Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanduan bagi ibu bapa cegah fahaman pelampau
Penting ambil tindakan awal kenal pasti perubahan, tingkah laku luar biasa; kerjasama dengan sekolah, agensi sosial
Panduan bagi ibu bapa cegah fahaman pelampau
Apabila anak muda mula menyendiri, menghabiskan lebih banyak masa dalam talian dan menunjukkan minat terhadap bahan berunsur keganasan, golongan dewasa lazimnya menumpukan perhatian kepada kandungan yang ditonton dan wadah yang digunakan.
Namun, persoalan lebih penting masih belum terjawab: Mengapakah bahan itu begitu bermakna kepada mereka?
Menurut penilaian ancaman Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura pada 10 September, enam daripada lapan rakyat Singapura yang ditahan atau dikenakan Perintah Sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Julai 2025 berusia bawah 21 tahun.
ISD merekodkan 15 kes belia di bawah ISA sejak 2022 hingga laporan itu diterbitkan, berbanding empat kes sepanjang 2017 hingga 2021.
Penilaian itu menunjukkan belia yang tertarik kepada keganasan akibat fahaman pelampau bukan kelompok yang seragam.
Pengaruh mereka merangkumi fahaman pelampau agama, sayap kanan (FRE), gabungan pelbagai ideologi ganas (CoVE) dan fahaman yang menolak nilai kehidupan serta menggalakkan keganasan (NVE).
Fahaman FRE dan NVE dikenal pasti sebagai ancaman yang semakin membimbangkan di rantau ini.
Tiga kes pertama CoVE di Singapura, yang melibatkan gabungan pelbagai fahaman pelampau, semuanya membabitkan belia bawah 21 tahun.
Seorang remaja berusia 14 tahun didapati mahu melaksanakan rancangan menyerang sekolahnya dalam hanya beberapa minggu lagi sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas belia tersebut.
ISD turut menekankan bahawa permainan dalam talian membolehkan simulasi serangan, dan pendedahan berulang boleh menyebabkan keganasan dianggap perkara biasa.
Sistem cadangan kandungan, permainan lakon peranan yang mengasyikkan dan golongan dalam talian boleh meningkatkan minat terhadap keganasan dengan memberikan pengiktirafan sosial.
Namun, itu tidak bermakna permainan atau pendedahan kepada kandungan sedemikian sahaja menyebabkan seseorang menjadi radikal.
Golongan dewasa perlu memahami apakah yang dicari oleh anak muda, selain kandungan yang ditonton.
Justeru, kemahiran menilai kandungan dan menjaga keselamatan dalam pergaulan di alam maya sahaja tidak mencukupi.
Kemahiran Cegah Radikalisasi sebagai Pelengkap Kemahiran Digital
Kemahiran mencegah radikalisasi (Interruption Literacy), istilah yang diperkenalkan penulis, diperlukan sebagai pelengkap kemahiran digital.
Pendekatan ini menimbulkan persoalan: Mengapakah kandungan itu bermakna kepada anak muda, dan bagaimana golongan dewasa boleh membantu?
Ini bermakna golongan dewasa perlu peka terhadap perubahan tingkah laku atau identiti, memberikan maklum balas tanpa menjejas hubungan serta mengetahui bilakah perlu mendapatkan bantuan pakar atau pihak keselamatan.
Perkataan “mencegah” merujuk kepada usaha menghentikan perkembangan berbahaya melalui perbualan, sokongan dan rujukan tepat pada masanya.
Batasan penggunaan Internet mungkin diperlukan, namun jalinan kemesraan dan kepercayaan bersama mesti dipelihara.
Radikalisasi tidak semestinya berlaku secara berperingkat daripada pendedahan hingga tindakan.
Pendekatan ini bukan senarai penilaian yang menyeluruh tentang tahap radikalisasi seseorang: Sikap menyendiri atau minat terhadap bahan yang membimbangkan tidak semestinya membuktikan seseorang menjadi radikal.
Kesunyian dan keinginan untuk diterima mungkin berkait dengan fahaman pelampau, tetapi tidak semestinya menjadi puncanya.
Dokumentari Jihad Selfie dan Seeking the Imam oleh Noor Huda menunjukkan kepentingan hubungan sesama manusia dan perasaan diterima, selain ideologi.
‘PAUSE’ untuk Tindakan Awal
Kami mencadangkan PAUSE sebagai panduan berguna untuk ibu bapa, bukan alat penilaian risiko yang disahkan atau tatacara wajib yang perlu diikuti langkah demi langkah.
Langkah ini boleh dilakukan serentak dan pelaporan tidak perlu menunggu langkah sebelumnya selesai.
Perhatikan (Pay attention) perubahan luar biasa dan keadaan sekelilingnya, termasuk kekaguman terhadap pelaku keganasan atau sikap bermusuhan terhadap orang lain. Satu ancaman yang jelas sudah cukup untuk tindakan segera.
Tanya (Ask) soalan terbuka tanpa menghakimi: “Apakah yang menarik minat kamu tentang kumpulan ini?” Dengar tanpa menyokong keganasan.
Fahami (Understand) sama ada bahan atau kumpulan itu menawarkan perasaan diterima, kedudukan, pengiktirafan terhadap rasa tidak puas hati atau jalan keluar daripada masalah, tanpa menyalahkan keluarga.
Kukuhkan (Strengthen) hubungan dan kegiatan luar talian melalui aktiviti bersama, bimbingan individu yang dipercayai serta peluang meraih kejayaan. Tangani masalah buli, pengasingan sosial dan tekanan keluarga.
Ambil tindakan lanjut (Escalate) mengikut masalah yang dikesan. Dapatkan kaunseling bagi tekanan emosi dan segera laporkan sebarang tanda radikalisasi yang disyaki kepada ISD di talian 1800-2626-473.
Jangan tunggu sehingga maklumat mengenai sasaran, waktu serangan atau senjata dikenal pasti. Hubungi 999 ketika kecemasan.
ISD menjamin kerahsiaan identiti pelapor.
Tiada tindakan akan diambil jika individu didapati tidak terlibat dalam radikalisasi atau tidak mengancam keselamatan.
Kes yang dikesan awal mungkin ditangani melalui kaunseling atau bantuan lain tanpa tindakan di bawah ISA.
Pelaporan awal membolehkan penilaian dan bantuan diberikan, bukan hanya sebagai langkah terakhir.
Rangkaian Sokongan dan Penjagaan
Tanggungjawab pencegahan tidak boleh dipikul ibu bapa sahaja. Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG), ditubuhkan pada 2002, menyokong keluarga tahanan dan individu di bawah pengawasan.
Bersama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), ACG menyediakan bantuan berguna, pendidikan dan kaunseling untuk memulihkan kemantapan keluarga serta hubungan masyarakat.
Sekolah dan agensi sosial boleh bekerjasama dengan ACG merangka bengkel ibu bapa berdasarkan pengalaman sokongan keluarga dan penyepaduan semula, tanpa mendedahkan identiti.
Rakan kerjasama masyarakat AMP Singapura, Yayasan Mendaki, PPIS, Taman Bacaan, Masjid Khadijah dan Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda) turut menawarkan sumber keluarga dan pendidikan.
Dengan sumber mencukupi, pengamal boleh membantu mengenal pasti keperluan terabai, mengendalikan perbualan yang rumit dan menghubungkan keluarga dengan bantuan.
Rangkaian menyeluruh perlu menghubungkan keluarga, rakan sebaya, pendidik, pertubuhan masyarakat dan agensi keselamatan.
Usaha menentang fahaman pelampau yang ganas (CVE) memerlukan kerjasama bersepadu di antara sekolah, perkhidmatan sosial, institusi agama, pertubuhan masyarakat dan agensi keselamatan, dengan tanggungjawab sokongan serta rujukan yang jelas.
Sekolah boleh melantik pegawai perhubungan untuk menyelaraskan sokongan kaunselor dan pekerja sosial.
Bantuan perlu diberikan mengikut tahap keperluan. Mangsa buli mungkin memerlukan tindakan sekolah, kaunseling dan sokongan orang dewasa yang dipercayai.
Kekaguman terhadap pengganas atau sokongan terhadap keganasan pelampau perlu segera dilaporkan kepada ISD, di samping mendapatkan sokongan keluarga.
Ancaman serangan yang bakal berlaku memerlukan tindakan kecemasan, namun orang dewasa tidak perlu membuktikan fahaman pelampau atau rancangan serangan sebelum mendapatkan penilaian profesional.
Sesuaikan Pemulihan
Pemulihan di Singapura kini tidak lagi tertumpu pada kaunseling agama semata-mata.
Keutamaan ialah menggabungkan kepakaran pelbagai bidang untuk menangani ideologi dan kecenderungan yang menolak nilai kehidupan, termasuk kaunseling agama apabila sesuai, pengurusan emosi, pembentukan jati diri dan tingkah laku dalam talian.
Pencegahan juga perlu mengambil kira perbezaan jantina tanpa menganggap proses radikalisasi sama bagi setiap orang.
Pengamal perlu meneliti pengaruh jangkaan jantina, penghinaan, hubungan dan keinginan mendapatkan kedudukan.
Remaja lelaki dan perempuan mungkin mencari penerimaan, tujuan hidup atau pengiktirafan.
Jantina perlu diambil kira dalam penelitian, tetapi tidak boleh dijadikan punca radikalisasi atau penentu risiko.
Tiga Keutamaan Dasar
Pertama, uji pendekatan pencegahan dalam program ibu bapa dan latihan guru yang sedang dijalankan dengan kepakaran institusi agama, RRG dan pertubuhan masyarakat.
Latih cara menangani keadaan sebenar dan nilai sejauh manakah peserta mendapatkan bantuan yang sesuai.
Kedua, perjelas saluran rujukan antara sekolah, perkhidmatan sosial dan pertubuhan masyarakat.
Sediakan maklumat hubungan dan tanggungjawab setiap pihak, tetapkan langkah seterusnya serta kongsi maklumat apabila perlu.
Kaunseling tidak boleh melengahkan laporan kes radikalisasi.
Ketiga, perkukuh latihan dan sumber pemulihan yang mengambil kira jantina serta motivasi.
Libatkan pakar psikologi dan tingkah laku digital, bantu pengamal masyarakat serta nilai hasil sebelum memperluas program.
Kesimpulan
Kemahiran mencegah radikalisasi perlu memperkukuh usaha Singapura menangani keganasan pelampau dengan membantu orang dewasa memahami mengapakah kandungan ganas menarik perhatian anak muda.
PAUSE menawarkan panduan tindakan awal berasaskan pengalaman masyarakat dan rangkaian sokongan.
Memahami keperluan tersembunyi, memulihkan hubungan yang memberi perlindungan dan melaporkan tanda awal yang membimbangkan membolehkan tindakan sewajarnya diambil sebelum keganasan berlaku.
Dr Noor Huda Ismail ialah Zamil Pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura. Beliau juga merupakan perunding strategi penyampaian maklumat bagi Asia Tenggara dengan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC). Dr Sabariah Hussin ialah Pensyarah Bersekutu di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan alumni RSIS. Artikel ini kali pertama diterbitkan dalam ‘RSIS Commentary’.
“
“Kemahiran mencegah radikalisasi perlu memperkukuh usaha Singapura menangani keganasan pelampau dengan membantu orang dewasa memahami mengapakah kandungan ganas menarik perhatian anak muda. ‘PAUSE’ menawarkan panduan tindakan awal berasaskan pengalaman masyarakat dan rangkaian sokongan. Memahami keperluan tersembunyi, memulihkan hubungan yang memberi perlindungan dan melaporkan tanda awal yang membimbangkan membolehkan tindakan sewajarnya diambil sebelum keganasan berlaku.”