Dari bazar malam yang panas dan sesak ke sebuah restoran berhawa dingin di Changi Road yang penuh dengan pelanggan.
Jenama Mangobossku kini melangkah ke fasa baru dengan pembukaan restoran pertamanya, Mangobossku BBQ & Steamboat.
Di sebalik nama terkenal Mangobossku, terdapat peniaga gigih, Encik Mohamad Hussin Said, yang terkenal dengan kunafa rangup dibanjiri sos coklat, ‘red velvet’ dan pistasio.
Ia mencetuskan fenomena sewaktu Ramadan, dengan pelanggan yang sanggup beratur berjam-jam lamanya di Bazar Ramadan Geylang Serai.
Namun di sebalik kelazatan pencuci mulut dari Timur Tengah itu, lebih besar lagi impian Encik Hussin untuk membuka peluang pekerjaan yang stabil dan tekal buat kakitangannya.
“Saya buka tempat ini bukan sebab nak untung semata-mata. Saya buka sebab pekerja saya perlukan kerja tetap, ada gaji bulanan, ada Tabung Simpanan Pekerja (CPF),” kata Encik Hussin, 40 tahun, ketika ditemui Kaki Makan di restorannya.
Bagi mereka yang mengikuti trend makanan tular tempatan di TikTok, nama Mangobossku tidak asing lagi.
Akaunnya, TheGodfather Mangobossku, mempunyai hampir 69,000 pengikut dan lebih 1.4 juta tanda suka atau ‘likes’.
Dengan gaya bersahaja dan jenaka spontan, beliau berjaya menambat hati pelanggan dan pengikut di media sosial.
Namun, ramai tidak mengetahui bahawa sebelum bergiat aktif di bazar, Encik Hussin pernah mengusahakan kedai stimbot ala carte di Turf Club selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19.
Sambutan ketika itu cukup menggalakkan meskipun lokasinya agak jauh, namun selepas dua tahun, kontraknya tamat dan beliau kembali memberi tumpuan pada jualan di bazar.
“Tapi bila saya fikir panjang, saya kena buat sesuatu yang lebih stabil untuk pekerja saya.
“Bazar cuma beroperasi dalam tempoh dua minggu, lepas itu mereka mempunyai kelapangan masa dan mereka tidak ada gaji,” luahnya.
Konsep Mangobossku BBQ & Steamboat menawarkan bufet stimbot dan barbeku dengan lebih 20 pilihan perapan dan sos istimewa seperti sambal kicap, sambal belacan, sos hijau Thai dan minyak cili.
Tiga pilihan sup, iaitu, mala, tomyam dan ayam, melengkapkan pengalaman menjamu selera untuk semua peringkat usia.
Antara bahan makanan premium yang ditawarkan termasuk tiram segar, udang harimau, ketam, itik salai, daging shabu-shabu (daging dihiris nipis), tulang rusuk pendek dan ribeye.
Kesemua itu disajikan dalam bentuk bufet tanpa had, dengan harga $38.90 pada hari biasa dan $42.90 pada hujung minggu.
Kanak-kanak di bawah usia enam tahun pula makan secara percuma, manakala warga emas hanya perlu membayar $28.90.
“Saya tidak buat sistem pembayaran berperingkat untuk makan premium. Semua orang akan makan bahan yang sama.
“Restoran ini juga tidak mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), hanya bayaran perkhidmatan. Saya mahu semua orang rasa puas makan di sini,” jelas Encik Hussin.
Bagi pelanggan yang inginkan sesuatu selain stimbot, restoran itu turut menyediakan pilihan menu ala carte (pilihan mengikut menu).
“Walaupun satu keluarga makan bufet, mereka yang tidak suka makan stimbot boleh duduk meja sebelah dan makan hidangan ala carte,” tambahnya.
Antara menu ala carte termasuk asam pedas ikan, asam pedas telur ikan, sate dan nasi goreng.
“Tak semestinya semua datang sini, semua kena makan stimbot,” jelasnya.
Lokasi restoran juga dipilih dengan teliti.
“Tempat letak kereta sangat penting. Stesen MRT juga harus dekat. Saya percaya semasa Ramadan, tempat ini memang sesuai kerana berhampiran dengan bazar,” kata beliau.
Dapur restorannya cukup besar untuk berfungsi sebagai dapur pusat pada masa akan datang.
Salah satu perkara yang membezakan Mangobossku daripada pesaingnya ialah hubungan erat antara beliau dengan pekerjanya.
Kebanyakan kakitangannya telah bekerja bersamanya sejak 2019, membantu menguruskan gerai di bazar dan menyediakan kunafa.
Kini, dengan pembukaan restoran tetap, pekerjanya bukan sahaja menerima gaji tetap dan perlindungan CPF, malah diberikan latihan tentang etika kerja, disiplin dan khidmat pelanggan.
“Kita dah bukan kerja di pasar malam atau di bazar. Kita ingin membawa suasana yang lebih mewah dengan adanya restoran ini,” katanya.
Setiap hari, sekitar 13 pekerja diperlukan untuk mengendalikan restoran itu, termasuk dua cef di dapur dan kru hadapan yang menyambut pelanggan.
Bagi memastikan kelangsungan tenaga kerja, Encik Hussin juga aktif mengadakan sesi TikTok ‘Live’ untuk mencari pekerja baru dengan sijil kebersihan makanan.
Walaupun baru sahaja dibuka, sambutan yang diterima amat luar biasa.
Tempahan telah dibuat sehingga Oktober, dengan pelanggan sanggup beratur seawal 4 petang.
“Saya tahu keluarga besar suka makan beramai-ramai. Kita buat tempat ini mesra kanak-kanak dan ‘mesra dompet’.
“Kalau pelanggan nak makan 20 tiram pun, makanlah, saya tak akan hadkan,” ujarnya.
Bagi Encik Hussin, apa yang dilakukannya kini bukan sekadar membuka restoran.
“Dulu saya rugi sampai $80,000 semasa kendalikan perniagaan di Turf Club.
“Tapi kali ini, saya buat semua dengan perancangan. Saya guna duit titik peluh sendiri, lebih $240,000 untuk buka tempat ini.”
Kerja ubah elok restoran itu dimulakan pada April.
“Kini saya sudah ada permintaan untuk francais restoran ini. Tetapi saya masih fikirkan jika itu yang saya inginkan,” luahnya.
Selasa hingga Ahad, 12 tengah hari hingga 2 pagi
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg