Topik diikuti
Pergi ke BHkuPiala Dunia: Taktik ‘kotor’ Paraguay gagal sekat Perancis mara ke suku akhir
Piala Dunia: Taktik ‘kotor’ Paraguay gagal sekat Perancis mara ke suku akhir
Perancis menang 1-0, hasil jaringan penalti Mbappe; temui Maghribi di suku akhir
Piala Dunia: Taktik ‘kotor’ Paraguay gagal sekat Perancis mara ke suku akhir
PHILADELPHIA: “Para pemain Paraguay benar-benar memalukan,” kata bekas penjaga gol England, Joe Hart, kepada BBC One.
“Jika mereka pasukan saya, saya sendiri akan mengheret mereka keluar dari padang,” tambahnya.
Selepas mengatasi semua lawan dalam Piala Dunia ini, Perancis terpaksa bekerja keras untuk mengekalkan impian mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2018 bagi mengatasi Paraguay, yang pemainnya bertindak kasar dan memperagakan taktik ‘kotor’ sepanjang perlawanan.
Paraguay sebelum ini mencipta kejutan besar dengan menyingkirkan Jerman menerusi penentuan penalti pada pusingan 32 terakhir.
Namun, dalam perlawanan dengan Perancis, pemain Paraguay bak enggan bermain bola sepak secara adil.
Acap kali, pemain Perancis dibentes, disiku dan disondol pemain Paraguay, dengan Kylian Mbappe menjadi sasaran utama.
Pemain tengah Paraguay, Andres Cubas pula merempuh pemain tengah Perancis, Adrien Rabiot, manakala pemain pertahanan Paraguay, Juan Jose Caceres menyepak penyerang Perancis, Kylian Mbappe, tetapi kedua-duanya tidak dihukum pengadil.
Bekas pemain sayap Scotland, Pat Nevin menyifatkan Paraguay menggunakan “setiap helah kotor yang boleh dilakukan”.
Selain itu, Velazquez merosakkan permukaan tanda penalti sebelum Mbappe mengambil sepakan penalti, Avalos menyiku Upamecano, pemain tengah Paraguay, Matias Galarza menyentuh muka pertahanan Perancis, Jules Kounde serta berpura-pura jatuh ketika Michael Olise menarik bajunya untuk mendapatkan kad terhadap lawan.
Lebih mengejutkan, walaupun pemain Perancis Manu Kone, Bradley Barcola dan Olise menerima kad kuning, tiada seorang pun pemain Paraguay dilayangkan kad, termasuk selepas penyerang Paraguay, Gabriel Avalos menyiku pertahanan Perancis, Dayot Upamecano.
“Sangat memalukan untuk disaksikan,” kata bekas pertahanan England, Micah Richards kepada BBC One.
“Paraguay bertahan dengan baik dan tidak perlu melakukan kerenah seperti itu,” tambah beliau.
Perancis kini akan bertemu Maghribi pada suku akhir di Stadium Boston pada 10 Julai.
Detik penentu hadir 20 minit sebelum tamat perlawanan apabila pemain tengah Paraguay, Diego Gomez, menghulurkan kaki hingga menjatuhkan penyerang Perancis, Desire Doue.
Selepas semakan Video Pembantu Pengadil (VAR), pengadil Uzbekistan, Ilgiz Tantashev, yang prestasi keseluruhannya dikecam hebat kerana dianggap terlalu lemah, menghadiahkan sepakan penalti kepada Perancis.
Namun, pemain Paraguay mengerumuni pengadil sebelum Mbappe menjaringkan gol ketujuhnya dalam kejohanan itu, menyamai jumlah jaringan kapten Argentina, Lionel Messi, dalam perebutan Kasut Emas.
Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata terdapat kata-kata penghinaan daripada bangku simpanan Paraguay, manakala kekecohan turut berlaku selepas wisel penamat.
Walaupun gagal melakukan percubaan tepat pada separuh masa pertama dan beraksi dalam suhu 38.3°C, antara yang tertinggi dalam sejarah Piala Dunia, Perancis tetap menemui jalan untuk menang.
Rekod suhu tertinggi bagi perlawanan Piala Dunia ialah 43°C, ketika Ireland menentang Mexico di Florida pada 1994.
“Kami tahu bagaimana hendak bermain bola sepak secara kotor,” kata Mbappe.
“Mereka sangka kami akan datang memakai tuksedo, tetapi kami sudah bersedia. Mereka cuba menewaskan kami dengan cara itu, namun kami yang menang,” tambah beliau.
Mbappe kini mengumpul 19 gol dalam 19 perlawanan Piala Dunia.
Sejak 2018, beliau menjaringkan 11 gol di peringkat kalah mati, mengatasi jumlah jaringan Brazil, England, Portugal dan Sepanyol dalam tempoh sama.
Deschamps berkata beliau mengarahkan dua pemain bertubuh besar melindungi Mbappe pada penghujung perlawanan kerana Paraguay terus menyasarnya.
Hart memuji ketenangan Mbappe sambil menyifatkan kegagalan pengadil melayangkan kad kepada pemain Paraguay sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.
Bekas pemain tengah Jerman, Thomas Hitzlsperger pula berkata beliau “langsung tidak menghormati” cara Paraguay bermain.
Penyerang Perancis, Rayan Cherki berkata kemenangan itu membuktikan Perancis bukan sahaja mampu bermain bola sepak yang indah, malah sanggup berjuang apabila diperlukan.
Pertahanan Perancis, William Saliba berkata Perancis sudah menjangka permainan keras Paraguay dan memilih untuk tidak melayan cubaan mengapi-apikan lawan.
“Kami kekalkan tumpuan. Hari ini kami menang 1-0, tetapi nilainya tetap sama besarnya.” – Agensi berita.
