hidup saya berubah begitu mendadak. Saya rasa tempoh ini tidak terasa lama.”

Osaka memenangi gelaran Grand Slam pertamanya pada Terbuka Amerika 2018 sebelum mengulangi kejayaan itu pada 2020. Beliau meraih satu lagi gelaran major di Melbourne Park pada 2019.

Pemain berusia 28 tahun itu, yang mengalami kecederaan tendon Achilles ketika tewas kepada Rybakina pada 7 September, berkata beliau terus belajar daripada kekalahan.

“Apabila memikirkan kehidupan saya, anak perempuan saya sihat dan keluarga saya baik-baik sahaja. Saya berpeluang beraksi dalam Grand Slam ini dan mara sejauh yang mampu. Jadi, selepas ini keadaan hanya akan bertambah baik.” – Agensi berita.