Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Pengampunan Najib sukar diterima, tapi keputusan Agong harus dihormati

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

NOTA DARI KL

Pengampunan Najib sukar diterima, tapi keputusan Agong harus dihormati

Feb 13, 2024 | 05:30 AM



Keputusan Lembaga Pengampunan meringankan hukuman penjara dan denda terhadap mantan Perdana Menteri keenam Malaysia, Najib Tun Razak, membuka mata dunia terhadap kuasa pengampunan diraja di negara itu.

Dalam tempoh seminggu sejak Lembaga Pengampunan dipengerusikan mantan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, mengumumkan keputusan mengurangkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda daripada RM210 juta ($59.28 juta) kepada RM50 juta, ia menimbulkan polemik hangat di Malaysia.

Dengan ‘diskaun’ hukuman itu, mantan Presiden Umno yang disabitkan kesalahan pada 2022 kerana salah guna kuasa, penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta itu, bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Suka atau tidak, berita Najib mendapat pengampunan dengan pengurangan hukuman penjara dan denda disambut dengan pelbagai emosi oleh kelompok berbeza, termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cuba menenangkan rakyat dengan menegaskan keputusan Lembaga Pengampunan itu adalah kuasa dan hak prerogatif (keistimewaan) Agong. Justeru tiada siapa wajar mempertikai sebaliknya perlu dihormati.

Walaupun Najib adalah mantan Perdana Menteri pertama yang dihantar ke penjara, beliau bukanlah pemimpin pertama atau satu-satunya yang mendapat pengampunan diraja itu, sejak ia diamalkan selepas Malaysia merdeka pada 1957.

Umno mendakwa anak kepada mantan Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein, itu tidak mendapat pembelaan sewajarnya dalam perbicaraan kes SRC International itu, lalu berjuang menuntut keadilan buatnya.

Namun, bagi penyokong Pakatan Harapan (PH), keputusan itu pasti tidak disenangi kerana skandal penyelewengan Najib dalam SRC International dan beberapa lagi termasuk kes rasuah terbesar dalam sejarah Malaysia, 1MDB, menjadi modal kempen mereka sebagai pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2018 dan 2022.

Pun begitu, rakyat ‘non-partisan’ atau tidak berpihak juga mempunyai pandangan skeptikal atau kurang percaya terhadap usaha pengampunan Najib.

Di media sosial, rata-rata melontarkan pandangan bahawa Najib yang telah disabit dan terpalit dengan skandal yang ‘melebur’ wang rakyat Malaysia berbilion ringgit, tidak patut diberikan ‘keistimewaan’ sebegitu walaupun atas asas pernah berjasa sebagai pemimpin nombor satu negara.

Penganalisis politik dan Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir, tidak menafikan keputusan pengampunan Najib, walaupun diputuskan kuasa tertinggi Agong, sukar diterima masyarakat.

“Keputusan itu dianggap tidak adil bagi sesetengah pihak. Itu sebabnya rakyat mendesak diberikan justifikasi secara terbuka mengapa pengampunan itu diberikan. Adakah kita memberikan pengampunan terpilih?

“Kita juga mendapat kritikan daripada negara luar mengenainya terutama negara membangun, yang cuba menjadikan isu itu sebagai modal untuk menjatuhkan imej undang-undang di Malaysia. Itu tidak boleh kita nafikan.

“Sama ada Najib mendapat pengurangan hukuman atau pengampunan penuh, polemik akan tetap berlaku. Apa yang telah diputuskan Agong wajar dihormati,” katanya kepada Berita Harian (BH).


Penganalisis politik daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, pula berpandangan keputusan Lembaga Pengampunan tidak akan menjejas kesatuan dan kerjasama Umno/Barisan Nasional (BN) dan PH dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya proses pengampunan itu dibuat mengikut lunas undang-undang dan kuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong, justeru, tidak ada yang boleh dijadikan modal untuk mencacatkan kedudukan Malaysia dalam mendaulatkan undang-undang.

“Najib masih ada kes yang sedang berjalan. Itu sudah cukup menggambarkan Malaysia mendaulatkan undang-undang dan tiada sesiapa berada di atas undang-undang. Apatah lagi pengampunan yang diberikan adalah separa dengan pengurangan hukuman, bukan pengampunan penuh.

“Bagi saya, bagaimana Kerajaan Perpaduan memainkan naratif isu ini demi menjaga hati penyokong mereka adalah penting. Kita faham separa pengampunan pun sudah cukup menaikkan kemarahan penyokong PH, tetapi saya melihat ia sebagai situasi menang-menang untuk Umno dan PH,” katanya kepada BH.

AHLI POLITIK / PEMIMPIN YANG PERNAH MENDAPAT PENGAMPUNAN DIRAJA


1) Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris: Dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana penipuan dan menerima rasuah RM250,000 daripada Perbadanan Hong Kong dan Shanghai Bank. Disabit kesalahan sekitar 1977. Diberi pengampunan 1 Ogos 1981. Tempoh penuh hukuman enam tahun. Tempoh menjalani hukuman empat tahun.


2) Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim: Dijatuhi hukuman gantung kerana kesalahan membunuh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, Allahyarham Mohamad Taha Talib, pada 1983. Diberi pengampunan 10 Julai 1991 (diubah daripada hukuman gantung sampai mati kepada penjara seumur hidup selepas setahun, dan dibebaskan pada 10 Julai 1991.)


3) Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim: Dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat pada 2014. Diberi pengampunan pada 16 Mei 2018 selepas menjalani hukuman selama empat tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >