Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha bersama tingkat waspada dan ketajaman mata

Dapatan uji kaji sosial terkini terhadap tindak balas masyarakat berhubung isu pengganasan satu peringatan, tuntut peralihan minda
Aug 3, 2025 | 5:30 AM
tong gas, uji kaji sosial MHA
Di bawah uji kaji sosial oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), ia meletakkan tong gas yang agak jelas kelihatan di but kereta seiring kepulan asap yang keluar secara berkala. Namun, senario di tempat letak kereta bersebelahan Kelab Masyarakat Bishan itu tetap tidak menimbulkan rasa sangsi kebanyakan individu yang lalu-lalang di situ. - Foto MHA

Sejak kecil, kita mungkin kerap diingatkan supaya jangan suka jaga tepi kain orang.

Misalnya, kalau ternampak beg di tempat awam, usah diusik kerana ia mungkin milik orang.

Jika sebuah kereta kelihatan sarat muatan, usah dipersoal mengapa pemilik berbuat demikian.

Hakikatnya, pergolakan dunia masa kini telah mencetuskan pelbagai ancaman pengganasan di sana sini.

Ia bukan lagi perkara yang hanya berlaku beribu batu jauhnya, sebaliknya, mungkin di depan mata kita sahaja.

Tidak dinafikan ancaman pengganasan adalah satu realiti pahit untuk kita telan, apatah lagi dalam persekitaran ‘selamat’ yang sekian lama kita nikmati bersama di Singapura.

Rasa selamat itu kadangkala boleh mengaburi mata hingga menyebabkan hilangnya rasa peka terhadap bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

Dapatan terkini yang diketengahkan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, semasa melancarkan siri web Uji Kaji Sosial SGSecure pada 30 Julai, di Cineleisure, Orchard, agak membimbangkan.

Dalam satu uji kaji sosial bagi mengesan tahap kewaspadaan dan tindak balas orang awam terhadap pengganasan, peranti bahan letupan yang diubah suai (IED) tiruan telah diletakkan di dalam bagasi yang kemudian ditinggalkan di tempat awam.

Dalam uji kaji berbeza pula, tong gas yang agak jelas kelihatan dibiarkan di but kereta yang separuh terbuka dengan kepulan asap turut keluar secara berkala.

Namun, senario sebegitu tetap tidak menimbulkan rasa sangsi kebanyakan individu yang lalu-lalang di situ.

Daripada 2,530 yang berlalu di tempat uji kaji sosial itu, hanya 17.3 peratus atau 438 orang – iaitu kurang seorang daripada lima individu – yang melalui tempat bagasi dan kereta tersebut mengesannya.

Dalam kalangan mereka yang melihatnya – 438 orang – hanya kira-kira 5 peratus menghubungi pihak berkuasa dan 90 peratus sekadar berlalu pergi.

Dapatan uji kaji sosial itu berbeza dengan Tinjauan Tentang Tanggapan Orang Awam 2024 oleh SGSecure.

Dalam tinjauan tersebut, 77 peratus responden berkata secara umum, mereka berwaspada dan akan berjaga-jaga terhadap tingkah laku dan barangan mencurigakan di tempat awam.

Malah, 88 peratus responden berkata mereka akan menghubungi pihak berkuasa apabila ternampak senario sedemikian rupa.

Persoalannya kini, mengapakah terdapat perbezaan ketara di antara kedua-duanya?

Seperti kata Encik Shanmugam: “Tahap keselamatan kita adalah baik, tetapi ia membawa cabaran besar apabila kita perlu mendidik orang awam dengan mengatakan, ‘soalannya bukan jika, tetapi bila’ (kejadian serius itu?).

“Ia akan berlaku pada satu ketika, dan kita harus bersiap sedia.”

Dapatan uji kaji sosial terkini itu membuktikan bagaimana mudahnya bagi kita terlepas pandang wujudnya ancaman pengganasan dalam persekitaran Singapura yang disifatkan selamat.

Untuk mempersiap diri menuntut peralihan minda.

Daripada peringkat cilik hingga ke warga senja; daripada peringkat sekolah hingga ke pekerja, semua pihak boleh memainkan peranan tidak kira kecil atau besar.

Dalam kalangan teman, atau kumpulan kelompok yang berkongsi minat serupa – seperti teman bersenam atau relawan masjid – boleh sama-sama saling mengingatkan tentang betapa rapuhnya keamanan.

Ini kerana golongan pengganas boleh berupaya menyelinap masuk dalam persekitaran yang kita sangka cukup selamat.

Menurut Encik Shanmugam, kumpulan pengganas akan mencari setiap peluang yang ada dalam apa jua keadaan seperti konflik di Gaza, Ukraine dan Myanmar untuk menghasut individu agar menjadi radikal dan berubah menjadi pengganas.

Kian ramai menjadi radikal melalui dalam talian, bertindak sendirian di samping menggunakan senjata sehari-hari dengan tumpuan pada sasaran yang agak terdedah dan mudah diserang.

Malah, pada September 2024, seorang remaja berusia 17 tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menjadi radikal sendiri ekoran pendedahan di dalam talian.

Dia merancang membawa pisau dan berjalan di Tampines dan berhasrat mahu membunuh.

Agensi pemerintah berusaha seberapa daya mengesan dan mencegah serangan pengganas. Tetapi ia tidak boleh disifatkan sebagai satu-satunya pelindung masyarakat.

Sebaliknya, orang awam harus sama-sama berganding bahu kerana kita juga berada di barisan hadapan.

MHA telah melancarkan siri web didik hibur bertajuk, ‘Apakah Yang Akan Anda Lakukan Jika Pengganasan Menyerang’ di saluran YouTube-nya.

Episod kedua dan ketiga akan dimuatnaikkan pada 13 Ogos dan 27 Ogos.

Siri tiga episod itu khusus untuk membimbing penonton bagaimana untuk memberi tindak balas berkesan dan selamat semasa berhadapan dengan ancaman pengganasan.

Ia turut mengetengahkan kepentingan bagi anggota masyarakat kekal berwaspada

Meskipun Singapura kerap dianggap sebagai sebuah negara selamat, tetapi air yang tenang, jangan disangka tiada buaya.

Kita mesti sentiasa berwaspada dan proaktif dalam menjaga keselamatan diri dan negara.

Sama seperti kapal yang belayar lancar melalui perairan tenang, tahap keselamatan Singapura boleh membuat kita leka. 

Hakikatnya, keadaan lautan tetap tidak dapat diramal, ribut boleh timbul tanpa amaran. 

Begitu juga ancaman pengganasan. Ia boleh muncul tanpa dijangka dan kita mesti segera bersedia memberi tindak balas segera sebaiknya.

Maka jika kita berasa bimbang mendekati beg atau kenderaan mencurigakan, sekurang-kurangnya capailah telefon bimbit dan hubungi pihak berkuasa.

Kita harus sama-sama meningkatkan tahap kewaspadaan dan ketajaman mata demi keselamatan negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg