Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakat seni bersyukur terima pencalonan bagi Pesta Perdana 2025

Carmen Soo, Khairudin Saharom, Zhin Sadali dan Atyy Malek kongsi pengharagaan
May 23, 2025 | 7:27 PM
Antara personaliti yang tercalon dalam ‘Pesta Perdana 2025’ termasuk pengacara dan pelakon, Zhin Sadali, pengacara mapan, Khairudin Saharom dan pelakon, Atyy Malek.
Antara personaliti yang tercalon dalam ‘Pesta Perdana 2025’ termasuk pengacara dan pelakon, Zhin Sadali, pengacara mapan, Khairudin Saharom dan pelakon, Atyy Malek. - Foto-foto MEDIACORP

Malam berprestij yang meraikan bakat dan karya seni televisyen tempatan, Pesta Perdana bakal berlangsung buat kali ke-18 pada 24 Mei di The Theatre at Mediacorp.

Terdapat 25 anugerah yang akan disampaikan termasuk bagi kategori lakonan, pengacaraan, personaliti popular serta drama dan rancangan terbaik.

Berita Harian (BH) mendapatkan reaksi daripada beberapa artis yang tercalon termasuk mereka yang menerima lebih daripada satu pencalonan bagi kategori yang berbeza.

CARMEN SOO

Pelakon Malaysia, Carmen Soo tidak sangka akan dicalonkan dalam ‘Pesta Perdana 2025’. Beliau membawa watak Lily, ketua kumpulan samseng wanita, Dragronflies dalam siri ‘Operandi Gerhana’.
Pelakon Malaysia, Carmen Soo tidak sangka akan dicalonkan dalam ‘Pesta Perdana 2025’. Beliau membawa watak Lily, ketua kumpulan samseng wanita, Dragronflies dalam siri ‘Operandi Gerhana’. - Foto MEDIACORP

Pelakon dan peragawati Malaysia, Carmen Soo, 47 tahun, menerima pencalonan bagi Pelakon Wanita Terbaik – Drama Bersiri bagi lakonannya sebagai Lily dalam siri Operandi Gerhana yang ditayangkan di mewatch dan wadah penstriman antarabangsa, Netflix.

“Saya tidak sangka akan mendapat pencalonan dalam kategori pelakon wanita terbaik kerana Operandi Gerhana adalah kali pertama saya bekerja dalam penerbitan bahasa Melayu di Singapura.

“Apatah lagi, dicalonkan dalam kategori yang sama dengan penyanyi dan pelakon mapan Malaysia, Fauziah Latiff, saya amat berbesar hati.

“Pengalaman berlakon di Batam dengan barisan pelakon dari beberapa negara sangat menarik dan mereka membantu saya menghidupkan watak Lily,” ujar Carmen yang sedang sibuk dengan acara promosi bagi drama terbarunya First Wives di saluran Astro Citra.

KHAIRUDIN SAHAROM

Pengacara mapan, Khairudin Saharom menghargai setiap peluang untuk mengendalikan rancangan informasi atau hiburan di televisyen kerana ia satu peluang untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat setempat.
Pengacara mapan, Khairudin Saharom menghargai setiap peluang untuk mengendalikan rancangan informasi atau hiburan di televisyen kerana ia satu peluang untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat setempat. - Foto fail

Bagi pengacara mapan, Khairudin Saharom, 50 tahun, setiap pencalonan itu adalah satu penghargaan yang memberinya semangat untuk terus melakukan yang terbaik.

Beliau mendapat pencalonan dalam kategori Pengacara Terbaik – Informasi bagi Zakat SG dan Pengacara Terbaik – Hiburan bagi Projek Kasih 2024. 

“Saya bersyukur mendapat dua pencalonan bagi kategori pengacaraan. Terima kasih kepada pihak juri kerana masih melihat bakat saya sehingga kini.

“Bagi saya, setiap kali saya menerima tugasan mengacara bagi sesebuah rancangan televisyen, ia adalah satu amanah untuk menyampaikan cerita dan informasi penting kepada mereka yang menonton tidak kira di studio mahupun di rumah.

“Ada kalanya fakta yang ingin disampaikan itu berat namun bermanfaat bagi para penonton.

“Saya menganggap tugas ini merupakan cara saya menyumbang kembali pada masyarakat,” ujar Khairudin yang mula terbabit dengan industri televisyen tempatan sejak era 90-an.

ZHIN SADALI

Pempengaruh, pengacara dan pelakon, Zhin Sadali, menerima empat pencalonan dalam bidang lakonan dan pengacaraan di acara anugerah berprestij, Pesta Perdana 2025.
Pempengaruh, pengacara dan pelakon, Zhin Sadali, menerima empat pencalonan dalam bidang lakonan dan pengacaraan di acara anugerah berprestij, Pesta Perdana 2025. - Foto INSTAGRAM ZHIN SADALI

Pempengaruh, pengacara dan pelakon, Zhin Sadali pula menerima empat pencalonan dalam Pesta Perdana 2025.

“Awalnya, panggilan pertama yang saya terima memberitahu tentang pencalonan kategori Personaliti Lelaki Paling Popular di Pesta Perdana 2025.

“Alhamdulillah, masyarakat masih terima Zhin dan undi saya dalam pencalonan ini, lebih-lebih lagi ini adalah kali kedua saya dicalonkan dalam kategori tersebut.

“Setelah itu, saya diberitahu mengenai pencalonan lain dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi Telefilem/Antologi, khususnya untuk telefilem, Manisan Syawal.

“Pencalonan ini membuat saya terkejut dan agak tertanya-tanya, ‘Saya dicalonkan dalam kategori bersangkutan lakonan?’

“Lebih daripada itu, saya rasa amat terharu apabila kerja keras saya selama ini dipandang dan kemudian, diiktiraf di Pesta Perdana 2025,” kata Zhin, 31 tahun, yang turut dicalonkan dalam kategori Artis Harapan Terbaik bagi drama bersiri, Bingit (Musim Kelima) dan Pengacara Terbaik – Informasi bagi program gaya hidup, Manja (Musim Kesembilan).

ATYY MALEK

Pelakon Singapura, Atyy Malek, teruja menerima pencalonan dalam kategori‘Pelakon Wanita Terbaik - Drama Bersiri bagi drama ‘Mencari Marina’ di Pesta Perdana 2025, meskipun kini sibuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu kepada dua anak lelaki.
Pelakon Singapura, Atyy Malek, teruja menerima pencalonan dalam kategori‘Pelakon Wanita Terbaik - Drama Bersiri bagi drama ‘Mencari Marina’ di Pesta Perdana 2025, meskipun kini sibuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu kepada dua anak lelaki. - Foto MEDIACORP

Pelakon Atyy Malek pula menerima satu pencalonan bagi drama bersiri, Mencari Marina yang turut dibintangi Lydia Asyiqin, Fauziah Latiff dan Suzannah Abu Bakar.

Mencari Marina adalah drama yang saya lakonkan selepas melahirkan anak kedua. Sebaik menamatkan tempoh dua bulan berehat, saya mula sibuk dengan penggambaran bagi drama tersebut.

“Pencalonan ini amat bermakna kerana saya tidak sangka akan dicalonkan dalam kategori ‘Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Drama Bersiri’ di Pesta Perdana 2025, bagi drama Mencari Marina.

“Setiap pencalonan yang saya terima dalam Pesta Perdana sebelum ini juga tidak kalah istimewa, namun kali ini lebih menyentuh hati, lebih-lebih lagi selepas bergelar ibu kepada dua anak lelaki.

“Saya tidak sangka lakonan saya masih dapat memberi kesan, walaupun keadaan kehidupan saya kini sudah berubah,” kata Atyy, 34 tahun, kepada Berita Harian (BH) apabila ditanya mengenai pencalonannya di Pesta Perdana 2025 susulan menjadi seorang ibu kepada dua orang anak lelaki berusia antara tiga dengan empat tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg