Legenda Brazil, Ronaldinho, berharap dapat menjaringkan gol ke-300 sepanjang kerjayanya selepas mengumumkan akan kembali daripada persaraan pada usia 46 tahun bersama kelab divisyen tiga Italy, Ravenna FC.

Ribuan penyokong berhimpun di sebuah pantai di bandar untuk acara, ‘Hari Ronaldinho’, meredah hujan untuk menyaksikan bekas bintang Paris St-Germain, Barcelona dan AC Milan itu diperkenalkan selepas bersara daripada bola sepak pada 2015.

“Saya sangat gembira berada di sini bersama rakan-rakan. Kami mempunyai pasukan yang mampu mencapai sesuatu yang baik,” kata Ronaldinho, yang bakal menjadi pemegang saham kelab Serie C itu.

“Adakah anda bakal melihat saya bermain? Saya tidak tahu, hanya jurulatih yang tahu. Kembali ke Italy amat indah. Saya di sini untuk membantu rakan sepasukan menang.”

“Seperti yang anda lihat, saya cergas dan berasa sihat... Jika dapat menjaringkan gol ke-300, ia pasti lebih indah.”

Ronaldinho bersara daripada bola sepak pada September 2015 selepas beraksi dalam perlawanan rasmi terakhirnya bersama kelab Brazil, Fluminense.

Beliau memenangi Piala Dunia 2002 selepas menjaringkan gol kemenangan pada suku akhir menentang England, serta Bola Emas (Ballon d’Or) pada 2005.

Kembalinya penyerang itu daripada persaraan pertama kali diumumkan pada Jun oleh Ignazio Cipriani, ahli perniagaan Italy-Amerika yang memiliki kelab itu sejak 2024, ketika menghadiri Piala Dunia di Miami.

“Matlamatnya bersifat sentimental, untuk cuba menjaringkan gol terakhirnya,” kata Cipriani pada 20 Ogos.

“Penglibatannya bukan sekadar simbolik atau satu helah pemasaran untuk membuat kami menjadi bahan bualan.”

Cipriani menambah Ronaldinho tidak akan beraksi menentang AC Reggiana 1919 pada 24 Ogos dalam perlawanan pembukaan musim Serie C.

Ravenna menduduki tangga ketiga Kumpulan B divisyen tiga musim lalu dan kini memburu tempat ke Serie B, yang kali terakhir disertainya pada 2008. – Agensi berita.