Kes-kes terkini yang diumumkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura menyerlahkan perubahan penting dalam fahaman pelampau ganas masa kini.

Sejak 2025, beberapa belia yang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) didapati terpengaruh oleh pelbagai ideologi yang berubah-ubah.

Sesetengahnya tertarik kepada propaganda pelampau Islam berkaitan pertempuran di luar negara.

Ada pula yang mencampurkan fahaman ISIS dengan kebencian terhadap Yahudi, fahaman incel (atau golongan bujang tanpa rela) dalam kalangan lelaki yang membenci wanita kerana sukar mendapatkan pasangan, fahaman pelampau kulit putih, atau ketaasuban terhadap penembak rambang.

Tiga belia yang baru ditahan pula memilih sasaran didorong sebab berbeza, namun masing-masing cenderung melakukan keganasan secara sendiri.

Corak ini merupakan sebahagian daripada kecenderungan luas di seluruh dunia.

Agensi keselamatan di Eropah, Amerika Utara dan Australia berdepan keadaan serupa dan menggunakan istilah seperti Fahaman Pelampau Ganas Berasaskan Ideologi (IMVE) serta fahaman Bercampur, Tidak Stabil, atau Tidak Jelas (MUU) bagi mengkategorikan individu yang tidak berpegang pada satu fahaman sahaja.

Walaupun istilah ini berbeza, kesemuanya menunjukkan cabaran yang sama: golongan pelampau semakin membentuk pandangan dunia sendiri dengan menggabungkan pelbagai fahaman.

Di Singapura, corak ini sering dirujuk sebagai Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE), iaitu fahaman pelampau yang menggabungkan unsur daripada pelbagai ideologi.

CoVE bukan merujuk kepada ancaman baharu, tetapi menunjukkan perubahan dalam proses radikalisasi yang semakin sukar dijelaskan melalui kategori ideologi.

Persoalan penting bukan lagi ideologi tunggal yang dianuti seseorang, tetapi rangkaian cerita yang membentuk identiti, rasa tidak puas hati dan alasan untuk melakukan keganasan.

Merentasi Ideologi

Ideologi kekal penting untuk memahami fahaman pelampau ganas kerana ia memberikan pandangan yang jelas tentang sistem politik, identiti dan penggunaan kekerasan yang dianggap sah.

Pertubuhan seperti ISIS, Al-Qaeda dan kumpulan pelampau kulit putih terus menggunakan ideologi untuk menggambarkan pihak tertentu sebagai musuh, menggerakkan pengikut dan membenarkan keganasan.

Namun, dalam kes radikalisasi kendiri, ideologi sahaja tidak memberikan gambaran lengkap.

Jika ideologi ialah sistem kepercayaan asas, rangkaian kisah dalam sistem itu menentukan siapa yang dipersalahkan, ancaman yang dihadapi dan mengapa keganasan dianggap suatu kewajiban moral.

Kisah-kisah ini menjadikan ideologi lebih mudah difahami dan dihayati melalui tema ketidakadilan, perjuangan dan kewajipan.

Tidak seperti ideologi yang lebih tetap, kisah-kisah ini mudah tersebar dalam dunia digital dan tidak lagi terikat pada gerakan asalnya. Individu boleh tertarik kepada sesuatu kisah tanpa menerima keseluruhan fahaman kumpulan tersebut.

Akibatnya, individu yang menjadi radikal sendiri boleh menggabungkan idea yang kelihatan bercanggah dan tidak sehaluan, tetapi tetap serasi dalam fikiran mereka.

Jalinan pelbagai fahaman

Kes-kes CoVE terkini menunjukkan pengaruh pelbagai ideologi.

Namun, yang lebih penting adalah kisah daripada fahaman berbeza boleh memberi kesan yang sama kepada individu.

Beberapa tema sering muncul: mempertahankan masyarakat yang ditindas, membalas ketidakadilan sebagai satu kewajipan, mencari identiti, keinginan menjadi wira, serta kepercayaan bahawa keganasan itu wajar dan memberi makna kepada diri mereka.

Walaupun fahaman asas mereka berbeza, tema-tema ini merentasi pelbagai ideologi.

Sebagai contoh, pelampau yang menggunakan fahaman Islam melihat keganasan sebagai kewajipan agama untuk melindungi umat Islam.

Pelampau bersayap kanan pula bertindak atas alasan mempertahankan kaum yang terancam, manakala pemahaman incel menggunakan keganasan sebagai balas dendam terhadap masyarakat yang menolak mereka.

Walaupun ideologinya berbeza, semuanya berkongsi tema pengkhianatan, ancaman terhadap kewujudan mereka, serta penebusan melalui keganasan.

Ini menjelaskan mengapa sesetengah individu boleh menggabungkan pengaruh daripada gerakan yang bertentangan tanpa melihat percanggahan.

Daripada berpegang pada satu fahaman jelas, mereka memilih pelbagai naratif yang menyokong rasa tidak puas hati mereka, menimbulkan rasa keterikatan dan membenarkan keganasan.

Wadah digital mempercepatkan perkembangan ini dengan membolehkan pelbagai fahaman tersebar tanpa terikat pada sumber asalnya.

Video pendek, kelompok permainan dalam talian dan suapan media sosial mendedahkan pengguna kepada kisah yang membangkitkan emosi tanpa jenama ideologi yang jelas.

Platform digital tidak menyebabkan radikalisasi secara langsung. Kebanyakan pengguna juga tidak terdorong melakukan keganasan.

Sebaliknya, platform ini mewujudkan ruang yang membolehkan fahaman daripada pelbagai gerakan tersebar luas, saling terkait dan mudah diolah oleh mereka yang mudah terpengaruh.

Kesan terhadap Usaha Tangani Pengganasan

Menilai CoVE melalui lensa jalinan naratif memperluas pendekatan pihak berkaitan dalam menangani radikalisasi kendiri.

Pertama, pengesanan perlu beralih daripada petunjuk ideologi semata-mata kepada petunjuk naratif.

Siasatan lazim menumpukan kaitan dengan pertubuhan, simbol dan propaganda yang masih penting.

Namun, perhatian juga perlu diberikan kepada tema penindasan, balas dendam, kewajipan moral, perjuangan dan ancaman terhadap kewujudan mereka, tanpa mengira asal ideologinya.

Tema ini sering muncul sebelum seseorang cenderung kepada kumpulan pelampau tertentu.

Kedua, penilaian ancaman perlu melihat bagaimana naratif mendorong seseorang bertindak, bukan sekadar mengenal pasti pengaruh ideologi.

Dua individu yang terdedah kepada bahan pelampau yang sama mungkin bertindak secara berbeza, bergantung pada naratif yang mereka hayati.

Melihat kaitan naratif dengan rasa tidak puas hati, pengasingan sosial dan pergolakan identiti memberi gambaran risiko yang lebih tepat berbanding penilaian berdasarkan ideologi semata-mata.

Ketiga, usaha pemulihan dan pencegahan perlu menyasar naratif teras yang mendorong radikalisasi yang berterusan.

Walaupun penyelewengan agama atau politik perlu diperbetulkan, ramai sebenarnya terdorong oleh keperluan mencari identiti, rasa diri bermakna, rasa diterima dan matlamat hidup.

Usaha ini memerlukan pendekatan pelbagai disiplin melibatkan kaunselor agama, ahli psikologi, pendidik dan anggota keluarga untuk merungkai kedua-dua fahaman yang salah dan naratif peribadi yang menguatkan fahaman tersebut.

Kesimpulan

Radikalisasi kini semakin bersifat peribadi, dengan setiap individu membentuk fahaman sendiri daripada pelbagai pengaruh (hyper-personalised).

Walaupun pertubuhan pelampau dan ideologi yang sudah lama wujud masih penting dalam memahami radikalisasi, kedua-duanya tidak lagi dapat menjelaskan bagaimana seseorang terdorong melakukan keganasan.

Individu kini sering membentuk alasan sendiri untuk melakukan keganasan dengan memilih dan menggabungkan naratif daripada pelbagai ideologi.

Oleh itu, usaha Tangani Ekstremisme Ganas (CVE) perlu merentasi label ideologi yang tegar.

Pencegahan berkesan memerlukan pemahaman tentang bagaimana naratif terlepas daripada konteks asalnya, mengapa ia menarik mereka yang mudah terpengaruh dan bagaimana gabungannya mendorong keganasan dalam cara yang berbeza.

Pendekatan ini tidak menggantikan penilaian sedia ada, sebaliknya memperluasnya.

Ketika fahaman pelampau ganas terus berubah, memahami pelbagai naratif yang dihayati individu sama pentingnya dengan menjejaki pertubuhan yang mencetuskan naratif tersebut.