Pengumuman penubuhan SCIS (18 Ogos 2024)

Pada Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2024, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan rancangan menubuhkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Mengumumkan hal tersebut semasa ucapan sulung NDR berbahasa Melayu di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 18 Ogos 2024, Encik Wong berkata ia bertujuan memupuk dan melahirkan pemimpin Islam setempat pada masa depan.

Menurutnya, pembinaan kolej itu merupakan projek terbaru di bawah kerjasama erat antara pemerintah dengan masyarakat Melayu/Islam.

Projek itu kali pertama diusulkan pada 2016 oleh mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Ketika itu, ia bertujuan melatih asatizah untuk memberi bimbingan agama yang bersesuaian dengan masyarakat Islam dalam konteks berbilang kaum dan agama Singapura.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan rancangan untuk menubuhkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2024, yang menandakan satu langkah penting ke arah membangunkan laluan tempatan bagi pengajian tinggi Islam.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan rancangan untuk menubuhkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2024, yang menandakan satu langkah penting ke arah membangunkan laluan tempatan bagi pengajian tinggi Islam. - Foto fail

Kohort pertama SCIS seramai 60 pelajar, dibuka pada 2028 di Bencoolen (11 November 2024)

SCIS akan menerima kumpulan 60 pelajar pertamanya pada 2028, bagi melanjutkan pengajian sepenuh masa dalam program sarjana muda dalam jurusan pengajian Islam atau sains kemasyarakatan.

Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkongsi hal itu dalam satu wawancara bersama media selepas perkongsian bersama asatizah mengenai SCIS di Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) di 51 Bencoolen Street, bersebelahan Masjid Bencoolen pada 11 November 2024.

Dr Nazirudin berkata pelajar kolej itu akan mengikuti kuliah dan kelas di kampus Bencoolen tersebut.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Kampus lima tingkat itu dilengkapi kemudahan seperti dewan kuliah, bilik seminar dan perpustakaan. Jumlah pelajar yang disasarkan itu adalah separuh daripada purata 120 lulusan madrasah tempatan yang melanjutkan pengajian Islam di luar negara setiap tahun.

Pelajarnya perlu memenuhi kriteria tertentu, seperti keupayaan memahami bahasa Arab dan mempunyai pemahaman asas pengajian Islam.

Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), di 51 Bencoolen Street, bersebelahan Masjid Bencoolen.
Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), di 51 Bencoolen Street, bersebelahan Masjid Bencoolen. - Foto fail

Panel Penasihat dan Pengerusi Lembaga Pengelola SCIS diumumkan (13 November 2024)

MUIS mengumumkan penubuhan Lembaga Pengelola bagi SCIS yang akan menerajui penyeliaan strategik kolej tersebut pada 13 November 2024.

Lembaga Pengelola akan memacu kolej ke arah mencapai misi dan visinya, di samping memelihara integriti, memastikan pematuhan, serta menjamin kemampanannya dalam mengejar matlamat pendidikan dan penyelidikan kolej tersebut.

Ia dipengerusikan oleh mantan Menteri Kabinet dan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi.

Selain itu, Panel Penasihat SCIS, yang terdiri daripada pemimpin terkemuka daripada institusi tempatan dan antarabangsa seramai 10 orang, turut diumumkan.

Antara pemimpin yang membentuk panel itu ialah Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Mohamed Ayyad; Presiden Universiti Al-Azhar di Mesir, Dr Salama Dawood; dan Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong.

Kumpulan tokoh itu memberi tumpuan kepada penyediaan pandangan bernas mengenai peluang penyelidikan antarabangsa serta perkembangan pendidikan yang selaras dengan objektif strategik SCIS dan memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura yang sentiasa berkembang.

Pengerusi Panel Penasihat itu pada awalnya merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada November 2024, sebelum diambil alih oleh mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim pada Jun 2025.

Ia kini dipimpin oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad sejak Julai 2026.

Penubuhan tadbir urus SCIS, mesyuarat sulung (Mac-November 2025)

SCIS menubuhkan struktur tadbir urusnya untuk memandu hala tuju strategik serta pembangunan akademik kolej tersebut.

Pencapaian penting merangkumi mesyuarat sulung Jawatankuasa Pemandu pada 20 Mac 2025, mesyuarat Panel Penasihat pada 24 Jun 2025, dan mesyuarat Lembaga Pengelola pada 27 November 2025.

Mesyuarat sulung bagi Lembaga Pengelola diadakan pada 27 November 2025.
Mesyuarat sulung bagi Lembaga Pengelola diadakan pada 27 November 2025. - Foto MUIS

Pengumuman kampus SCIS dibina di Rochor (17 Ogos 2025)

Di NDR 2025 pula, Encik Wong mengumumkan bahawa SCIS bakal dibina di Rochor, bersebelahan dengan SUSS, sekali gus menyediakan kampus tetap bagi kolej tersebut pada masa hadapan.

Berucap di NDR yang diadakan di ITE Kolej Central pada 17 Ogos 2025, Encik Wong berkata bangunan berbeza untuk SCIS dan SUSS membolehkan dua institusi tersebut mencerminkan matlamat serta identiti unik masing-masing.

Menambah, beliau berkata kededua institusi tersebut bukan sahaja boleh berkongsi kemudahan, malah pelajar SCIS boleh mengambil kursus sains kemasyarakatan daripada SUSS sebagai sebahagian pengajian mereka.

Menurut MUIS, kampus SCIS akan menampilkan elemen seni bina Islam yang unik serta kemudahan khusus bagi memenuhi keperluan pelajarnya.

Ia menambah bahawa kedudukannya yang berhampiran dengan SUSS akan mewujudkan peluang untuk interaksi yang bermakna antara pelajar daripada pelbagai latar belakang.

Kohort pelajar pertama SCIS seramai 60 pelajar, yang bakal memulakan pengajian pada 2028, akan ditempatkan di kampus sementara di Bencoolen sehingga kampus Rochor itu siap dibina.

Bangunan SCIS akan ditempatkan di Rochor, bersebelahan dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Bangunan SCIS akan ditempatkan di Rochor, bersebelahan dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS). - Foto fail

MOU antara SCIS dengan SUSS (2 Disember 2025)

SUSS dan SCIS menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 2 Disember 2025 untuk membangunkan modul secara bersama bagi program ijazah sarjana muda Pengajian Islam SCIS.

Ia sekali gus mempertingkat pembelajaran antara disiplin dan memperluas peluang kerjaya bagi golongan lulusan SCIS.

Lulusan SCIS akan dilengkapi dengan kemahiran untuk menangani isu kontemporari dalam sektor keagamaan dan juga sosial.

Ini membolehkan mereka untuk berkhidmat bukan sahaja di masjid dan madrasah, tetapi juga dalam bidang lain termasuk pembangunan masyarakat dan perkhidmatan sosial.

(Dari kiri) Zamil Kanan Kehormat di Pusat Pengajian Kerja Sosial dan Pembangunan Sosial SUSS dan Mantan Anggota Lembaga Pemegang Amanah, Cik Ang Bee Lian; Provos SUSS, Profesor Robbie Goh; Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; dan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara SCIS dengan SUSS pada 2 Disember 2025.
(Dari kiri) Zamil Kanan Kehormat di Pusat Pengajian Kerja Sosial dan Pembangunan Sosial SUSS dan Mantan Anggota Lembaga Pemegang Amanah, Cik Ang Bee Lian; Provos SUSS, Profesor Robbie Goh; Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; dan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara SCIS dengan SUSS pada 2 Disember 2025. - Foto fail

Simposium sulung SCIS; pengumuman barisan Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu kolej (27 Januari 2026)

Sekitar 300 peserta menghadiri Simposium SCIS, yang julung-julung kali diadakan, di Pusat Konvensyen Raffles City pada 27 Januari 2026.

Bertemakan “Ke Arah Visi Baharu Pendidikan Tinggi”, ia menampilkan dialog kepimpinan dan akademik serta memperkenalkan Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu SCIS.

Dua kumpulan itu dibentuk pakar daripada pelbagai bidang – termasuk agama, ahli akademik berpengalaman dan ketua pertubuhan Melayu/Islam.

Diumumkan oleh mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, beliau berkata kededua kumpulan tersebut akan menyumbangkan kepakaran mereka yang pelbagai dalam membentuk pembangunan SCIS.

Lembaga Pengelola akan dipengerusikan oleh mantan Menteri Kabinet dan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi; sementara Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, akan mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu SCIS.

Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen; asatizah mapan dan anggota Panel Penasihat Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Pasuni Maulan; dan Timbalan Setiausaha (Masyarakat & Belia), Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Cik Cynthia Leow, akan membentuk sebahagian daripada 13 anggota Lembaga Pengelola SCIS.

Jawatankuasa Pemandu pula akan merangkumi 19 anggota yang antara lain dianggotai Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad; Penasihat Kanan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Cik Ang Bee Lian; Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis merangkap Pengarah Eksekutif Andalus Corporation, Ustaz Fathurrahman Dawoed; dan Naib Dekan (Hal Ehwal Akademik), Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Profesor Madya Dr Suzaina Kadir.

Simposium SCIS yang pertama telah diadakan di Pusat Konvensyen Raffles City pada 27 Januari 2026.
Simposium SCIS yang pertama telah diadakan di Pusat Konvensyen Raffles City pada 27 Januari 2026. - Foto MUIS

Libat urus dengan masyarakat (Februari-Julai 2026)

SCIS telah mengadakan sesi dialog bersama pengetua, guru dan pelajar madrasah mengenai aspirasi mereka terhadap SCIS dari Februari hingga Julai 2026.

Ia bertujuan untuk mendengar suara masyarakat menjelang pengambilan kumpulan pelajar sulungnya.

Antaranya, lebih daripada 70 pelajar Madrasah Prauniversiti 1 dan 2 setempat telah menghadiri sesi libat urus di mana SCIS telah menggariskan laluan program ijazah sarjana muda, di Kampus Bencoolen MUIS, pada 12 Mei 2026.

Antara intipati yang dikongsikan ialah pelajar SCIS boleh memilih antara dua laluan – Pengajian Islam atau Sains Kemasyarakatan, dan menjalani program penghayatan di tiga universiti Islam luar negara yang akan bekerjasama dengan SCIS – pada tahun ketiga mereka.

Pelajar juga diberitahu bahawa lulusan SCIS akan meraih sijil Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat 1 sejurus selepas menamatkan pengajian mereka.

Sesi libat urus bersama Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Sesi libat urus bersama Madrasah Aljunied Al-Islamiah. - Foto MUIS
Sesi libat urus dengan lebih daripada 70 pelajar Madrasah Prauniversiti 1 dan 2 setempat pada 12 Mei 2026.
Sesi libat urus dengan lebih daripada 70 pelajar Madrasah Prauniversiti 1 dan 2 setempat pada 12 Mei 2026. - Foto fail

Membangunkan kurikulum SCIS (2026)

Dalam merangka kurikulumnya, SCIS melaksanakan perjalanan pembelajaran yang meluas pada 2026.

Ia diadakan menerusi bengkel dan sesi libat urus di peringkat tempatan serta antarabangsa, dengan menghimpunkan cendekiawan, pendidik madrasah, dan rakan sektor.

Ini untuk memastikan program tersebut berteraskan kesarjanaan Islam yang kukuh, selaras dengan laluan madrasah, serta responsif terhadap keperluan masyarakat yang bakal berkhidmat dengannya.

Bengkel reka bentuk modul oleh SCIS pada 24 Jun 2026.
Bengkel reka bentuk modul oleh SCIS pada 24 Jun 2026. - Foto MUIS

Memperkukuh pengiktirafan akademik dan profesional (2026)

Lulusan SCIS meraih pengiktirafan Peringkat 1 di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) oleh ARB, sekali gus mengukuhkan mutu dan kedudukan program pengajian tinggi Islamnya pada 2026.

Mesyuarat bersama ahli Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) mengenai sijil Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat 1 untuk lulusan SCIS pada 28 Mei 2026.
Mesyuarat bersama ahli Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) mengenai sijil Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat 1 untuk lulusan SCIS pada 28 Mei 2026. - Foto MUIS

Memperkukuh asas perundangan SCIS (3 November 2026)

Parlimen meluluskan pindaan terhadap Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), yang menyediakan rangka kerja perundangan bagi SCIS serta memperkukuh tadbir urus dan kebertanggungjawaban institusi tersebut.

Ia juga akan memberikan MUIS kuasa pengawasan terhadap misi SCIS untuk membangunkan bakat dalam bidang keagamaan.

MUIS juga akan diberi kuasa untuk menyediakan pembiayaan daripada sumber masyarakat sedia ada yang diuruskannya, termasuk daripada Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), zakat dan wakaf.

Kali pertama dibentangkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, di Parlimen pada 6 Oktober 2026, ia kemudian diluluskan pada 3 November 2026.

Encik Zaqy menekankan bahawa dana pembiayaan SCIS tidak akan menjejaskan peruntukan MBMF untuk sokongan kepada masjid, madrasah dan penerima bantuan zakat.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad di Parlimen pada 3 November 2026 semasa bacaan kedua pindaan Rang Undang-Undang Amla.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad di Parlimen pada 3 November 2026 semasa bacaan kedua pindaan Rang Undang-Undang Amla. - Foto fail

Pelancaran rasmi SCIS (30 November 2026)

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan melancarkan SCIS secara rasmi pada 30 November 2026.

Ia menandakan satu pencapaian penting menjelang pengambilan kumpulan pelajar sulung kolej tersebut pada 2028.

MOU antara SCIS dengan tiga institusi Islam antarabangsa (1 Disember 2026)

SCIS akan memeterai kerjasamanya dengan tiga institusi Islam antarabangsa – Universiti Jordan, Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi dan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah di Mesir – pada 1 Disember 2026.

Ia bertujuan memperkukuh kesarjanaan Islam serta memperluas peluang kerjasama akademik dan pembelajaran pelajar.