Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gembleng tenaga jadi mata-mata, dapat beri tindak balas segera

Anak istimewa dan pesakit demensia yang cenderung merayau, wajar dapat tempat dalam masyarakat
Sep 21, 2025 | 5:30 AM
anak istimewa, demensia, kebingungan
Mereka yang merayau tanpa arah tujuan mungkin dalam kebingungan dan tidak sedar bahaya yang ada di hadapan mata. - Foto ISTOCKPHOTO

Pada lewat Ogos, masyarakat setempat dikejutkan dengan berita anak istimewa yang keluar rumah tanpa diduga sebelum jasadnya ditemui terapung di Pantai East Coast.

Seminggu kemudian, sejauh Sacramento, di California pula, Cik Regina Phothong, 36 tahun, yang merupakan penghidap autisme dengan daya intelek bak anak dua tahun, ditemui mati di kolam renang jirannya.

Menurut laman web Persatuan Autisme yang berpangkalan di Amerika Syarikat, 91 peratus kanak-kanak autisme di bawah usia 14 tahun meninggal dunia ekoran lemas.

Malah, individu autisme 160 kali lebih cenderung untuk lemas berbanding rakan sebaya.

Kecenderungan untuk merayau adalah lumrah bagi individu dengan Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) disebabkan daya tarikan kuat pada air kerana ciri deria – kilauan dan kocakan atau ombak – yang ada padanya.

Hakikatnya, kecenderungan untuk merayau tidak hanya melibatkan anak autisme.

Malah, ia turut berlaku dalam kalangan warga emas yang menghidapi demensia.

Bagi mereka yang berusia ini pula, biasanya mereka sukar mencari jalan pulang.

Ia boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan penjaga yang sentiasa perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Seorang teman mengakui sukar untuk rasa tenang ekoran bimbang ibunya yang menghidapi demensia akan keluar rumah.

Teman itu menyembunyikan kunci rumah dan sengaja menukar penyelak pintu ke paras lebih tinggi agar ibunya tidak lagi dapat mencapainya.

Tetapi adakah langkah itu wajar?

Menurut Garis Panduan untuk Penjaga Demensia yang Merayau terbitan bersama Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), keinginan penghidap demensia untuk meneroka kawasan kejiranan adalah satu langkah positif.

“Ia boleh membantu menghilangkan tekanan dan kebosanan dan merupakan satu bentuk senaman yang baik,” katanya.

Dapat difahami mengapa anggota keluarga penghidap demensia berasa bimbang tentang keselamatan insan tersayang.

Bagaimanapun, mengehadkan pergerakan pesakit demensia agar mereka tidak tersesat boleh “menyebabkan penghidap demensia berasa kecewa dan terasing”.

Adalah lebih baik untuk memahami sebab di sebalik tindakan anak istimewa dan penghidap demensia untuk keluar rumah agar huraian yang sesuai dapat dicari.

Bagi individu berkeperluan khas, merayau boleh didorong oleh rasa ingin tahu, mengikut deria, atau keinginan untuk bebas.

Bagi pesakit demensia, merayau mungkin disebabkan penurunan kognitif, kekeliruan, atau kebimbangan.

Bagi keluarga anak istimewa dan pesakit demensia, setiap hari yang mereka lalui adalah satu cabaran.

Tetapi sebagai anggota masyarakat, setiap daripada kita boleh memainkan peranan umpama ‘penjaga jarak jauh’ atau mata-mata.

Dengan memahami risiko dan akibatnya, kita boleh berusaha ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan lebih menyokong individu dalam golongan ini.

Buat masa ini, Singapura mempunyai aplikasi myResponder oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) – khusus untuk memaklumkan jika ada kebakaran kecil atau individu yang mengalami serangan jantung di persekitaran dan memerlukan bantuan segera.

Konsep ini menarik dan boleh diguna pakai.

Ia boleh dikhususkan bagi orang ramai yang memuat turun aplikasi khas bagi membantu mengesan individu sama ada anak autisme atau penghidap demensia yang hilang.

Alat pemberitahuan di aplikasi telefon bimbit boleh diaktifkan sekiranya seseorang itu berada dalam lingkungan individu yang hilang itu dipercayai berada.

Memang terdapat sesetengah anggota keluarga yang menggunakan kaedah menulis alamat dan nombor telefon bagi memastikan orang ramai dapat membawa pesakit demensia yang sesat kembali ke rumah.

Dalam masa yang sama, kita juga boleh meneroka menggunakan peranti umpama Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) bagi mempermudah individu ini dikesan sebaik sahaja mereka keluar rumah.

Seiring usaha itu, program pemantauan peringkat kejiranan boleh turut diusahakan.

Bagaimanapun, untuk berbuat demikian, ia boleh bermula dengan mengadakan kempen meningkatkan kesedaran secara besar-besaran di serata negara.

Kempen itu bagi membolehkan orang ramai agar lebih memahami tentang keperluan golongan tersebut dan menjelaskan apa jua bentuk salah faham yang mungkin timbul.

Ini kerana terdapat teknik khusus dalam berinteraksi dengan anak istimewa. Ia tidak semudah menghampiri mereka dan terus dibawa ke balai polis.

Pendekatan ini memerlukan tahap pemahaman yang tinggi.

Berbekalkan ilmu tentang keadaan kedua-dua golongan ini, seiring perkembangan teknologi terkini yang kian canggih, rasanya sudah tiba masanya kita sebagai warga dapat sama-sama memberi tindak balas segera.

Semoga dengan segala usaha sebagai warga Singapura yang prihatin dan bertindak sebagai mata-mata, maka tiada lagi tragedi seterusnya yang bakal mengundang air mata.

“Sebagai anggota masyarakat, setiap daripada kita boleh memainkan peranan umpama ‘penjaga jarak jauh’ atau mata-mata. Dengan memahami risiko dan akibatnya, kita boleh berusaha ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan lebih menyokong individu dalam golongan ini.”
– Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg