Pasukan boling belia Singapura terus menunjukkan penguasaan mereka di pentas Kejohanan Boling Belia Asia yang berlangsung dari 20 hingga 27 Ogos di Sunway Megalanes, Petaling Jaya, Selangor.
Setakat 25 Ogos, pasukan tersebut telah meraih lima pingat emas dan satu pingat perak melalui acara perseorangan dan berpasukan.
Pada hari tersebut, Lim Shi En memenangi pingat emas kelima negara dalam acara wanita All Events.
Beliau mengatasi rakan senegara, Shirlene Wong, yang memenangi perak, dan Noh Hye Min dari Korea Selatan yang memenangi gangsa.
Selain itu, pasukan wanita itu turut meraih pingat emas dengan mencatatkan 5,017 jatuhan pin.
Pasukan yang dibarisi Shi En, Wong, Nur Irdina Hazly dan Hazel Tan itu menewaskan Korea Selatan, yang memenangi pingat perak dengan 4,988 jatuhan pin, disusuli Malaysia, yang meraih pingat gangsa dengan 4,796 jatuhan pin.
Kejohanan itu akan menutup tirai dengan acara Masters dan pemenang keseluruhan pada 26 dan 27 Ogos.
Untuk Irdina, ia merupakan pingat emas yang keduanya di kejohanan itu, di mana beliau dan Lim turut menjuarai beregu wanita pada 23 Ogos.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Irdina berkata kemenangan dua pingat emas itu amat bermakna baginya terutama sekali dalam acara berpasukan.
“Kemenangan sebagai sebuah pasukan lebih istimewa daripada kemenangan individu, kerana seluruh pasukan dapat berdiri di podium, menyanyikan lagu kebangsaan, dan membawa pulang pingat bersama-sama.
“Saya pernah membayangkan detik ini sebelum ini, namun saya juga sedar ia bukan sesuatu yang mudah dan pasti ada cabaran yang perlu ditempuhi.
“Kesedaran itu membantu saya untuk terus berpijak di bumi nyata dan menumpukan perhatian pada perkara yang mampu saya kawal – iaitu memastikan lontaran saya tepat,” ujar atlet berusia 18 tahun itu.
Irdina mengakui beliau tidak mempunyai permulaan yang terbaik, namun pengalaman itu memberinya peluang untuk belajar dan bersedia bagi acara seterusnya, sikap yang beliau akan bawa ke pusingan Masters nanti.
Beliau akur pusingan itu mungkin lebih mencabar, tetapi beliau akan memberikan tumpuan sepenuhnya dan berhasrat memenangi pingat emas sekali lagi untuk Singapura.
Sementara itu, dalam satu laporan The Straits Times (ST), apabila Shi En dan Irdina mengetahui bahawa mereka akan digandingkan bersama dalam acara beregu wanita, mereka sempat berseloroh bahawa mereka akan memenangi pingat emas jika diturunkan bersama.
Gurauan menjadi kenyataan apabila pasangan itu muncul juara beregu wanita dengan mencatatkan 2,637 jatuhan pin.
Mereka mengatasi pasangan Korea Selatan, Paek Ye-dam dan Jo Yoon-seo yang meraih 2,473 jatuhan pin, serta pasangan Jepun, Kiri Watanabe dan Mao Kondoh, yang mendapat 2,456 jatuhan pin.
Kemenangan itu cukup bermakna bagi kedua-duanya, dengan Irdina berkata walaupun sasaran mereka sememangnya pingat emas, mereka sedar perkara yang lebih penting ialah untuk menumpukan perhatian kepada setiap lontaran.
Irdina akur mereka telah melakukannya dengan baik pada hari tersebut dan berkata:
“Kami cepat melupakan lontaran yang kurang berkesan dan bangkit untuk lontaran seterusnya.
“Secara keseluruhan, dengan kejohanan ini menjadi yang terakhir buat Shi En, dapat bergandingan dengannya dan memenangi emas bersama-sama adalah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan.”
Shi En berkata apabila mereka berdua disahkan akan digandingkan, mereka saling mengingatkan untuk bermain dengan cara sendiri dan memberi tumpuan kepada setiap lontaran – sesuatu yang menurutnya merupakan kunci kemenangan.
Pemain berusia 19 tahun itu berkata pencapaian yang diraih merupakan cerminan usaha dan kerja keras yang dilakukan dalam latihan.
“Ia amat bermakna bukan sahaja kerana pingat ini, bahkan juga kerana perjalanan yang kami lalui untuk mencapainya.
“Kami akan membawa semangat ini ke hadapan dan terus berusaha lebih jauh,” ujar beliau.
Emas itu juga merupakan yang pertama buat Singapura dalam acara beregu wanita di kejohanan belia Asia sejak 2010, apabila Bernice Lim dan New Hui Fen muncul juara di Kuwait.
Kemenangan pingat emas Irdina dan Shi En hadir selepas kejayaan pingat emas Hazel Tan dan Aiman Raedyn Lim Jen dalam acara perseorangan wanita dan lelaki masing-masing, pada 22 Ogos.
Dalam beregu wanita, Tan dan Wong pula menamatkan saingan di tempat keenam daripada 16 pasangan dengan 2,335 jatuhan pin.
Sementara itu, Aiman, yang bergandingan dengan Brian Ngoi dalam acara beregu lelaki, turut menamatkan saingan di tempat keenam dengan 2,507 jatuhan pin, manakala pasangan Jayden See dan Mike Ong yang meraih 2,326 jatuhan pin, di tangga ke-19 daripada 28 pasangan.
Seramai enam atlet akan beraksi di acara Masters. Mereka ialah empat srikandi boling – Shi En, Wong, Irdina, Tan – serta atlet lelaki, Aiman dan Ong.
Berkongsi harapannya untuk Masters kepada BH, Aiman berkata matlamat beliau ialah bukan sahaja untuk menang, malah proses mencapainya adalah yang paling penting.
Penolong jurulatih kebangsaan, Faizal Chew, memuji usaha pemain muda dan berkata:
“Kumpulan pemain muda ini telah menunjukkan semangat dan tekad yang tinggi.
“Kerja keras mereka dalam latihan kini membuahkan hasil, dengan pencapaian yang mencerminkan usaha mereka.
“Pasukan juga memainkan peranan penting – memberikan sokongan padu. Sementara jurulatih pula membantu dengan memberikan panduan serta penyesuaian diperlukan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg