Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanti Pereira gagal mara ke final 100m; Calvin Quek terlepas Sukan Komanwel dan Sukan Asia
Shanti Pereira gagal mara ke final 100m; Calvin Quek terlepas Sukan Komanwel dan Sukan Asia
Pelari pecut negara duduki tempat kelima dalam separuh akhir ketiga, tempat ke-14 keseluruhan
Shanti Pereira gagal mara ke final 100m; Calvin Quek terlepas Sukan Komanwel dan Sukan Asia
Pelari pecut negara, Shanti Pereira, gagal mara ke final acara 100 meter wanita dalam Sukan Komanwel pada 28 Julai.
Dalam cuaca sejuk dan hujan di Stadium Scotstoun, Glasgow, atlet berusia 29 tahun itu mencatat masa 11.40 saat untuk menduduki tempat kelima dalam separuh akhir ketiga dan tempat ke-14 keseluruhan.
Torrie Lewis dari Australia mencatat masa terpantas dalam separuh akhir dengan 11.00 saat, diikuti Audrey Leduc dari Canada (11.01 saat).
Amy Hunt dari England mencatat masa ketiga terpantas, 11.02 saat, untuk memenangi separuh akhir ketiga.
Dua pelari teratas daripada setiap tiga perlumbaan separuh akhir, bersama dua lagi atlet terpantas secara keseluruhan, mara ke final yang akan berlangsung lewat pada 28 Julai (29 Julai, 4.40 pagi waktu Singapura).
Pereira mara ke separuh akhir selepas mencatat masa terbaik musim ini, 11.24 saat, dalam saringan pada 27 Julai, hanya 0.04 saat di belakang rekod kebangsaannya, 11.20 saat, yang dicatat pada Kejohanan Atletik Asia 2023.
Beliau seterusnya akan beraksi dalam acara kegemarannya, 200 meter wanita, pada 29 Julai.
Sementara itu, pelari berpagar negara, Calvin Quek, terdengar seakan-akan bunyi “pop” pada otot hamstring kanannya ketika saringan 100 meter di kejohanan Fuse Sprint di Tottori, Jepun, pada 5 Julai.
Beliau pada mulanya tidak menyangka kecederaan itu parah kerana tidak berasa sakit.
Namun, beberapa jam kemudian ketika di hotel, rasa kurang selesa itu berubah menjadi perit.
Ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) pada keesokan harinya mengesahkan beliau mengalami koyakan penuh pada tendon dua otot hamstring (’biceps femoris’) dan bahagian dalam (’semitendinosus’), menyebabkan beliau terpaksa berehat selama tiga hingga enam bulan.
Quek, yang memenangi pingat emas dalam acara 400 meter lari berpagar lelaki Sukan SEA 2025 yang sekali gus menamatkan penantian 60 tahun Singapura bagi pingat emas dalam acara tersebut, berkata kecederaan tersebut adalah yang paling parah pernah dialaminya.
Beliau berkata: “Saya sedang membongkok untuk melepasi garisan penamat dan rasa saya terlebih meregangkan otot hamstring. Saya terasa bunyi ‘pop’, tetapi pada mulanya tidak fikir ia begitu serius. Saya tidak pernah mengalami kecederaan besar seperti ini.”
Selepas mengalami kesakitan yang “amat teruk” dan mendapatkan pandangan dua doktor, Quek menjalani pembedahan serta disahkan tidak dapat beraksi dalam Sukan Komanwel di Glasgow serta Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun, dari 19 September hingga 4 Oktober.
Beliau berkata beliau kecewa kerana Sukan Komanwel hanya tinggal tiga minggu lagi dan berharap sekurang-kurangnya dapat beraksi di Sukan Asia.
Selepas menjalani MRI dan mendapatkan nasihat dua pakar bedah, beliau memilih untuk menjalani pembedahan dan kini memberi tumpuan kepada pemulihan serta persiapan bagi musim 2027.
Jurucakap Singapore Athletics berkata pembedahan Quek berjaya dan beliau telah memulakan pemulihan, dan badan itu akan terus menyokongnya sehingga beliau kembali bertanding.
Quek, yang akan menanggalkan balutannya pada 31 Julai sebelum memulakan proses pemulihan, menerima limpahan ucapan agar segera sembuh selepas mengumumkan penarikannya daripada acara sukan itu, menerusi Instagram pada 27 Julai.
Beliau menulis bahawa beliau sekurang-kurangnya mahu beraksi di Nagoya, namun kini hanya boleh memberi tumpuan kepada pemulihan dan kembali lebih kuat pada 2027.
Pelari jarak jauh, Soh Rui Yong, berharap beliau segera sembuh, manakala pelari pecut, Elizabeth-Ann Tan, turut menyatakan sokongan.
Quek, penerima Biasiswa Kecemerlangan Sukan (spexScholarship) pada April 2026, mula memecahkan rekod kebangsaan 400 meter lari berpagar pada 2022 apabila menjadi warga Singapura pertama mencatat masa bawah 52 saat, sebelum memperbaikinya ke bawah 51 saat dan bawah 50 saat pada Ogos 2025.
Quek memenangi gangsa bagi acara 400 meter lari berpagar di Sukan SEA di Hanoi pada 2022 dan Phnom Penh pada 2023, sebelum mencipta sejarah dengan meraih emas di Thailand pada 2025.